Dua Pemain Yang Sendu di Manchester United, Membantu Melonjakkan Villareal

Suatu ketika dahulu, kelab yang berpangkalan di England, Manchester United, pernah menggegar dan menguasai pentas bola sepak di negara asalnya dan juga benua Eropah.

Hal ini kerana pada suatu ketika dahulu United mempunyai pemain yang hebat di segenap posisi – penjaga gol, pertahanan, pemain tengah dan juga penyerang. Ditambah pula dengan pemain kelahiran akademi mereka yang cukup gah dan diadun sebati sebagai pasukan juara oleh pengurus lagenda mereka, Sir Alex Ferguson.

Saban tahun mereka menjadi pilihan para pundit dan juga kaki judi yang menyasarkan pasukan ini muncul juara dalam apa jua pertandingan yang mereka sertai, terutamanya Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Tapi itu cerita dulu lah.

Sekarang ini kelab ini lebih banyak muncul di pentas Liga Europa berbanding UCL kerana prestasi yang tidak menentu. Ajaibnya, kebelakangan ini setiap kali mereka menyertai Europa, mereka pasti akan sampai ke perlawanan akhir dan pada tahun ini United akan menentang kelab dari Sepanyol, Villareal.

Villareal kalau nak kira bukanlah satu pasukan yang digeruni sama ada di Sepanyol atau pun di Eropah.

Kali terakhir mereka mencipta kejutan adalah lebih 10 tahun yang lalu di mana Juan Roman Riquelme mengetuai jentera pasukan ini dan membawa pasukan Kapal Selam Kuning ini mara sehingga ke peringkat separuh akhir UCL.

Menariknya tentang Villareal ni, mereka pernah menjadi tempat untuk dua penyerang dari Manchester United untuk bangkit daripada prestasi yang tidak menentu kepada penggempur gawang yang digeruni.

Giuseppe Rossi

Penyokong tegar Manchester United pasti kenal akan pemain ini. Suatu ketika dahulu Rossi pernah menjadi sebutan dan digelar wonderkid.

Dilahirkan di Amerika Syarikat, Rossi merupakan anak kepada imigran dari Itali, Fernando Rossi dan ibunya Cleonilde. Kedua orang tuanya bertugas sebagai guru bahasa di New Jersey dan ketika Rossi berusia 12 tahun, mereka kembali ke Itali memandangkan Rossi si anak ditawarkan tempat di dalam pasukan belia Parma.

Ketika usianya 17 tahun, Rossi ditawarkan kontrak oleh Manchester United dan dia belajar erti bola sepak sebenar di akademi Carrington.

Dek kecemerlangannya, Rossi dianugerahkan Pemain Muda Terbaik Jimmy Murphy pada musim 2004-2005. Pada musim berikutnya pula dia menggondol anugereah Pemain Terbaik Pasukan Simpanan Denzil Haroun.

Detik yang paling diingati penyokong United(kalau dah lahir lah waktu tu) adalah ketika Rossi melakukan debut Premier League – perlawanan menentang Sunderland.

Dia dimasukkan pada minit ke 78, menggantikan Ruud Van Nistelrooy, pada kedudukan United mendahului lawan 2-1. Tidak lama kemudian, Rossi yang mendapat umpanan cantik daripada Rooney, merembat bola dari luar kawasan penalti dan menerjah gawang.

Tiada siapa menyangka bahawa gol tersebut adalah satu-satunya gol yang berjaya disumbangkan Rossi kepada United sebelum dihantar keluar secara pinjaman ke Newcastle dan Parma pada dua musim berikutnya.

Gagal untuk menembusi barisan serangan Untied yang ketika itu dibarisi oleh pemain seperti Rooney, Ronaldo dan Louis Saha, Alan Smith serta penyerang lagenda United Dong Fangzhou, Rossi memilih untuk berhijrah secara tetap ke Sepanyol dan menyertai Villareal.

Perpindahan ini difahamkan bernilai 6 juta GBP dan United dikatakan telah meletakkan kalusa pembelian semula. Tidak menunggu lama, Rossi terus memenangi hati penyokong Villareal dengan menjaringkan gol dalam debutnya ketika menentang Valencia.

Pada musim pertama, Rossi berjaya menjaringkan sebanyak 13 gol, diikuti 15 dan 17 gol pada dua musim berikutnya. Musim terbaiknya hadir pada 2010-2011.

Rossi berjaya menjaringkan 32 gol dalam 56 perlawanan secara keseluruhan, dengan 18 gol dalam La Liga sekaligus membantu Villareal menamatkan musim di tangga keempat, sekaligus layak ke UCL pada musim berikutnya.

Dia juga telah menjaringkan 11 gol dalam saingan Liga Europa dan membawa Villareal mara ke peringkat separuh akhir.

Langit disangka cerah sampai ke petang, namun hujan di tengah hari. Pada musim 2011-2012, Rossi mengalami kecederaan yang paling ditakuti pemain bola – anterior cruciate ligament ketika mereka tewas kepada Real Madrid 0-3 pada Oktober 2011.

Pemain kacak ini terpaksa disisihkan selama enam bulan, dan kembali berlatih pada April 2012. Malang bagi Rossi apabila dia sekali lagi mengalami kecederaan di tempat yang sama dan terpaksa berehat selama 10 bulan pula. Sejak detik itu, Rossi tidak mampu untuk kembali cemerlang seperti sebelumnya.

Diego Forlan

Berbanding Rossi, Diego Forlan, pemain berasal dari Uruguay ini mungkin lebih diingati oleh penyokong Manchester United kerana penyudah tajamnya di depan gol.

Bagi penyokong United, dia digelar cult hero ataupun dalam bahasa mudahnya pemain kesukaan penyokong dan sehingga ke hari ini, nama Forlan masih dinyanyikan oleh penyokong United di Old Trafford kerana sumbanganya menjaringkan 2 gol ketika menewaskan Liverpool suatu ketika dahulu.

Dibeli pada nilai GBP 6.9juta dari Independiente, Argentina pada tahun 2002, Forlan melakukan debut pada 29 Januari menggantikan Ole Gunnar Solskjaer ketika mereka menewaskan Bolton Wanderers 4-0 di tempat lawan. Selepas itu Forlan bermain sebagai kesebelasan utama ketika menang 4-0 ke atas Tottenham Hotspur di laman sendiri.

Pada musim pertamanya, dia telah tampil dalam 13 perlawanan liga dan 5 perlawanan UCL, tapi gagal menjaringkan sebarang gol.

Musim berikutnya, selepas menggantikan Ryan Giggs pada minit ke 56 dalam perlawanan UCL menentang kelab yahudi, Maccabi Haifa, Forlan akhirnya berjaya faham apa rasanya menjaringkan gol sebagai pemain United menerusi sepakan penalti.

Gol liga pertamanya pula hadir pada perlawanan menentang Aston Villa di mana pasukannya seri 1-1 di Old Trafford. Perlawanan berikutnya menjadi tumpuan satu dunia sehinggalah FIFA menggubal peraturan baharu.

Ketika menentang Southampton, Forlan berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika kedudukan terikat 1-1 di mana dia menewaskan penjaga gol lawan Antti Niemi pada minit ke 85. Seperti biasa, Forlan akan meraikan jaringan dengan membuka baju, tapi pada hari tersebut dia mengalami kesukaran untuk pakai baju semula sehinggakan mengejar bola sambil tidak berbaju.

Selepas empat musim di United, Forlan sekadar  menjaringkan 10 gol liga dan ini ternyata tidak cukup baik untuk pasukan bertaraf dunia itu.

Forlan berpindah ke Villareal pada tahun 2004, dan dalam perlawanan pertama ketika menentang Valencia, Forlan telah menjaringkan gol debut. Di antara 12 Disember 2004 sehingga 16 Januari 2005, Forlan telah menjaringkan sebanyak 7 gol dalam 5 perlawanan Liga termasuk 2 gol ketika Villareal membelasah Barcelona 3-0.

Pada May 2005, Forlan telah menjaringkan hatrik pertamanya di peringkat Eropah ketika seri 3-3 menentang Barcelona. Musim tersebut menyaksikan dia memenangi anugerah kasut emas La Liga dengan 25 gol, serta berkongsi anugerah kasut emas Eropah bersama penyerang Arsenal, Thierry Henry.

Musim berikutnya pula menyaksikan kemerosotan jaringan Forlan memandangkan Villareal ketika sedang melalui fasa perubahan, tetapi masih mampu membawa pasukan Kapal Selam kuning mara ke peringkat separuh akhir UCL sebelum ditendang keluar oleh Arsenal.

Musim terakhir Forlan di Villareal menyaksikan dia berjaya menjaringkan 19 gol dalam 36 perlawanan liga, sebelum dijual ke Atletico Madrid musim berikutnya di mana dia sekali lagi muncul sebagai antara penyerang terbaik dunia.

Itu kita cerita lain kali lah ya.

Baca Juga

Baca Juga