Melakukan debut buat pasukan adalah antara detik terindah bagi mana-mana pemain bola sepak, apatah lagi dapat melakukannya di kelab yang disertainya sejak kecil, dan juga pernah diwakili oleh sang ayah.
Itulah yang berlaku buat Charlie Savage, dan bapanya Robbie.
Robbie bertugas sebagai pengulas buat BT Sport dan diberikan penghormatan untuk mengumumkan kemasukan anaknya ke dalam padang ketika perlawanan antara Manchester United menentang Young Boys di Old Trafford.
United melakukan pertukaran total daripada barisan pasukan yang bermain ketika menentang Crystal Palace tempoh hari dan pengurus, Ralf Rangnick, memberikan peluang kepada pemain picisan dan pemain muda untuk menunjukkan sesuatu kepadanya.
Berusia 18 tahun, Charlie diletakkan di bangku simpanan dan ini adalah buat kali pertama dia berjaya masuk menyertai skuad utama sejak menandatangani kontrak professionalnya pada bulan April lalu.
Pada minit ke-89, Ralf bertindak mengeluarkan Jesse Lingard dan digantikan oleh seorang lagi pemain muda, Zidane Iqbal, serta Juan Mata yang digantikan oleh Charlie.
Rakan pengulas, dengan penuh hormat memberikan laluan kepada Robbie untuk mengumumkan kemasukan anaknya ke padang dengan berkata;
“Saya rasa agak patut, Robbie, kali ni saya beri laluan dan bagi awak untuk mengumumkan anak awak melakukan debut buat pasukan utama Manchester United. Silakan.”
Pelawaan ini disambung terus oleh Robbie.
“Masuk ke padang buat Manchester United, Charlie Savage untuk Juan Mata.
“Wow saya rasa macam tak percaya saya akan mengucapkan kata-kata macam ni di sini, di Manchester United.
“Satu hari yang sangat membanggakan buat anak saya, di atas segala kerja keras yang dia lakukan.
“Hari yang hebat buat saya, sang ayah, ibunya, neneknya, datuknya, dan yang paling penting untuk budak muda tu, Charlie Savage.
“Rasa sangat bangga dan satu detik yang hebat buatnya,” ulas Robbie panjang lebar.
Ternyata kata-kata Robbie ini mampu menjentik hati mana-mana ayah yang mendengarnya. Kita dapat dengar betapa bangganya sang ayah apabila melihat si anak dapat mengecapi impian, memandangkan Robbie sendiri tidak pernah dapat beraksi buat United meskipun berada di akademi yang sama sejak kecil.
The moment where Charlie Savage & Zidane Iqbal made their Debut pic.twitter.com/Rbtk2JUw33
— Hasan Ali (@HasanAliMhmd) December 8, 2021
@btsport Charlie Savage makes his Man Utd debut as his dad Robbie Savage watches from the commentary booth ❤ #manutd #championsleague #football ♬ Twenty One Pilots Hometown Slowed Sad Part – Blasteran MaLaikat
Sebelum perlawanan bermula, rakan pengulas di studio sempat bertanyakan kepada Robbie yang berada di stadium, tentang perasaannya memandangkan anaknya berjaya memecah masuk ke pasukan utama United.
“Saya taknak bercakap selaku pengulas, saya nak sembang selaku seorang ayah. Apa perasaan anda sekarang ini?” tanya seorang pundit di studio.
“Saya dah nak menangis dah ni,” ujar Robbie di tepi padang.
“Sebab apa yang budak ni dah capai, Charlie Savage, dia dah capai banyak benda pada usia yang muda. Dia tak pernah muncul sebagai seorang yang cemerlang, dia selalu terpaksa kejar target, setiap dua tahun bila mana dia berada di paras-paras bahaya.
“Dia kena paksa diri, amalan dia, etika kerja dia, kemahuan dia, sifat rendah diri yang dia ada – ini membawa dia ke mana dia berada hari ini.
“Aku rasa sangat-sangat gembira,” tambahnya, panjang lebar, sambil matanya mula mengeluarkan manik-manik yang penuh kebanggaan lalu berkata lagi;
“Ayah saya, Jake, tidak akan bersama [telah meninggal dunia], dia akan bersama melihat detik ini, lilhat cucu dia.
“Rasa menakjubkan apa yang anak saya dapat capai. Kalau dia tak dapat main pun, saya dah cakap kat dia, apa pun jadi dalam hidup kamu nanti, kamu dah berada di bangku simpanan Manchester United.
“Sesuatu yang saya sendiri tak dapat capai, tapi dia dah mampu lakukannya. Bukan saya.
“Saya hanya membuka pintu kepadanya dan dia lakukan semuanya sendiri dengan kerja kerasnya.
“Semua jurulatih yang Rio [Ferdinand] dan Owen [Hargereaves] kenal – Tony Whelan, Dave Bushell, Neil Ryan, Justin – semua jurulatih yang telah membantunya dalam kehidupan sebagai seorang remaja.”
Kata-kata Robbie tersebut ternyata membuatkan mereka yang berada di studio berasa sangat sebak dan hampir menangis.
"I'm starting to tear up…"
"It is amazing what the boy has achieved."
Charlie Savage is on the bench for a potential Man Utd debut tonight, and his proud Dad @RobbieSavage8 in on co-commentary duties at Old Trafford ❤️#UCL pic.twitter.com/rhKpjNqkmv
— Football on BT Sport (@btsportfootball) December 8, 2021
Selepas ditanya oleh Rio, apakah perasaannya bahawa anaknya sudahpun mengatasi segala pencapaiannya di dalam karier bola sepak, Robbie menjawab;
“Kalau dia dapat masuk ke padang, untuk bermain di Theatre of Dreams – perkara yang saya tak dapat buat, nenek dia akan menonton di rumah dan menangis dah sekarang ni.
“Semua benda yang kita buat sebagai ibu ayah, apa yang saya buat hanyalah membantu dia, bawa dia ke seluruh negara – seperti mana yang semua mak ayah buat, dan dia sangat bernasib baik untuk mempunyai satu impian.”
Dapat kita rasakan betapa bangganya Robbie dengan pencapaian anaknya bersama Manchester United. Kalau tengok video tu sampai habis, memang mengalir air mata jantan, terus membuatkan kita teringat kepada ayah dan anak kita, kan?