Donnarumma ‘Sakit’ Ketika Dirinya Menjadi Pilihan Kedua

Kehadiran Gianluigi Donnarumma ke bumi Paris merupakan berita gembira untuk para penyokong kelab gergasi dalam saingan Ligue 1 itu.

Hal ini kerana kehadiran Donnarumma membantu Paris Saint Germain untuk memiliki dua penjaga gol terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Pengurus PSG, Mauricio Pochettino sehingga kini masih gagal untuk memutuskan siapa antara dua pemain itu yang akan digunakan sebagai penjaga gol utama.

Namun begitu, Keylor Navas sepertinya masih lagi menjadi pilihan utama dengan beliau pada musim ini telah membuat 11 penampilan bersama kelab.

Donnarumma yang sebelum ini menjadi penjaga gol utama dan nadi penting untuk AC Milan sepanjang kariernya di Itali hanya membuat lima penampilan sahaja bersama PSG musim ini.

Pemain muda itu mengakui yang duduk di bangku simpanan sememangnya agak menyakitkan, dan ketika bercakap kepada TNT Sports, beliau menyatakan bahawa:

“Ia tidak beri kesan kepada persembahan saya, tapi ia sedikit mengganggu saya. Ia bukan mudah kerana saya selalu bermain sebagai pemula dan kadang kala ia menyakitkan untuk duduk di bangku simpanan. Tapi saya yakin situasi ini akan dapat diselesaikan.”

Donnarumma sebelum ini pernah membuat 250 penampilan bersama AC Milan sebelum kontraknya tamat dan beliau memutuskan untuk meninggalkan The Rossoneri sebagai pemain berstatus free ejen.

Di Paris, beliau sepertinya sukar untuk merebut tempat dalam skuad utama memandangkan Navas merupakan pilihan utama dan turut sering pamer aksi persembahan yang menakjubkan.

Navas sebelum ini turut menikmati karier yang sungguh menakjubkan dengan beliau boleh dikatakan telah memenangi segalanya bersama Real Madrid dan PSG sendiri.

Beliau pada ketika ini dianggap sebagai ketua dan pemimpin di Parc des Princes dan ia sukar untuk Donnarumma tandingi dan menyebabkan bintang Itali itu terpaksa akur menjadi pilihan kedua.

Donnarumma mungkin hanya akan mampu untuk menjadi pilihan pertama andai Navas ada melakukan kesilapan, atau memilih untuk meninggalkan Paris dalam masa terdekat ini.

Pemain muda itu telah menjadi kunci utama sebalik kejayaan AC Milan sejak beliau di usia 17 tahun lagi dan mungkin kini beliau menyesal kerana meninggalkan Rossoneri demi untuk ke Paris.

Dengan isu terbaru yang memperlihatkan ejen kepada Donnarumma, Mino Raiola mempunyai masalah dengan pimpinan Milan, sepertinya tidak mungkin untuk peminat melihat penjaga gol Itali itu akan kembali bersama bekas kelabnya itu.

Bekas rakan sepasukannya di Milan, Cirprian Tatarusanu telah ditemu bual oleh Tutto sport, dan beliau telah ditanya perpindahan secara percuma Donnarumma menyertai PSG.

Cirprian Tatarusanu kemudiannya menjawab:

“Saya tak perlu untuk faham. Dia buat pilihan dia dengan membuat keputusan itu. Dia buat yang terbaik di Paris, kami akan buat yang terbaik di sini. Saya rasa ia merupakan satu keputusan yang baik untuk semua pihak.”

Tatarusanu bergelut sebagai pilihan kedua di belakang Donnarumma sebelum ini, dengan bintang PSG itu senantiasa menjadi pilihan utama untuk Rossoneri ketika kariernya di San Siro.

Pada musim ini, sepertinya Tatarusanu lebih kerap diberi kepercayaan untuk beraksi sebagai kesebelasan utama, berbanding hampir keseluruhan kariernya sebelum ini.

Mungkin kerana itulah beliau menganggap keputusan Donnarumma meninggalkan Milan untuk sertai PSG merupakan keputusan terbaik untuk semua pihak.

Mungkin andai beliau terus membuktikan sesuatu ketika sesi latihan, tidak mustahil Donnarumma akan berjaya untuk tewaskan Navas sebagai penjaga gol utama kelab.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  FIFA 22: Peminat Anggap Rating Donnarumma Merupakan Penilaian Paling Teruk