Doktor Ini Berkongsi Cara Untuk Menangani Situasi Apabila Pemain Terjatuh Tidak Sedarkan Diri di Padang

Christian Eriksen mengejutkan seluruh dunia semalam apabila tiba-tiba terjatuh di padang ketika perlawanan antara Denmark menentang Finland sedang berlangsung, lalu tidak sedarkan diri.

Ketika baki separuh masa pertama hanya tinggal 5 minit, lontaran ke dalam disambut oleh Eriken namun tidak semena-mena dia tersembam dan tidak bergerak, lantas membuatkan pengadil memberhentikan perlawanan buat seketika.

Tidak lama kemudian, Eriksen disahkan berada dalam keadaan stabil dan satu foto telah tersebar di mana Eriksen kelihatan telah sedarkan diri ketika keluar dari stadium dan dalam perjalanan menuju ke hospital.

Pada masa yang sama, kelihatan mesin pemantau jantung ada bersamanya. Tidak diketahui punca sebenar kejatuhan Eriksen tersebut, namun kemungkinan besar adalah dipercayai disebabkan serangan jantung.

Pernahkah kita terfikir, apa yang perlu dilakukan sekiranya ada rakan-rakan kita yang terjatuh sama ada ketika bermain bola sepak atau sedang buat apa sahaja?

Menjawab persoalan ini, seorang doktor muda dan kacak, Dr. Fakhrul Razi, atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. FR telah berkongsi bagaimana untuk menangani situasi jika ada seseorang yang tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.

Menurut Dr. Razi, langkah yang boleh diambil adalah menuru turutan ABCDE. Tapi jangan lupa, sebelum buat ABCDE ni pastikan kita hubungi 999 dulu.

A – Airways (Saluran Pernafasan)

Airways bermaksud saluran pernafasan. Jika kita bertemu atau menghadapi situasi di mana seseorang itu tiba-tiba jatuh tidak sedarkan diri, kita kena pastikan saluran pernafasannya tidak terhalang.

Inilah yang dipraktikkan oleh kapten Denmark semalam, Simon Kjaer, apabila dia meluru laju kepada Eriksen dan terus memusingkan badan Eriksen ke kedudukan mengiring. Ini adalah untuk memastikan saluran pernafasan Eriksen tidak terhalang oleh lidahnya.

Lagi satu, jika mangsa berada dalam kedudukan sedar, kita cuba tanya nama dia. Kalau dia boleh sebut nama dia, itu juga bermakna saluran pernafasannya tidak tersumbat.

Ini juga salah satu sebab pentingnya tidak meletakkan nama anak panjang-panjang dan pelik-pelik. Takut nanti susah nak sebut nama sendiri di waktu kecemasan.

B – Breathing (Pernafasan)

Selepas memastikan tiada halangan di saluran pernafasan, kita kena pastikan dan memerhatikan corak pernafasan mangsa – sama ada normal ataupun terlalu rendah.

Caranya mudah sahaja, kita tengok pergerakan dada mangsa. Biasanya kan kalau kita bernafas dada kita akan turun naik dan seperti itu jugalah cara kita perhatikan pernafasan mangsa.

C – Circulation (Peredaran darah)

Peredaran darah dalam badan kita ditentukan oleh jantung. Jadi, jantung yang berdenyut akan menghasilkan peredaran darah ke otak dan seterusnya ke seluruh badan.

Jika peredaran darah berlaku, pasti akan ada nadi.

Oleh sebab itu kita kena periksa nadi mangsa yang rebah tadi. Jika tiada nadi, kita kena teruskan dengan Cardio Pulmonary Resuscitation ataupun CPR. CPR sangat penting untuk membantu jantung kembali berdegup.

Kalau di hospital, biasanya para petugas perubatan akan menggunakan satu alat yang dipanggil defibrilator.

Defibrilator membekalkan satu kejutan elektrik kepada jantung yang berhenti dan meransang supaya jantung kembali berdegup. Apabila jantung berdegup, maka darah akan disalurkan ke otak dan kembali beredar ke seluruh anggota dan organ badan.

D – Disability (Ketidakupayaan)

Ketidakupayaan di sini bermaksud kita perhatikan keadaan mangsa adakah dia dalam keadaan sedar atau separa sedar atau sebaliknya.

Kita juga perhatikan sama ada berlaku kecederaan di bahagian badan mangsa seperti luka yang mengeluarkan darah yang banyak atau apa sahaja. Ini penting kerana apabila ambulans sampai nanti, kita boleh membantu pihak paramedik dengan memberitahu pemerhatian kita terhadap mangsa.

E – Exposure (Pendedahan)

Pendedahan di sini bermaksud kita pastikan aib mangsa dijaga dan juga badan mangsa cukup haba. Jika kita rasa badan mangsa tu semakin sejuk, ada kebarangkalian mangsa mengalami hypothermia.

Jadi, ambillah apa-apa yang boleh menyelimuti mangsa asalkan haba di badan mangsa dapat dikekalkan.

Menjaga aib pula seperti apa yang dilakukan oleh Kjaer semalam apabila dia memanggil kesemua rakan sepasukannya untuk membuat benteng melindungi Eriksen daripada dilihat oleh orang ramai.

Semoga tips dan pesanan ini berguna kepada kita semua.

BACA:  Jawapan Kejam Kasper Schmeichel Mengenai Laungan Keramat 'It's Coming Home' England