Donny van de Beek Tawarkan Dirinya Kepada Barcelona

Pemain Manchester United, Donny van de Beek kini boleh dikatakan sangat terdesak untuk keluar dari belenggu kelab tersebut dan telah menawarkan dirinya kepada kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, selepas bekas juara Eropah itu terlepas peluang untuk mendapatkan bekas pemain Liverpool, Georginio Wijnaldum.

Van de Beek berpindah ke United dari Ajax pada musim panas pada tahun lalu dalam satu perpindahan yang membuatkan peminat United berasa sangat teruja dan menyangka bahawa kelab mereka akan menjulang Liga Perdana Inggeris pada musim lalu.

Namun harapan mereka kekal menjadi harapan, apabila van de Beek gagal menyerlah dan seringkali memanaskan bangku simpanan dan hanya bermain selama 515 minit dalam liga.

Malah di pentas Eropah juga van de Beek tidak mendapat peluang untuk beraksi daripada pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, termasuk dalam perlawanan akhir ketika menentang Villareal.

Selepas 120 minit, Ole masih mempunyai satu slot untuk membuat pertukaran, namun dia tetap tidak menurunkan van de Beek. Kalau dia turunkan pemain tengah Belanda, mesti United dah dapat julang piala, kan?

Perangai Ole dalam perlawanan tersebut mungkin menyebabkan kesabaran pemain bermuka sedih ini sampai ke tahap maksima, dan pada musim panas pada tahun ini, van de Beek menerusi ejennya telah menawarkan diri kepada Barcelona.

Nasib malang van de Beek bagaikan tiada penghujungnya apabila dia terpaksa disisihkan daripada skuad Euro pasukan Belanda selepas mengalami kecederaan peha, hanya beberapa hari sebelum Belanda membuka tirai saingan Euro mereka.

Ini mengikut cerita yang dilaporkan oleh media Sepanyol, SPORT. Bukan The Sukan pandai-pandai tau.

Laporan tersebut mengatakan kalau van de Beek dapat sertai Barca secara pinjaman pun dia dah suka sangat dah, tapi pada masa yang sama dia nak berpindah secara tetap dan ada EPF.

Sebelum sah meninggalkan Liverpool, Wijnaldum dikatakan bakal menyertai Ronald Koeman di Barcelona, tetapi dia telah mengejutkan orang ramai dengan memilih Paris Saint Germain sebagai kelab yang berikutnya.

Setakat ini gergasi La Liga tersebut masih belum memberikan jawapan rasmi tentang van de Beek tetapi mereka dikatakan sedang mencari pemain tengah yang boleh bertahan.

Bekas pemain Ajax tersebut telah dua kali hampir sertai Real Madrid selain menjadi sasaran Barcelona juga, tapi tu lah, rancangan manusia ni tak pernah sempurna.

Difahamkan antara sebab kenapa Ole jarang menurunkan pemain ini adalah ketidakupayaannya menjalan tugas ketika bertahan, ditambah dengan prestasi cemerlang sepanjang musim Bruno Fernandes yang telah menjaringkan 28 gol dalam 58 perlawanan sepanjang musim lalu terus menyebabkan van de Beek tersisih daripada pasukan hari perlawanan.

Lebih memburukkan keadaan lagi, Paul Pogba secara tiba-tiba menjadi pemain yang bagus buat United, walaupun tidak sebagus ketika beraksi bersama Perancis.

Andai United melepaskan pemain ini, mereka juga akan mencari seorang pemain tengah yang kerjanya fokus untuk bertahan, selepas pihak pengurusan dan peminat tidak berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan oleh gandingan Scott McTominay dan Fred.

Kalau nak ikutkan, prestasi van de Beek bersama Ajax agak baik juga di mana dalam musim terakhirnya bersama kelab Belanda tersebut, van de Beek telah menjaringkan 10 gol dalam 37 perlawanan di semua pertandingan, dan pada masa yang sama dia telah melakukan 11 bantuan gol.

Gaya permainan pemain ini pula lebih kepada pencari ruang kosong di zon menyerang di atas padang. Kalau kita tengok, dia pandai cari tempat kosong, lepas tu terima bola, dan hantar bola kepada rakan yang berada di kedudukan yang baik.

Dengan kata lain, van de Beek sebenarnya amat bagus dalam melakukan hantaran pemecah benteng lawan. Kalau ikutkan, hantaran bola dia sebenarnya ada mirip Paul Pogba, tetapi Pogba bermain lebih ke belakang sikit.

Kalau van de Beek masuk Barcelona, mungkin gaya permainannya sesuai dengan gaya pasukan Catalan tersebut dan siapa tahu nanti dia muncul pemenang Ballon d’Or nanti kan?

Selain Barcelona, van de Beek juga dikaitkan dengan perpindahan ke kelab bawahan Liga Perdana Inggeris, Arsenal, memandangkan kelab London tersebut kini sedang mencari pemain tengah untuk menggantikan Martin Odegaard dan Dani Ceballos yang telah kembali ke pangkuan Real Madrid selepas tamat tempoh pinjaman mereka, sekaligus meninggalkan ruang yang besar di bahagian tengah bekas gergasi England tersebut, dan juga memeningkan lagi kepala pengurus yang semakin ditekan peminat, Mikel Arteta.

BACA:  Manchester United Bukan Tempat Yang Sesuai Untuk Declan Rice