Dovizioso Juara MotoGP Japan, Hampiri Marquez Dalam Perebutan Juara Keseluruhan

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso semakin menghampiri Marc Marquez dalam perebutan juara keseluruhan MotoGP selepas berjaya memenangi MotoGP Japan. Kemenangan Dovizioso menjadi lebih manis kerana berjaya memintas Marquez pada lap terakhir perlumbaan yang diadakan dalam keadaan basah di Motegi.

Keseluruhan perlumbaan tersebut berkisar mengenai persaingan sengit di antara dua watak utama MotoGP musim ini iaitu Dovizioso dan Marquez. Perlumbaan ini boleh dikatakan hampir serupa dengan MotoGP Austria dimana kedua-dua pelumba ini bersaing sengit sehingga lap terakhir yang mana ketika itu perlumbaan dimenangi Dovizioso.

Pada perlumbaan kali in, Marc Marquez dilihat mempunyai kelebihan untuk memenangi perlumbaan bagi melebarkan lagi jarak mata dengan Dovizioso. Walaubagaimanapun, ketika di pusingan terakhir, Marquez melakukan sedikit kesilapan di selekoh 8 dan ianya memberi peluang kepada Dovizioso untuk memintas beliau pada selekoh 11.

Seperti yang berlaku di Austria, Marquez cuba sedaya upaya untuk memintas kembali Dovizioso sehingga selekoh terakhir, tetapi usaha beliau nyata sudah terlambat. Dovizioso berjaya melintasi garisan penamat di tempat pertama dan meraih kemenangan ke-5 beliau musim ini, 0.249 saat dihadapan juara bertahan.

Pelumba Pramac Ducati, Danilo Petrucci pada mulanya memimpin perlumbaan dan berjaya menjarakkan diri sehingga 1.9 saat dihadapan pencabar terdekat selepas mengharungi 4 pusingan dengan bantuan tayar belakang lembut.

Tetapi pelumba kelahiran Itali ini gagal mengekalkan kelebihan yang dimilik beliau dan akhirnya dipintas Marquez dan Dovizioso, masing-masing pada pusingan 13 dan 14.

Dengan Petrucci terkeluar dari persaingan merebut tempat pertama, perbezaan masa diantara Marquez dan Dovizioso hanya sekitar setengah saat. Dovizioso melakukan serangan pada pusingan 19, dan berjaya memintas Marquez pada selekoh 5 pada pusingan tersebut.

Dovizioso berjaya memimpin perlumbaan untuk seketika tetapi tidak lama kerana Marquez merapatkan jurang dan berjaya memintas Dovizioso kembali dengan perlumbaan berbaki 3 pusingan sahaja.

Kedua-dua pelumba ini saling bertukar-tukar tempat untuk seketika. Dovizioso melakukan kesilapan ketika mengambil selekoh dan kesempatan ini digunakan Marquez untuk menjarakkan diri. Perlumbaan ini seakan-akan telah dimenangi Marquez.

Malangnya, pada lap terakhir, Marquez melakukan kesilapan dan Dovizioso buat kali terakhir memintas Marquez dan melintasi garisan penamat pada kedudukan pertama. Kemenangan Dovizioso ini menjadikan beliau kini hanya 11 mata di belakang Marquez dalam kedudukan keseluruhan pelumba. Marquez terpaksa berpuas hati di tangga ke-2.

Tempat ke-3 dimenangi Petrucci diikuti dua pelumba Suzuki, Andrea Lannone dan Alex Rins. Bekas juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo mengakhiri kedudukan pada kedudukan ke-6. Legenda MotoGP, Velentino Rossi gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan ke-6.

Dengan MotoGP musim ini berbaki tiga lagi perlumbaan, persaingan merebut juara keseluruhan menjadi semakin menarik untuk disaksikan kerana jurang mata yang sedikit diantara Marquez dan Dovizioso.

Perlumbaan seterusnya dijadualkan akan diadakan pada 22 Oktober di Philip Island, Australia.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga