Dovizioso Menang MotoGP Sepang, Semakin Hampiri Kedudukan Marquez

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso berjaya memenangi MotoGP Sepang buat dua kali berturut-turut untuk terus menekan kedudukan Marc Marquez dalam perebutan juara keseluruhan MotoGP.

Marc Marquez hanya mampu menghabiskan perlumbaan di kedudukan keempat. Rakan sepasukan Dovizioso, Jorge Lorenzo berjaya menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi pelumba rookie, Johann Zarco.

Legenda MotoGP, Valentino Rossi berjaya menduduki tempat ketujuh dibelakang rakan senegaranya, Danilo Petrucci yang berada di tempat ke-6. Tempat ke-5 dimenangi oleh Dani Pedrosa.

Kemenangan Dovizioso ini kembali menghidupkan peluang beliau untuk memintas Marquez dengan perlumbaan berbaki satu lagi.

Pelumba berasal dari Itali ini memenangi perlumbaan keenam beliau musim ini untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Marquez kepada 21 mata. Perlumbaan terakhir akan diadakan di Valencia, Sepanyol dalam masa dua minggu lagi.

Pendahulu keseluruhan, Marquez jelas tidak mahu mengambil risiko pada perlumbaan kali ini dengan matlamat utama beliau adalah mengutip mata dan mengelakkan dari terjatuh lebih-lebih lagi dengan keadaan litar yang agak lembap.

Walaupun hanya menduduki tangga ke-4, Marquez masih lagi dalam kedudukan terbaik untuk meraih kejuaraan dunia beliau yang ke-4 dari 5 musim MotoGP yang beliau sertai.

Perlumbaan bermula dengan Dani Pedrosa di petak pertama selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan. Johann dipetak kedua diikuti Dovizioso untuk melengkapkan 3 petak hadapan. Marquez yang terjatuh dalam sesi kelayakan hanya mampu meraih petak ketujuh.

Perlumbaan bermula dalam keadaan hujan yang renyai namun reda apabila memasuki pertengahan perlumbaan. Zarco yang memilih tayar lembut memimpin perlumbaan pada peringkat awal tetapi tidak lama, kerana Lorenzo berjaya memintas beliau selepas litar mula kering.

Dovizioso juga berjaya memintas Zarco dan bersaing sengit dengan rakan sepasukannya di Ducati, Lorenzo untuk menduduki tempat pertama.

Pasukan Ducati sedari mereka tidak mampu untuk membiarkan Lorenzo memenangi perlumbaan ini kerana Marquez akan dinobatkan juara dunia andainya Doviziosi tidak berjaya menjuarai perlumbaan di Sepang.

Walaupun demikian, tiada arahan dari pasukan untuk Lorenzo melepaskan kedudukannya kepada Dovizioso. Tidak lama kemudian pada satu selekoh, Lorenzo melakukan satu kesilapan dan kesempatan ini digunakan sebaiknya Dovizioso untuk memintas Lorenzo dan mendahului perlumbaan sehinggalah tamat.

Marc Marquez terpaksa menunggu 2 minggu lagi untuk dinobatkan sebagai juara dunia. Marquez hanya akan terlepas gelaran juara dunia andainya beliau menghabiskan perlumbaan di Valencia luar Top 11 dan Dovizioso pula harus memenangi perlumbaan tersebut.

Satu tugas sukar yang amat sukar buat Dovizioso tetapi segalanya boleh berlaku dalam MotoGP.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga