“Dituduh Bergaduh” – Neymar Dedah Mesej Peribadinya Bersama Donnarumma

Neymar mendedahkan kepada umum mesej peribadi antara beliau sendiri bersama rakan sepasukannya, Gianluigi Donnarumma selepas tersingkirnya PSG dari saingan Champions League.

Beliau mendedahkan perbualan tersebut selepas tular berita yang mendakwa perhubungan antara kedua-dua mereka mulai retak selepas tamat perlawanan tersebut.

Paris Saint Germain terpaksa akur sekali lagi mengharungi kempen Champions League yang sangat mendukacitakan selepas mereka tersingkir di pusingan 16 terbaik.

Walau sudah mendahului aksi leg pertama dan aksi babak pertama ketika aksi leg kedua, PSG tetap gagal menghalang Real untuk layak selepas The Los Blancos itu mencatatkan kemenangan 3-2 secara aggregate.

Seperti kebiasaannya, selepas PSG terkandas, sudah tentu seorang demi seorang pemain mereka dipertikaikan dan dipersalahkan menjadi punca kekalahan gergasi Ligue 1 itu.

Menurut pemerhatian dari ramai pihak, antara yang paling teruk dipersalahkan atas kekalahan PSG di pusingan 16 terbaik ini adalah penjaga gol terbaru mereka, Gianluigi Donnarumma.

Bekas penjaga gol AC Milan itu dipersalahkan kerana beliau secara terang-terangan menjadi punca mengapa Benzema boleh menghasilkan gol pertama untuk Real Madrid.

Kedunguan beliau mahu mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membenarkan Vinicius Jr untuk memenangi bola itu dan menghantar semula kepada Benzema.

Bintang Perancis itu kemudiannya dengan tidak di kawal mudah menolak bola masuk ke dalam gawang gol PSG, seterusnya memadam gol pendahuluan yang dijaringkan oleh Kylian Mbappe.

Gol Benzema itu dikatakan pencetus kepada kebangkitan Real Madrid dalam perlawanan ini, dengan gergasi La Liga itu comeback untuk menang 3-1.

Menurut laporan Marca, Neymar benar-benar bengang dengan kesilapan itu yang menyebabkan PSG tewas dengan bintang Brazil itu dikatakan mengamuk dalam bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

Sejujurnya agak sukar untuk meletakkan kesalahan di atas bahu Donnarumma untuk dua gol terakhir Real Madrid dalam perlawanan ini.

Namun media Sepanyol itu melaporkan Neymar telah bersemuka dengan Donnarumma dan memaki hamun beliau kerana menjadi punca kekalahan PSG.

Walau bagaimanapun juga, selepas tularnya laporan dari media tersebut, bintang berusia 30 tahun itu tampil membantah dakwaan yang menyatakan beliau mempunyai masalah dengan Donnarumma.

Neymar mendedahkan mesej peribadi beliau bersama Donnarumma di aplikasi Whatsapp, yang mana dalam perbualan tersebut beliau dilihat memberi semangat kepada rakan sepasukannya yang sedang berduka itu.

“Maaf tentang semalam. Maklumat ini sangat-sangat tak boleh diterima.”

Tulis Donnarumma dalam perbualan tersebut.

Neymar kemudiannya membalas semua mesej tersebut dengan menulis:

“Kawan ku, jangan risau, ia boleh berlaku dalam bola sepak. Kita sepasukan san kami sentiasa bersama kamu. Kamu sangat muda dan kamu akan menang lebih banyak kejuaraan. Bangkit dan mari kita lupakan semua itu! Sahabat!”

Pemain kebangsaan Brazil itu turut menegaskan yang beliau dengan Donnarumma sebenarnya langsung tak ada masalah apa-apa.

Neymar memuat naik story yang menyebut nama wartawan tersebut, dan menafikan dakwaan tentang beliau mempunyai masalah dengan penjaga gol Itali itu.

Donnarumma mungkin perlu bekerja lebih keras lagi selepas ini, untuk mendapat semula kepercayaan dari Mauricio Pochettino.

Hal ini kerana penjaga gol kedua PSG, Keylor Navas juga sebenarnya mempunyai kebolehan yang menakjubkan dan sangat berpotensi untuk menjadi penjaga gol utama kelab.

Paris Saint Germain pada ketika ini sedang memimpin carta saingan Ligue 1 dengan kelebihan 13 mata, dengan Nice yang baru sahaja minggu lalu menewaskan mereka berada di kedudukan kedua.

Selain Donnarumma, pengurus kelab, masa depan Mauricio Pochettino sendiri turut menjadi persoalan pada ketika ini, adakah pihak kelab akan masih percayakan beliau atau tidak.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jurulatih Mexico: Kelakuan Neymar Memalukan Bola Sepak