Drogba Catat Hat-trick Dan Meraikan Golnya Dengan Keraian Ikonik

Didier Drogba kembali menjalani rutin harian beliau sebagai mesin pencetak gol selepas lama berehat, dengan beliau meledak hat-trick ketika beraksi dalam satu perlawanan amal.

Legenda Chelsea itu terkenal dengan kualiti penyudah yang beliau miliki, dan selepas bertahun-tahun bersara, ternyata beliau masih berbisa seperti dahulu.

Legenda bola sepak Ivory Coast itu menyarung jersi Marseille untuk beraksi bertemu kesebelasan terbaik UNICEF Wenger, bersama pemain seperti Robert Pires dan Samir Nasri.

Drogba menjaringkan dua gol sebelum beliau meledak hat-trick dan meraikan gol ketiganya dengan keraian terkenal beliau ketika kemuncak kariernya dahulu.

Sementara bintang F1, Pierre Gasly turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Juara empat kali gelaran Premier League itu sebelum ini pernah menjaringkan 164 gol dari 381 penampilan untuk gergasi London itu.

Beliau berjaya membawa pulang bola perlawanan selepas mencatat hat-trick ketika membantu pilihan Marseille mencatatkan kemenangan 7-4.

Bekas bintang Arsenal, Nasri yang sebelum ini pernah dianggap pemain paling berbakat dalam saingan Premier League, turut diundang untuk beraksi dalam kesebelasan pilihan Marseille.

Hal ini kerana beliau memulakan karier awalnya dahulu bersama pasukan dari Perancis itu, sebelum menjadi pemain ternama di pentas bola sepak Inggeris.

Bekas bintang Manchester City itu mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak kira-kira dua minggu yang lalu di usia 34 tahun.

Namun peminat agak terkejut melihat badan beliau ketika ini, yang mana Nasri nampak seperti baru disengat tebuan tanah kerana seluruh badannya membengkak.

Pires juga sebelum ini pernah beraksi selama dua tahun bersama Marseille sebelum beliau menyertai Arsenal dan menjadi legenda dalam saingan Premier League.

Pemain penyerang itu benar-benar menjadi pemain kesayangan peminat ketika kariernya bersama Gunners, dan status legenda beliau semakin kuat kerana Pires juga merupakan salah seorang pemain yang berjaya membantu Arsenal memenangi gelaran ‘Invincibles’.

Beliau dianggap antara pemain penyerang paling hebat dalam sejarah Arsenal dan namanya masih lagi menjadi sebut-sebutan para peminat hingga ke hari ini.

Wenger merupakan pengurus yang berjaya menaikkan nama Pires dan beberapa lagi bintang emas Arsenal pada ketika itu.

Dan dalam pertemuan pada hari ini, Wenger merupakan pengurus yang dilantik untuk mengurus skuad UNICEF bertemu legenda Marseille.

Agak menarik untuk melihat legenda-legenda ini semua bergabung dan bermain bersama, dengan mereka semua dilihat masih mempunyai kualiti permainan yang sungguh menakjubkan.

Melihat Drogba menjaringkan gol, mencatatkan hat-trick dan meraikan gol dengan keraian ikonik itu, ia jelas mengimbau kenangan para peminat terhadap era kegemilangan mereka dahulu.

Di usia 34 tahun, walau masih ramai pemain yang masih aktif bermain, ia jelas sekali agak mengejutkan untuk melihat tubuh Nasri pada ketika ini mengembang dengan jayanya seperti itu.

BACA:  Drogba Antara 9 Lagenda Yang Tidak Pernah Menang Player Of The Month