Dua Pengurus Premier League Dipecat Dalam Tempoh Seminggu

Seperti yang kita ketahui, liga Inggeris boleh dikatakan sebagai liga yang paling kompetitif di atas muka bumi, selain Liga Super Malaysia dan para pengurus sering diletakkan harapan yang tinggi untuk melakukan keajaiban dengan pasukan masing-masing. Andai tersilap langkah, maka pengurus akan kehilangan kerja serta-merta.

Pada minggu lalu, bekas juara Premier League, Leicester telah memecat jurulatihnya, Craig Shakespeare, empat bulan selepas menggantikan Claudio Ranieri.

Shakespeare dipecat minggu lalu

Shakespeare dipecat selepas prestasi suram The Foxes di mana mereka terperosok ke tangga tiga terbawah selepas sekadar mengumpul enam mata daripada lapan perlawanan. Selepas dipecat Shakespeare dikatakan mahu lebih fokus untuk meneruskan karya puisi dan mungkin akan menulis semula Sonnet 18.

Antara pengganti yang disebut-sebut bakal mengisi kerusi pengurus di Leicester ialah Sean Dyche, Sam Allardyce, Roberto Mancini dan juga Martin O’Neill.

Selain Shakespeare, seorang lagi pengurus yang menjadi mangsa ialah Ronald Koeman apabila dia dipecat oleh lembaga pengarah Everton, sehari selepas dibelasah bakal juara Liga Europa, Arsenal.

Koeman dipecat selepas prestasi merudum Everton

Sebelum perlawanan menentang Arsenal, prestasi Everton juga dilihat tidak menentu meskipun telah berbelanja besar pada musim panas lalu di mana mereka telah membawa masuk Wayne Rooney, Davy Klaasen, Gyfli Sigurdsson dan juga Michael Keane.

Antara nama-nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Koeman ialah bekas jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti dan juga bekas pengurus Manchester City, Roberto Mancini.

Sebenarnya ada baiknya juga bila jurulatih dipecat, sekurang-kurangnya mereka akan menerima pampasan, berbanding di Malaysia di mana jurulatih direhatkan dan digantung tak bertali bagaikan lagu Tergantung Sepi nyanyian Haqiem Rusli.

Yang paling kesian adalah jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail. Pada tahun ini beliau bagaikan bola ditendang pengurusan mendap pasukan Kelantan di mana beliau pernah diganti pada pertengahan musim oleh jurulatih scammer yang tidak mempunyai lesen kejurulatihan. Legenda pun dilayan teruk macam ni, demo sek penyokong nok harap gapo?

Baca Juga

Baca Juga