Drama Liga Juara-Juara: Atalanta Tertekan, Milan Gagal & Bayern Kukuh

Bola sepak selalu penuh kejutan.

AC Milan sepatutnya mula menjaringkan banyak gol dengan barisan serangan baru mereka. Feyenoord pula dijangka lemah selepas menjual pemain terbaiknya. Bayern Munich dikatakan akan terus bergelut di tempat lawan dan VAR sepatutnya membantu perbetulkan kesilapan pengadil.

Namun, seperti yang dapat dilihat dalam aksi play-off Liga Juara-Juara malam tadi, bola sepak jarang mengikut skrip yang dijangka.

Berikut adalah analisis tentang perkara utama dari perlawanan malam Rabu.


Keputusan Penalti yang Dipertikai

“Bola sepak kini menjadi sukan yang berbeza. Ia sudah jauh lari dari apa yang sepatutnya… Saya pun dah tak faham peraturan lagi dan saya memang tak suka keadaan ini.”

Begitulah luahan jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini selepas pasukannya berhadapan dengan sepakan penalti pada minit ke-91 ketika menentang Club Brugge di Belgium.

Atalanta hampir menutup perlawanan dengan keputusan 1-1 sebelum pengadil menghadiahkan penalti kepada Club Brugge. Keputusan itu dianggap sangat kontroversi.

Dalam insiden tersebut, Isak Hien pemain pertahanan Atalanta sedang mengawal bola dalam kotak penalti. Dia diasak oleh Gustaf Nilsson dari Brugge dan terdapat sedikit sentuhan lengan antara mereka. Nilsson kemudian jatuh dengan mudah dan pengadil terus memberikan penalti walaupun pemain Brugge sendiri tidak mendesaknya.

Keputusan itu membuatkan 6 pemain Atalanta mengepung pengadil dan Gasperini sendiri menunjukkan isyarat protes dengan 2 tangan.

Pengadil VAR, Pol van Boekel dari Belanda menyokong keputusan pengadil utama, Halil Umut Meler dari Turki. Lebih teruk, selepas insiden itu 3 pemain Atalanta termasuk Hien dikenakan kad kuning kerana membantah keputusan itu.

Nilsson kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti dan Gasperini terus meluru keluar padang sebelum perlawanan tamat. Selepas perlawanan, kemarahan Atalanta masih belum reda dengan beberapa pemain terpaksa dikawal oleh pegawai keselamatan.

Pemain tengah Atalanta, Marten De Roon menyifatkan keputusan itu sebagai tidak masuk akal. Malah, pemain Brugge sendiri, Hans Vanaken mengakui bahawa mereka mendapat “nasib baik”.

Bekas pemain Brugge, Charles De Ketelaere yang kini bersama Atalanta juga melabel pengadil sebagai “arogan” dan berkata:

“Jika anda tanya 100 orang, saya yakin tiada seorang pun yang akan kata itu adalah penalti.”

Perlawanan timbal balik minggu depan di Bergamo pasti akan menjadi sengit.


“Fab Four” Gagal Menyerlah

Barisan serangan baru AC Milan yang digelar “Fab Four” diharapkan dapat membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.

Kuartet ini terdiri daripada:

  • Christian Pulisic – pemain sayap berbakat dari AS
  • Rafael Leao – bintang Portugal yang pantas dan lincah
  • Joao Felix – pemain kreatif yang dipinjam dari Chelsea
  • Santiago Gimenez – penyerang berbisa dari Mexico yang dibeli dari Feyenoord

Namun, debut mereka sebagai satu unit berakhir dengan kekecewaan. Milan tumpas 0-1 kepada Feyenoord dengan jumlah Expected Goals (xG) hanya 0.57.

Milan hampir tidak mencipta sebarang peluang berbahaya sepanjang perlawanan. Malah, 3 daripada 4 pemain serangannya ditukar keluar sebelum perlawanan tamat.

Walaupun ia baru 1 perlawanan namun keputusan itu menimbulkan persoalan – adakah “Fab Four” ini benar-benar sehebat yang diharapkan?


Siapa Perlukan Pengurus?

Kemenangan Feyenoord ke atas Milan lebih mengejutkan kerana mereka baru sahaja memecat jurulatihnya, Brian Priske 2 hari sebelum perlawanan.

Priske sebenarnya menang dalam perlawanan terakhirnya tetapi Feyenoord kini berada di tangga ke-5 Eredivisie dan tersingkir dari Piala Belanda. Keadaan mereka dilihat tidak stabil.

Lebih memeritkan mereka kehilangan pemain terbaiknya, Santiago Gimenez yang berpindah ke Milan selepas undian perlawanan ini dibuat.

Namun, semua itu tidak menjadi halangan. Feyenoord tetap berjaya meraih kemenangan dengan gol tunggal perlawanan hadir hasil kesilapan penjaga gol Milan, Mike Maignan.

Maignan gagal menangkap bola dengan baik selepas percubaan Igor Paixao pada minit ke-3. Hantaran lemah itu sepatutnya mudah diselamatkan tetapi bola tergelincir dari tangannya dan masuk ke gawang.

Bagi Feyenoord, kemenangan ini cukup bermakna selepas tempoh sukar yang mereka lalui.


Bayern Tundukkan Celtic di Parkhead

Bayern Munich mungkin mendahului Bundesliga dengan 8 mata tetapi mereka sering bergelut dalam perlawanan di tempat lawan.

Di Liga Juara-Juara musim ini, Bayern menang kesemua 4 perlawanan di tempat sendiri tetapi tewas 3 daripada 4 perlawanan di tempat lawan termasuk di Aston Villa dan Feyenoord.

Bermain di Celtic Park, salah satu stadium dengan atmosfera paling bising di Eropah dilihat sebagai ujian sebenar buat Bayern.

Celtic hampir mencipta kejutan apabila Nicolas Kuhn menjaringkan gol selepas 25 saat permainan tetapi ia dibatalkan kerana ofsaid. Selepas itu Bayern mula mendominasi perlawanan.

Michael Olise membuka jaringan dengan rembatan cantik ke sudut atas gawang. Kemudian, Harry Kane yang tidak dikawal dalam kotak penalti menambah gol ke-2 dengan voli mudah.

Kane kini telah menjaringkan 29 gol dalam 29 perlawanan musim ini. Lebih menarik, Kane telah menjaringkan 19 gol ketika Kasper Schmeichel Kasper Schmeichel menjadi penjaga gol, menjadikannya penjaga gol yang paling banyak dibolosi oleh Kane sepanjang kariernya.

Celtic cuba bangkit dengan gol Daizen Maeda dan mereka perlukan keajaiban di Jerman minggu depan untuk meneruskan cabaran.


Kad Kuning yang Menghancurkan Impian

Pertandingan Liga Juara-Juara sering menjadi pentas impian buat pemain. Namun, bagi pemain Monaco, Moatasem Al-Musrati ia menjadi mimpi ngeri.

Pemain tengah Libya itu melakukan kesilapan kecil tetapi akibatnya besar. Dia telah menerima kad kuning awal dalam perlawanan menentang Benfica.

Ketika rakan sepasukannya, Breel Embolo, dijatuhkan oleh pemain Benfica, Alvaro Carreras, Al-Musrati mengisyaratkan kepada pengadil supaya memberikan kad kepada Carreras.

Tetapi, tindakannya membawa padah – pengadil terus memberikan kad kuning kedua kepadanya dan dia dibuang padang.

Akibatnya, Al-Musrati akan terlepas perlawanan timbal balik dan dengan Monaco ketinggalan 0-1, masa depannya dalam Liga Juara-Juara musim ini kini diragui.

Sementara itu, Benfica terus menambah derita Monaco menerusi jaringan Vangelis Pavlidis, pemain yang kini sudah menjaringkan 6 gol dalam Liga Juara-Juara musim ini.


Kesimpulan

Malam Liga Juara-Juara kali ini membuktikan bahawa tiada yang pasti dalam bola sepak. Keputusan kontroversi, kesilapan individu dan kegagalan pasukan besar semuanya berlaku – menjadikan kejohanan ini terus penuh kejutan.

BACA:  Dakwa VAR Tak Pernah Betul, Liverpool Mahu Rayu Kad Merah Curtis Jones