Liga Perdana Inggeris merupakan liga yang paling ramai diikuti peminat bolasepak dan turut menerima tajaan tertinggi di dunia. Jadi tidak hairanlah Liga Perdana Inggeris pada masa ini dipenuhi dengan bintang berkelas dunia.
Salah seorang pemain yang boleh dikategorikan sebagai pemain terbaik dalam liga buat masa ini adalah Eden Hazard. Dan tidak ramai pemain yang mampu mengatasi permainan yang ditonjolkannya ketika ini.
Sejak menyertai Chelsea dari Lille, Hazard telah berjaya membantu The Blues memenangi dua kejuaraan liga disamping meriah pelbagai anugerah peribadi.
Untuk rekod, pada musim 2014/15, ketika Jose Mourinho membimbing Chelsea ke persada liga, penyerang ini telah diiktiraf sebagai pemain terbaik di England, dengan memenangi Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA pada musim tersebut.
Musim lepas ketika skuad Antonio Conte unggul mendominasi liga, rakan sepasukannya, N’Golo Kante telah dipilih untuk memenangi anugerah tersebut tetapi ramai percaya Eden Hazard lebih berhak untuk memenanginya sekali lagi.
Musim ini menyaksikan Hazard seperti sudah kembali pada tahap terbaiknya walaupun terlepas perlawanan awal liga kerana kecederaan.
Aksi beliau ketika Chelsea menewaskan Atletico Madrid di tempat lawan dan ketika menewaskan Manchester United minggu lepas sangat mengagumkan dan pihak lawan seperti tiada idea untuk merantai pergerakan pemain lincah berasal dari Belgium ini.
Akan tetapi, adakah Hazard menganggap beliau sebagai pemain terbaik dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini? Jawapannya tidak. Hazard beranggapan terdapat seorang pemain yang boleh diangkat sebagai pemain terbaik liga buat ketika ini.
Pemain yang dimaksudkan Hazard adalah rakan senegaranya, Kevin De Bruyne. Pemain tengah Manchester City ini sudah menjadi calon pilihan untuk memenangi Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA musim ini walaupun liga baru sahaja mencecah 11 perlawanan.
Ketika berucap menjelang pertemuan persahabatan Belgium menentang Mexico, beliau telah menamakan De Bruyne sebagai pemain terbaik dan Manchester City sebagai pasukan terbaik dalam liga ketika ini.
“Manchester City adalah pasukan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dan Kevin De Bruyne adalah pemain paling penting dalam sistem yang diterapkan Pep Guardiola. Amat mudah untuk bermain bersama De Bryune kerana kami memang berkawan baik.”
Hazard dan De Bruyne dijangka akan diturunkan bermain dalam 2 perlawana persahabatan yang melibatkan Belgium pada aksi antarabangsa kali ini, sebagai persiapan menjelang Piala Dunia yang bakal diadakan tahun hadapan.
“Adakah saya akan bermain kedua-dua perlawanan? Mungkin tidak masuk akal untuk saya bermain 90 minit untuk kedua-dua perlawanan tetapi saya tetap mahu bermain. Secara peribadi, saya berasa baik.
Tiada sebarang kebimbangan mengenai keadaan saya yang baru kembali dari kecederaan. Saya sudah berada pada tahap terbaik tetapi saya tetap mahu menjadli lebih baik.”
Untuk rekod, Jose Mourinho adalah pengurus yang bertanggungjawab melepaskan Kevin De Bruyne kepada Wolfsburg pada tahun 2014 selepas mendakwa pemain ini tidak menunjukkan tahap latihan seperti yang dikehendaki.
Andainya Chelsea tidak menjual De Bruyne, bersama-sama Hazard dan Alvaro Morata, mereka mungkin mempunyai trio serangan terbaik dalam dunia bolasepak.