Emery: Cech Akan Bermain Menentang Chelsea

Pengurus Arsenal, Unai Emery mengesahkan Petr Cech akan meneruskan tugasnya selaku penjaga gol utama apabila Arsenal bertandang ke Stamford Bridge untuk berhadapan dengan Chelsea hujung minggu ini.

Arsenal menandatangani penjaga gol Bayern Leverkusen, Bernd Leno pada jendela perpindahan musim panas ini dalam perjanjian bernilai £22 juta. Ramai menyangka Leno akan menjadi penjaga gol utama Arsenal untuk musim ini tetapi Emery membuat kejutan apabila meletakkan Cech dalam kesebelasan utama ketika Arsenal tumpas 2-0 di tangan Manchester City tempoh hari.

Cech masih mendapat kepercayaan Emery walaupun hampir menjaringkan gol sendiri tempoh hari

Walaupun beraksi baik dan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya dalam perlawanan tersebut, Cech menerima kritikan atas kesilapannya yang hampir menjaringkan gol sendiri ketika cuba melakukan ‘build-up’ dari bawah, sesuatu yang cuba Emery praktikkan dalam skuad Arsenal sekarang.

Sebilangan besar peminat Arsenal tidak yakin dengan kemampuan Cech menyesuaikan diri dengan corak permainan yang ingin diterapkan Emery, tetapi Cech mendakwa beliau selesa dengan tanggungjawab yang diberikan Emery kepadanya.

Ketika beraksi menentang City, Cech melakukan ‘pass’ lebih banyak dari mana-mana perlawanan beliau sebelum ini di bawah Arsene Wenger, walaupun 11 ‘pass’ yang dilakukan Cech gagal menemui rakan sepasukan.

Ketika bercakap kepada wartawan menjelang pertemuan menentang Chelsea Sabtu ini, Emery mengesahkan Cech akan meneruskan tugasnya menjaga gawang Arsenal walaupun ramai peminat Arsenal mendesak beliau menurunkan Leno.

Emery masih gembira dengan permainan Cech

“Saya sangat gembira dengan persembahan Petr Cech. Saya rasa beliau mempunyai kualiti, pengalaman, kapasiti untuk menjadi penjaga gol utama kami – dan Bernd Leno juga mempunyai kualiti yang sama.”

“Mereka berdua merupakan penjaga gol yang penting buat kami. Mereka mempunyai kualiti yang berbeza tetapi bagi saya, berdasarkan corak permainan pasukan ini ketika ini, kedua-duanya mampu bermain dengan baik.”

“Keputusan untuk meletakkan siapa yang bermain Sabtu ini senang sahaja, Petr Cech akan meneruskan tugasnya beraksi dalam kesebelasan utama. Saya percaya dengan kemampuan beliau. Jika beliau mempunyai permulaan yang sukar, saya masih lagi percaya dengan kemampuan beliau.”

Emery berdepan tugas sukar untuk mencatatkan keputusan yang baik hujung minggu ini berikutan masalah kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama Arsenal. Antara posisi yang kritikal sekarang adalah pertahanan kiri yang mana Nacho Monreal dan Sead Kolasinac masing-masing tidak dapat diturunkan atas masalah kecederaan.

Detik yang menyebabkan peminat Arsenal menerima serangan jantung

Pemain muda England, Ainsley Maitland Niles diletakkan sebagai bek kiri ketika menentang City tetapi terpaksa diusung keluar pada pertengahan permainan kerana mengalami retak pada bahagian fibulanya. Niles dilaporkan terpaksa berehat selama 8 minggu.

Walau bagaimanapun, Emery mengesahkan Monreal sudah mula menjalani latihan penuh minggu ini dan berpeluang untuk diturunkan ketika menentang Chelsea. Kapten Swtizerland, Stephan Lichsteiner juga boleh diturunkan sebagai bek kiri jika keadaan memaksa.

BACA:  Wenger Tidak Pasti Welbeck Sengaja Atau Tidak Rebahkan Badan Untuk Raih Penalti