Dier Mahu Pemain Muda Ikut Jejak Sancho Dengan Berhijrah Ke Luar England

Pemain tengah Tottenham Hotspurs, Eric Dier menggesa pemain remaja England supaya mencontohi apa yang telah dilakukan Jadon Sancho dengan berhijrah ke luar negara bagi mengembangkan karier bola sepak.

Sancho berhijrah ke Jerman pada tahun 2017 dari Manchester City selepas gagal mendapat kepastian daripada Pep Guardiola mengenai tempatnya dalam skuad utama.

Sancho mencipta nama di bumi kelahiran Hitler, bukan Queen Elizabeth

Sancho yang kini beraksi untuk Borussia Dortmund telah mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam Bundesliga musim ini sehingga mendapat panggilan antarabangsa dari Gareth Soutgate. Sejak membuat penampilan pertama pada September lalu, Sancho telah mengumpul 3 cap di peringkat antarabangsa walaupun baru berusia 18 tahun.

Kejayaan yang dicapai Sancho bersama Dortmund telah membuka mata banyak pihak di England dan pemain muda England yang sukar untuk menembusi skuad utama digesa untuk bermain di luar negara bagi mencari pengalaman baru.

Walaupun baru melakukan 18 penampilan bersama skuad senior Dortmund, Sancho telah berjaya menarik perhatian Southgate untuk memanggilnya ke dalam skuad Three Lions. Musim ini menyaksikan Sancho telah mencipta 6 assists, jumlah tertinggi dalam Bundesliga setakat ini. Selain itu, beliau juga berjaya menjaringkan 4 gol untuk membantu Dortmund berada di persada liga.

Southgate berani untuk memanggil pemain berusia 18 tahun untuk menganggotai skuad England

Selain Sancho, terdapat seorang lagi pemain remaja England bernama Reiss Nelson yang telah mempamerkan prestasi menakjubkan musim ini. Nelson merupakan pemain Arsenal dan telah dipinjamkan kepada Hoffenheim untuk menimba pengalaman di Jerman.

Selepas melihat kejayaan yang diraih Sancho dan Nelson, Dier percaya pemain muda yang lain perlu melakukan perkara yang sama bagi memastikan perkembangan mereka sebagai pemain tidak terbantut.

Reiss Nelson. Made in Arsenal

“Saya berharap lebih ramai pemain akan mengikut jejak langkah Sancho dengan bermain di luar negara.”

“Ia merupakan langkah yang sangat penting dalam perkembangan anda sebagai seorang pemain. Bukan sahaja sebagai pemain bola sepak, tetapi juga sebagai seorang dewasa.”

“Sancho sekarang berada di luar ‘comfort zone’ dan tinggal secara sendiri di negara asing. Pengalaman macam ni sangat penting supaya anda mampu membesar menjadi seorang dewasa.”

Dier sebenarnya bercakap dari pengalaman beliau sendiri kerana beliau memulakan karier bola sepaknya di akademi Sporting CP sehingga dapat bermain untuk pasukan utama. Dier tinggal di Portugal sejak beliau berusia 7 tahun.

Suatu ketika dahulu. Dier mencipta nama bersama Sporting Lisbon, kelab pertama Cristiano Ronaldo

Dier akan kembali ke Portugal buat kali pertama selepas England mengesahkan tempat dalam peringkat separuh akhir UEFA Nations League dengan menewaskan Croatia kelmarin.

“Ini adalah kali pertama saya akan kembali ke Portugal untuk bermain sejak meninggalkan negara tersebut untuk menyertai Spurs. Ia bakal menjadi sesuatu yang istimewa.”

“Portugal pernah menjadi tempat tinggal saya dan saya gembira untuk kembali ke sana.”

BACA:  Kenapa Tiada Pasukan Great Britain Bermain di Euro?