Dibelasah 0-18 Dan Bolos 58 Gol Dalam 5 Perlawanan, Ini Kelab Paling Teruk Di Asia Tenggara

Viengchanh FC kini dilabel kelab paling teruk di Asia Tenggara selepas dibelasah lawan mereka, Luangprabang United dengan jaringan 0-18 di dalam perlawanan Liga Laos semalam.

Walaupun beraksi sebagai pasukan pelawat, Luangprabang tidak mempunyai masalah mendominasi perlawanan dan menghujani lawan mereka itu dengan deretan percubaan yang menghasilkan jaringan, dan mendahului 0-6 pada babak pertama.

Aksi longlai Viengchanh kemudiannya terus lebur dan ibarat sudah menyerah kalah pada babak kedua perlawanan apabila dibolosi 12 lagi gol pada separuh masa kedua – dengan purata bolos satu gol setiap tiga minit dalam perlawanan tersebut.

Kekalahan terbaru ini adalah yang kelima berturut-turut buat Veingchanh dan ke-10 tanpa sebarang kemenangan daripada 15 perlawanan yang sudah dilalui pada musim ini.

Daripada lima kekalahan tersebut, pasukan itu dibolosi 58 gol. Bagaimanapun Veingchanh masih mampu menyumbat 4 gol.

Sebelum itu Viengchanh dibelasah Master 7 FC dengan jaringan 1-14, dan turut tewas 0-15 kepada Young Elephant.

Sebelum perlawanan semalam, Viengchanh sudah pun melalui 14 perlawanan dan dibolosi 78 kali dengan purata bolos 5.6 gol untuk setiap perlawanan.

Pasukan itu kini menduduki tangga tercorot Liga Lao daripada lapan pasukan bertanding dan hanya mengumpul lapan mata hasil daripada dua kemenangan dan dua seri sepanjang saingan musim ini.

Dua kemenangan yang diperolehi Viengchanh dihasilkan pada awal musim apabila menewaskan Ezra FC 2-1 dan Luangprabang 0-1 – lawan yang membelasah mereka 18-0 selepas itu.

Di dalam sejarah divisyen utama liga profesional di Asia Tenggara, kemenangan terbesar yang pernah direkodkan adalah di Liga Filipina apabila Ceres-Negros membelasah Global Makati 13-0 pada 2019.

Kemenangan Luangprabang United dalam perlawanan semalam kini menjadi rekod baharu liga bola sepak di Asia Tenggara sekali gus menjadikan Viengchanh FC kini dilabel sebagai kelab bola sepak paling teruk di rantau ini.

Baca Juga

Baca Juga