Emery Beri Amaran Kepada Ozil, Setiap Pemain Harus Jalankan Tugas Ketika Bertahan

Pengurus Arsenal, Unai Emery berkata beliau mahu setiap pemainnya menjalankan tugas ketika bertahan, dan pemain seperti Mesut Ozil tidak terlepas dari melakukan tugas tersebut.

Emery melakukan debut Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City minggu lalu yang berakhir dengan kekalahan 2-0 di hadapan penyokong sendiri. Ozil merupakan salah seorang pemain yang berada dalam kesebelasan utama perlawanan tersebut.

Ozil tidak terlepas dari melakukan kerjanya ketika bertahan

Menjelang perlawanan liga seterusnya menentang Chelsea hujung minggu ini, Emery mahu anak buahnya melipat gandakan usaha dan memberikan komitmen seratus peratus bagi mencatatkan keputusan yang positif di Stamford Bridge.

Ozil sering dikritik kerana gagal menjalankan tugasnya dengan baik ketika pasukan sedang bertahan, termasuk bahasa tubuhnya yang seakan-akan ‘malas’ untuk bermain terutamanya ketika Arsenal sedang ketinggalan.

Walau bagaimanapun, Emey mahu Ozil membuang tabiat tersebut dan memberikan yang terbaik ketika melakukan tugas bertahan untuk pasukan.

Dalam sidang media menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea tengah malam ini, Emery telah ditanya mengenai tugasan bertahan yang diberikan kepada Ozil ketika Arsenal tumpas di tangan City tempoh hari.

Emery akan berikan peluang kepada semua pemain Arsenal untuk tonjolkan kemampuan mereka

“Setiap pemain harus bertahan dalam saat-saat yang genting ketika perlawanan sedang berlangsung. Ada ketika kita akan menyerang, dan ada ketika kita akan bertahan. Semua pemain saya harus ada komitmen untuk bertahan.”

“Bagi saya, kita perlu bermula bersama-sama, sama ada ketika bertahan atau menyerang. Saya mahu setiap pemain saya mempunyai mindset ini ketika beraksi.”

“Sepanjang karier Ozil, beliau kerap bermain sebagai No.10, seperti pemain sayap kanan yang masuk ke dalam untuk menerima bola.”

“Memang jelas beliau perlu mempunyai bola untuk mencipta lebih banyak peluang ketika pasukan melakukan serangan. Kami mahu beliau melakukan perkara tersebut dalam setiap perlawanan tetapi Ozil juga tidak boleh lupakan tugasnya ketika bertahan.”

Emery memilih untuk menggunakan formasi 4-2-3-1 ketika menentang Manchester City tetapi beliau mengakui sistem yang akan diguna pakai sepanjang musim ini mungkin akan berubah.

Formasi Arsenal mungkin akan berubah bergantung kepada prestasi pasukan

“Segalanya bergantung kepada prestasi pasukan. Saya mahu berikan peluang kepada pemain saya dalam setiap perlawanan. Setiap pemain saya sekarang sedang berjuang untuk mendapatkan peluang bermain dan minit permainan untuk berada dalam kesebelasan utama.”

“Sekarang ini, kami hanya akan bermain setiap hari Ahad sahaja, tetapi bermula bulan September kami akan bermain pada hari Ahad dan Khamis. Kami akan bermain lebih banyak perlawanan dari apa yang kami lalui sekarang.”

“Pada waktu itu, setiap pemain dalam pasukan ini akan diberikan peluang untuk menonjolkan kemampuan mereka untuk berada dalam kesebelasan utama.”

BACA:  Wenger Akui Terluka Dengan Perpecahan Yang Wujud Dalam Kalangan Peminat Arsenal