Dominik Szoboszlai: Dari Pemain Berbakat kepada Bintang Liverpool

Di antara koleksi tatu yang dimiliki oleh Dominik Szoboszlai, terdapat satu petikan daripada legenda Liverpool, Steven Gerrard yang ditulis dalam bahasa ibundanya di lengan kiri.

Terjemahan petikan itu berbunyi:
“Tuhan memberi anda bakat tetapi jika anda tidak bekerja keras dan berkorban, ia tidak akan bermakna apa-apa.”

Szoboszlai masih remaja ketika dia mendapatkan tatu tersebut. Tato itu hasil dari usahanya untuk menonjol di Red Bull Salzburg. Dia membuat perjanjian dengan bapanya, Zsolt bahawa dia hanya boleh mendapatkan tatu itu jika dia menamatkan semua ujian kecergasan pramusim di tempat teratas bersama kelab Austria itu. Szoboszlai berjaya melakukannya.

Kini kata-kata itu terus memberi inspirasi kepada pemain tengah berbakat itu. Dia menjadi bintang dalam kemenangan 4-0 Liverpool ke atas Tottenham Hotspur pada Khamis malam. Kemenangan itu memastikan Liverpool layak ke perlawanan akhir Piala Carabao. Liverpool akan bertemu Newcastle United di Wembley pada 16 Mac.

Peranan Szoboszlai Dalam Skuad Arne Slot

Di bawah bimbingan Arne Slot, Szoboszlai semakin meningkat menjadi pemain penting dalam sistem taktikal pasukan.

Ketika menguasai bola, dia bertindak sebagai penyerang keempat melalui pergerakan bijak dan visi hantaran yang tajam. Tanpa bola, dia bekerja keras mengejar bola dan tidak membiarkan lawan berasa selesa. Keupayaan Szoboszlai dalam peranan No.10 menjadikannya pemain yang sempurna untuk menghubungkan serangan melalui tenaga, teknik dan etika kerja yang kuat.

Jika kita kembali ke September tahun lalu, Slot pernah memberi cabaran kepada Szoboszlai sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang AC Milan:
“Sesuatu yang perlu kami perbaiki adalah penglibatan dia dalam menjaringkan gol dan mencipta peluang. Sebagai pemain attacking midfielder di Liverpool, statistiknya perlu meningkat.”

Dari Permulaan Cemerlang ke Kebangkitan Semula

Pada musim 2023 Szoboszlai telah menyertai Liverpool dari RB Leipzig melalui yuran perpindahan £60 juta. Pada musim pertama  di Anfield terdapat prestasi turun naik. Dia bermula dengan baik tetapi perbandingan dengan Gerrard selepas mewarisi jersi nombor 8 ikonik kelab itu terbukti terlalu awal. Dia mengalami penurunan prestasi dan pada penghujung era Jurgen Klopp dia akhirnya hanya berada di bangku simpanan.

Namun sejak Slot mengambil alih, Szoboszlai kembali menemui rentaknya. Dia sudah mencatat 4 bantuan gol, jumlah yang sama sepanjang musim lalu. Dia hanya memerlukan 2 lagi gol untuk menyamai catatan musim lepas, 7 gol. Dalam lapan penampilan terakhirnya Szoboszlai telah terlibat dalam 5 gol.

Persembahannya menentang Tottenham mengingatkan ramai kepada gaya permainan Gerrard.

Dalam perlawanan itu, dia mencatat:

  • 5 kali percubaan
  • 9 sentuhan dalam kotak penalti lawan
  • 5 kali mencipta peluang
  • 9 kali menang bola
  • 1 gol 

Tiada pemain Liverpool yang mencatat statistik sebegitu sejak Philippe Coutinho merekodnya dalam kemenangan 7-0 ke atas Maribor di Liga Juara-Juara pada 2017. Szoboszlai juga memenangi 3 bentesan dan menyempurnakan 36 daripada 40 hantaran (90%).

Jaringan yang kelimanya musim ini terhasil daripada gerakan yang cantik. Pemain gantian, Alexis Mac Allister menghantar bola kepada Conor Bradley yang kemudiannya memberikan hantaran kepada Szoboszlai di luar kotak penalti. Dia mengawal bola dengan kaki kiri sebelum melepaskan rembatan padu dengan kaki kanan ke penjuru bawah gawang. Szoboszlai melompat kegembiraan di hadapan The Kop sebelum disambut rakan sepasukan.

Kerja Keras di Atas Padang

Sebelum ini Szoboszlai mengatakan dia sanggup melakukan “kerja kotor untuk pasukan,” dan ia jelas dalam peranannya untuk gol pembukaan Cody Gakpo.

Larian pantasnya mengejar bola menyebabkan Yves Bissouma panik dan melakukan hantaran lemah yang dipintas oleh Ryan Gravenberch. Sembilan saat kemudian, Gakpo menjaringkan gol ke-16 peribadinya untuk musim ini. Penyerang Belanda itu kini telah menjaringkan gol dalam 7 perlawanan berturut-turut di Anfield.

Sebelum dan selepas Szoboszlai menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-75, Mohamed Salah menyempurnakan penalti dan Virgil van Dijk menjaringkan gol pertamanya di Anfield selepas hampir setahun.

Jurulatih Tottenham, Ange Postecoglou mengakui kehebatan Liverpool:
“Liverpool terlalu bagus untuk kami. Kami tidak pernah menguasai perlawanan, sama ada dengan atau tanpa bola.”K

Keseimbangan Sempurna di Bahagian Tengah

Liverpool mempamerkan penguasaan penuh di bahagian tengah padang melalui kombinasi Szoboszlai, Gravenberch dan Curtis Jones. Trio ini memberikan kawalan yang mantap.

  • Gravenberch: 50 daripada 54 hantaran berjaya (93%), 5 daripada 7 duel dimenangi (71%)
  • Curtis Jones: 51 daripada 54 hantaran berjaya (94%), 4 daripada 5 bentesan dimenangi

Revolusi di bahagian tengah ini adalah antara legasi terbesar yang ditanggalkan oleh Klopp.

Szoboszlai, Gravenberch, Mac Allister dan Wataru Endo dibeli dengan jumlah keseluruhan £145 juta. Liverpool memperoleh semula £52 juta hasil penjualan Jordan Henderson, Fabinho, James Milner, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain.

Menariknya, Liverpool pada asalnya mahu membeli Mason Mount dari Chelsea sebelum menandatangani Szoboszlai. Kini tiada siapa di Anfield yang mempertikaikan keputusan tersebut.

Liverpool Bersedia untuk Peringkat Seterusnya

Slot berjaya membentuk skuad yang diwarisinya daripada Klopp dan membawa pasukan itu ke tahap yang lebih tinggi. Liverpool kini lebih menikmati kawalan bola dalam sistem permainan yang sabar dan berasaskan penguasaan bola.

Ketika ditanya tentang pencapaian ke final pertamanya sebagai jurulatih Liverpool, Slot berkata:
“Gembira. Tetapi jika anda mengenali saya, anda tahu fikiran saya sudah tertumpu kepada perlawanan Ahad ini menentang Plymouth Argyle dalam Piala FA, bukan kepada final yang dilangsungkan sebulan lagi.”

Dia juga mengingatkan tentang cabaran yang bakal dihadapi menentang Newcastle:
“Kami sudah bertemu mereka sebelum ini (seri 3-3 di St. James’ Park pada Disember) dan mereka sangat mengagumkan ketika menyingkirkan Arsenal dengan agregat 4-0.”

Pada musim lalu, kemenangan dramatik Liverpool di final Carabao Cup ke atas Chelsea tidak membawa kejayaan lebih besar dalam saingan lain. Namun, kali ini situasinya berbeza.

Slot hanya mempunyai 90 minit lagi yang perlu diharungi untuk meraih trofi pertamanya di Anfield.

Dan dengan Szoboszlai mencapai prestasi terbaiknya, Liverpool mungkin mampu mencapai kejayaan yang lebih besar daripada sekadar Piala Carabao.

BACA:  Aston Villa Secara Rasminya Mengumumkan Steven Gerrard Sebagai Pengurus Baru