DSV Mahu cari Pelapis Di Kalangan Orang Asli

KOTA BHARU: Selepas menjadi penaja pasukan Liga Super, Kelantan, pengasas produk kosmetik Qu Puteh, Dr Vida kini berminat membantu membangunkan pemain muda bola sepak dari kalangan komuniti Orang Asli di negara ini.

Bagi mencapai hasrat berkenaan, Dr Vida atau nama sebenarnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman merancang menghantar pelatih bagi mencari pemain berusia 15 hingga 18 tahun di seluruh negara.

“Saya kini mahu mencari pelapis di kalangan Orang Asli memandangkan mereka mempunyai ketahanan fizikal luar biasa dan tangkas yang biasanya ada pada pemain bertaraf profesional seperti Cristiano Ronaldo dan Neymar da Silva.

“Jadi, Orang Asli pun boleh jadi seperti mereka kalau digilap kerana sudah mempunyai kelebihan itu kecuali gaya bola sepak.

“Berikutan itu, kita akan menghantar pelatih di setiap negeri untuk mencari bakat di kalangan mereka sebelum dipilih untuk dilatih ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi BH Sukan sebentar tadi.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Dr Vida bakal menaja lebih RM20 juta bagi memastikan skuad Kelantan berada pada prestasi terbaik.

Selain itu, beliau juga memperuntukkan RM16 juta untuk dua musim kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) manakala selebihnya untuk tujuan pemasaran dan pembangunan termasuk akademi bola sepak di negeri ini.

Mengulas lanjut, Dr Vida yang Penasihat Kehormat Kelantan berkata, pihaknya akan menyediakan jurulatih profesional bagi memberi latihan kepada mereka yang terpilih sehingga menjadi bintang sebelum diserap masuk ke pasukan negeri.

Katanya, selain diberi latihan, mereka juga akan ditempatkan di asrama selain ditanggung belajar di mana-mana sekolah supaya tidak tercicir dalam bidang pendidikan.

“Kita mahu membentuk mereka ini bermula peringkat sekolah lagi,” katanya.

Dr Vida berkata, apa yang dilakukan itu adalah semata-mata kerana komitmen dan kesungguhannya dalam meningkatkan pembangunan sukan negara ini sehingga ke peringkat akar umbi supaya dapat bersaing dengan pasukan luar luar.

Katanya, inisiatif ini adalah di bawah pembangunan sukan syarikatnya sendiri selepas menyedari kelebihan Orang Asli yang mempunyai stamina tinggi perlu dimanfaatkan ke dunia bola sepak sekiranya mereka mempunyai kebolehan itu.

“Mereka yang mempunyai minat, bakat dan pandai bermain bola sepak perlu mengambil peluang ini dan boleh hubungi Bahagian Pembangunan Sukan, Puan Fiza di talian 013-5808850,” katanya.

Selanjutnya di : Berita Harian

Baca Juga

Baca Juga