Edinson Cavani: Saya Tidak Perlu Menjadi Kawan Kepada Neymar

Penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani berkata beliau tidak perlu menjadi kawan kepada Neymar untuk memberikan kejayaan kepada kelab beliau sekarang.

Hubungan dingin diantara dua bintang utama PSG ini menjadi perbualan hangat media beberapa minggu lalu selepas insiden berebut penalti dan sepakan percuma dalam perlawanan menentang Lyon.

Dalam perlawanan tersebut, Neymar mahu mengambil sepakan penalti selepas berjaya memenanginya. Walaubagaimanapun, Cavani tetap bertegas untuk mengambil penalti dan malangnya, sepakan penalti Cavani telah diselamatkan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes.

Selepas itu, berlaku lagi pertelingkahan kali ini melibatkan sepakan percuma yang mana telah diambil oleh Neymar, selepas Dani Alves merampas bola dari Cavani dan memberikannya kepada Neymar.

“Rungkup sikit kaki masa rembat, InsyaAllah masuk” Foto : FRANCK FIFEFRANCK FIFE/AFP/Getty

Kedua-dua pemain dilaporkan telah berdamai selepas masuk campur dari pengurus PSG, Unai Emery yang mahu tiada sebarang konflik berlaku dalam pasukannya.

Emery turut berkata tugasan mengambil penalti harus dikongsi sesama mereka dan mahu Neymar dan Cavani menentukan sendiri siapa yang patut mengambil sepakan penalti ketika perlawanan.

Untuk rekod, Cavani adalah pengambil sepakan penalti utama diikuti oleh Neymar.

Dalam saingan Liga Juara-Juara minggu ini, PSG mengekalkan rekod bersih mereka dalam kumpulan dengan membenam RSC Anderlecht 4-0 di gelanggang lawan.

PSG bermain cemerlang dalam perlawanan tersebut dengan trio utama mereka, Cavani, Mbappe dan Neymar masing-masing menjaringkan satu gol setiap orang, dengan Angel Di Maria melengkapkan malam penuh gemilang kelab Perancis tersebut dengan gol terakhir perlawanan.

Gaduh minta bola | Gambar : The Sun

Ketika bercakap kepada pemberita, Cavani ditanya lebih lanjut mengenai insiden beliau dengan Neymar tersebut.

“Insiden penalti itu semuanya adalah sebahagian dari bolasepak, ianya perkara lepas. Perkara sebegini adalah biasa dalam bolasepak. Perkara paling penting sekarang adalah mencari jalan penyelesaian secara bersama dan bekerja sebagai satu pasukan. Ini penting bagi membolehkan kami mencapai kejayaan musim ini.”

“Kami perlu menjadi pasukan yang kompetitif, dan kami tidak perlu menjadi kawan kepada satu sama lain atau seperti sebuah keluarga. Apa yang paling penting adalah kami mampu untuk memberikan seratus peratus di atas padang dan bekerja secara profesional.”

“Di luar bolasepak, setiap pemain ada kehidupan peribadi masing-masing. Setiap orang mempunyai kelakuan sendiri dan cara berfikir sendiri.”

Sejak inisiden berebut penalti tersebut, PSG telah dianugerahkan satu sepakan penalti dan ianya telah diambil dengan jayanya oleh pemain rekod dunia mereka, Neymar ketika PSG menang 6-2 ke atas Bordeaux sebelum rehat aksi antarabangsa lalu.

“Bersabar sayang, nanti kita cuba lagi” Pujuk Cavani. Foto :

Walaupun kini terpaksa berkongsi tugasan mengambil penalti, Cavani masih lagi menjadi punca utama untuk PSG menjaringkan gol dalam saingan Ligue 1. Setakat ini, beliau telah berjaya menjaringkan 8 gol dalam semua pertandingan domestik Perancis, 2 gol melebihi Neymar yang kini mengumpul 6 gol.

Kehadiran Neymar juga menjadikan Cavani pemain yang lebih tajam, dengan peratusan ‘shot conversion goal’ meningkat kepada 25.8% setakat ini.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga