Diekmeier Dilayangkan Kad Merah Empat Minit Selepas Kembalinya Saingan Bundesliga

Pemain pertahanan pasukan SV Sandhausen telah mencipta sejarah tidak dingini dalam kariernya apabila menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah selepas saingan bola sepak kembali bersambung.

Dennis Diekmeier dilayangkan kad merah pada minit keempat perlawanan antara Erzgebirge Aue menentang SV Sandhausen kerana melakukan kesalahan profesional.

Peminat bola sepak seluruh dunia terutama di benua Eropah begitu teruja dengan kembalinya saingan bola sepak dari saingan Bundesliga dan Bundesliga 2 semalam.

Saingan Liga di Jerman merupakan liga yang pertama memulakan kembali aksi sepak mula mereka selepas digantung ekoran dari penularan wabak pada Mac lalu.

Diekmeier mengalami mimpi ngeri selepas dilayangkan kad merah seawal minit keempat perlawanan. Apa yang lebih menyedihkan adalah saingan Bundesliga 2 baru sahaja dimulakan semula selepas berehat panjang kerana penggantungan saingan liga.

Tidak sampai lima minit beraksi beliau telah dihukum buang padang oleh pengadil yang melihatnya melakukan kekasaran profesional dalam kotak lalu menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan.

Permulaan yang tidak baik selepas dua bulan berehat. Selepas dilayangkan kad merah, Dimitrij Nazarov berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang diterima lalu Erzgebirge Aue mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0.

Pengadil perlawanan Florian Badstubner telah melayangkan satu kad merah dan empat kad kuning dalam perlawanan ini.

Erzgebirge Aue berjaya menambah dua lagi jaringan pada minit ke-64 dan 69 perlawanan oleh Florian Kruger dan Malcolm Cacutalua untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Sandhausen akhirnya berjaya menjaringkan gol saguhati pada minit ke-80 perlawanan melalui Julius Biada untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-1.

Diekmeier pastinya terkilan kerana dilayangkan kad merah seawal minit keempat perlawanan dan menyebabkan pasukannya beraksi 10 orang lalu tewas dalam perlawanan pembukaan saingan Bundesliga selepas digantung selama hampir dua bulan.

Sandhausen telah dipromosikan ke divisi dua saingan liga Jerman untuk kali pertama pada tahun 2012 tetapi kini mereka hanya dibezakan empat mata sahaja dengan zon penyingkiran.

Jadi mereka sememangnya terkesan dengan situasi yang berlaku dimana pemain pertahanan yang diharapkan tidak dapat menghabiskan perlawanan dan cuma beraksi empat minit sahaja.

Kesemua peminat teruja dan gembira dengan kembalinya saingan bola sepak setelah lama menanti tetapi ianya tidak untuk Diekmeier yang memulakan kembali saingan bola sepak dengan kejadian seperti ini.

BACA:  Pertama Kali Dalam Sejarah Jerman, Perlawanan Bola Sepak Ditangguhkan Kerana Gangguan Berunsur Perkauman