Ejen Antony Kritik Ruben Amorim: “Dia Merendahkan La Liga”

Ejen Antony Kritik Ruben Amorim: “Dia Merendahkan La Liga”

Ejen kepada Antony, Junior Pedroso telah mengkritik ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim selepas pengurus itu mendakwa kejayaan pemain sayap Brazil itu di Real Betis disebabkan oleh tahap fizikal yang lebih rendah di La Liga berbanding Liga Perdana Inggeris.

Sejak dipinjamkan ke Real Betis pada Januari lepas, Antony telah menjaringkan 3 gol dan menyumbang 2 bantuan gol. Prestasi itu jauh lebih baik berbanding ketika di Manchester United di mana dia hanya menjaringkan 12 gol dalam 96 penampilan.

Dalam temu bual bersama TNT Sports pada Februari lepas, Amorim berkata:

“Antony jauh lebih baik di Sepanyol. Ia disebabkan oleh banyak faktor tetapi saya jamin salah satu sebab utama ialah tahap fizikal liga tersebut.”

Kenyataan itu tidak disenangi oleh Pedroso. Dalam wawancara bersama Marca, dia membidas Amorim dengan mengatakan bahawa analisis jurulatih United itu adalah tidak tepat dan merendahkan liga di Sepanyol.

“Kami sama sekali tidak bersetuju dengan analisis itu. Kenyataan Amorim ini seolah-olah merendahkan La Liga dan kejohanan bola sepak Sepanyol.”

Pedroso mengakui bahawa gaya permainan di La Liga memang lebih sesuai dengan karakter Antony tetapi itu bukanlah satu-satunya faktor kejayaan pemain tersebut di Betis.

“Hakikatnya, Antony tidak diberikan peluang yang mencukupi atau keyakinan yang diperlukan untuk menunjukkan prestasi terbaiknya di United,” kata Pedroso.

Menurutnya lagi, sepanjang 15 perlawanan Amorim mengendalikan United, Antony hanya diturunkan dalam 9 perlawanan dengan jumlah keseluruhan 252 minit permainan.

“Bagaimana seseorang boleh menilai pemain jika dia tidak diberikan peluang yang cukup untuk membuktikan kemampuannya?”

Pedroso turut menambah bahawa isu sebenar bukanlah tahap fizikal liga tetapi cara Antony diuruskan di Manchester United.

“Ramai pemain yang gagal di United akhirnya berjaya di kelab lain. Ini menimbulkan persoalan, adakah masalahnya benar-benar terletak pada pemain atau pada kelab itu sendiri?”

Sebelum berpindah ke Betis, Antony telah bermain dalam 14 perlawanan musim ini untuk United tetapi hanya 3 kali sebagai kesebelasan utama, tanpa sebarang penampilan dalam Liga Perdana Inggeris.

Kontrak Antony di Old Trafford masih berbaki sehingga 2027, dengan pilihan untuk dilanjutkan setahun lagi.

BACA:  Adakah Kejujuran Amorim Boleh Memakan Dirinya Sendiri?