Detik Beremosi Selepas Melihat Jimenez Kembali Menjaringkan Gol

Penyerang Wolves, Raul Jimenez menjaringkan gol ketika aksi pra musim bertemu Stoke City awal pagi tadi, dan ia merupakan gol pertamanya selepas mengalami keretakkan tengkorak kepala.

Pada bulan November tahun lalu, bintang berusia 30 tahun itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan peminat, selepas terlibat dalam insiden mengerikan ketika aksi bertemu Arsenal.

Beliau menderita kecederaan kepala yang sangat parah selepas terlibat dalam insiden pelanggaran dengan David Luiz.

Atas nasihat doktor, Jimenez selepas ini akan selalu memakai pelindung kepala ketika bermain sehingga tamat kariernya.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan untuk menghentikan pendarahan dari dalam selepas berlakunya insiden tersebut.

Hari-hari dan minggu-minggu awal selepas insiden tersebut, Jimenez dilihat berjuang untuk kembali lebih kuat dari sebelumnya.

Selepas mengharungi tiga bulan yang sukar, pemain kebangsaan Mexico itu akhirnya kembali ke pusat latihan skuad utama Wolves buat pertama kalinya.

Untuk memberi penerangan lebih lanjut tentang bagaimana teruknya kecederaan yang di alami ekoran dari insiden tersebut, Jimenez telah mendedahkan tentang fasa dan proses yang beliau lalui untuk sembuh dalam satu temu bual bersama EstiloDF awal tahun ini.

“Ia sesuatu yang sangat rumit dan saya tak ingat apa yang sebenarnya telah berlaku. Semuanya samar-samar.”

Jelas Jimenez.

“Apa yang saya ingat adalah ketika saya sedar, saya berada di hospital dan sudah selesai jalani pembedahan. Dan saya sukar untuk pulang ke rumah, saya tak mampu untuk lakukan apa-apa.”

“Setiap pergerakan yang saya lakukan semuanya perlu perlahan-lahan, tapi kekasih saya sangat membantu saya sepanjang fasa penyembuhan saya.”

“Saya rasa ia merupakan hal paling sukar untuk dia kerana perlawanan itu di London, kami dua jam dari situ, dia menonton dari rumah. Saya bahkan langsung tak ingat detik itu, saya hanya ingat bila saya sedar saya berada di hospital dan sudah selesai jalani pembedahan.”

“Tapi ia sukar untuk pulang ke rumah dan saya tak mampu untuk lakukan banyak hal, jalan perlahan, sangat sukar, tapi dia sentiasa ada bersama saya untuk sokong saya, saya perlu bersarapan di atas katil saya.”

Jimenez sudah kembali untuk sertai skuad utama Wolves, dan beliau turut diturunkan dalam aksi perlawanan persahabatan bertemu pasukan dari Championship, Stoke City.

Menariknya lagi, Jimenez berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, dan ia merupakan gol pertama beliau selepas berbulan-bulan direhatkan kerana masalah kecederaan.

Ia jelas merupakan detik yang sangat beremosi untuk penyerang berpengalaman itu. Selepas menjaringkan gol, beliau meraikan jaringan tersebut dengan menunjuk ke langit sebelum meraikannya bersama kesemua rakan sepasukannya.

Para pemain Wolves juga dilihat terharu melihat mesin pencetak gol mereka kembali mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Akaun twitter rasmi milik Wolves turut memuat naik status sebaik Jimenez menjaringkan gol dalam perlawanan yang dilangsungkan di Britannia itu.

Ia merupakan satu permulaan yang baik untuk Jimenez dengan para peminat berharap beliau akan mampu kekalkan momentum tersebut, seterusnya beraksi dengan baik bersama Wolves pada musim baharu nanti.

Jaringan ini tentunya akan sangat membantu untuk beliau membina keyakinan semula bagi menghadapi musim baharu nanti.

Raul Jimenez sudah kembali!

Melihat seorang pemain professional mengalami kecederaan ia merupakan satu berita yang sangat menyedihkan, namun ketika melihat mereka kembali, ia menjadi satu berita yang sungguh menggembirakan.

Selamat kembali ke saingan Premier League, Raul Jimenez!

Sumber: SB

Baca Juga

Baca Juga