Empat Bintang Paling Menyerlah Dalam UCL Musim Ini

Perlawanan pertama untuk pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara sudah berakhir awal pagi tadi dengan Juventus mengalami kekalahan yang pertama mereka di pentas Eropah musim ini kepada Lyon.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi adalah pertemuan antara Real Madrid menentang Manchester City dan tewas di halaman mereka sendiri dengan keputusan akhir Real 1 City 2.

Seperti yang kita ketahui, Liga Juara-Juara tidak pernah gagal memberi kepuasan kepada peminat. Itulah sebabnya ia adalah persaingan yang paling diingini dalam kelab bola sepak.

Dari hari pertama perlawanan peringkat kumpulan hingga Pusingan 16 terbaik, kita disajikan dengan pelbagai aksi dan persembahan hebat dari pasukan serta pemain bintang kesukaan kita semua.

Beberapa pemain telah menunjukkan kepada kita bahawa mereka adalah permata berharga dengan persembahan mereka yang menganggumkan.

pemain-pemain ini dapat menarik perhatian ramai apabila berjaya mempamer aksi cemerlang serta membantu pasukan mereka mencapai kemenangan.

Tanpa berlengah lagi, di bawah adalah empat superstar yang berjaya mencuri perhatian di pentas elit Eropah setakat ini.

4) Dries Mertens

Apabila kita bercakap mengenai pemain Serie A yang cemerlang dalam Liga Juara-Juara pada masa ini sudah pasti ramai akan kata Cristiano Ronaldo.

Walau bagaimanapun, Ronaldo cuma bintang yang sememangnya menyerlah di kejohanan ini sejak beberapa musim sebelum ini. Jika dilihat pada statistik semasa, ada seorang lagi bintang dari Liga Itali, Dries Mertens yang lebih menyerlah berbanding pemain Portugal itu.

Bintang Napoli itu telah menjadi salah satu pemain terbaik sejak sepak mula Liga Juara-Juara musim ini. Aksi beliau telah banyak membantu pasukan Napoli dalam saingan peringkat kumpulan lagi. Beliau juga adalah penjaring gol untuk Napoli ketika menewaskan Juara bertahan Liverpool di peringkat kumpulan.

Apabila Napoli layak ke pusingan kalah mati, mereka telah bertemu dengan pasukan gergasi Sepanyol Barcelona, dan dalam perlawanan itu Mertens sekali lagi menjadi wira Napoli kerana menjaringkan gol untuk mengikat Barca dengan keputusan seri 1-1.

3) Serge Gnabry

Nama Serge Gnabry sudah tidak asing lagi untuk peminat Liga Perdana. Beliau pernah meluangkan sedikit masa di London dengan Arsenal sebelum meninggalkan kelab itu pada tahun 2016.

Dia menghabiskan masa setahun di Werder Bremen sebelum berlepas ke Bayern Munich, dan kini beliau sedang berada di tahap persembahan terbaiknya bersama Bayern dalam Bundesliga dan Liga Juara-Juara.

Pemain yang bermain di posisi attacking midfielder itu menggegarkan dunia bola sepak ketika dia menjaringkan empat gol menewaskan Tottenham di peringkat kumpulan lalu.

Beliau sekali lagi menjadi pemusnah untuk pasukan dari Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan dua gol untuk menewaskan Chelsea dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara baru-baru ini.

Setakat ini Gnabri sudah menjaringkan enam gol dalam liga Juara-Juara, dan kesemua enam gol itu berjaya dijaringkan di London.

2) Erling Haaland

Penyerang sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland adalah antara pemain muda paling menyerlah dalam kejohanan Liga Juara-Juara musim ini.

Pemain muda Norway itu telah menunjukkan prestasi yang sangat luar biasa hebat. Perlawanan pertama beliau di pentas Liga Juara-Juara adalah bersama pasukan RB Salzburg. Dan beliau telah di tandatangani oleh Dortmund ketika jendela perpindahan Januari lalu.

Rekod beliau semasa awal musim Liga Juara-Juara bersama Salzburg, Haaland telah menjaringkan lapan gol dari enam perlawanan peringkat kumpulan. Yang hebatnya adalah beliau berjaya menjaringkan gol ketika menentang pasukan Liverpool di Anfield.

Haaland terus menunjukkan aksi luar biasa beliau dalam aksi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara bersama pasukan Dortmund.

Beliau menjadi wira apabila menjaringkan dua gol yang luar biasa ketika membantu Dortmund menewaskan PSG dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara.

Erling Haaland sudah meledak 10 gol sepanjang kempen Liga Juara-Juara musim ini, satu gol kurang dari Lewandowski. Beliau adalah pemain muda terbaik dalam dunia ketika ini.

1) Robert Lewandowski

Tidak keterlaluan kiranya kalau kita semua menganggap Lewandowski adalah antara penjaring terbaik di Eropah setanding dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi setakat ini.

Sebenarnya aksi yang dipersembahkan oleh pemain antarabangsa Poland itu pada musim ini adalah sesuatu yang hebat. Statistik yang ditunjukkan sangat luar biasa hebat.

Lewandowski telah menjadi masalah besar untuk pemain pertahanan lawan dalam Liga Juara-Juara musim ini. Beliau bijak meloloskan diri dari pertahanan dan membuat penjaga gol kelihatan tidak berdaya ketika dia membuat percubaan tepat ke arah gawang gol.

Dia muncul sebagai penjaring terbanyak ketika di peringkat kumpulan dengan rekod 10 gol dari lima perlawanan. Permulaan yang cemerlang dari beliau di teruskan ke peringkat kalah mati.

Penyerang Bayern Munich itu menjaringkan satu gol dan satu assist dalam perlawanan menentang Chelsea di perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara.

Bayern dengan mudah menjinakkan Chelsea 3-0 di Stamford Bridge pada hari Selasa lalu. Berikutan dari jaringan itu, Lewy kini mempunyai 11 gol dari enam perlawanan di UCL musim ini, yang menempatkannya dengan selesa di puncak carta penjaring terbanyak Liga Juara-Juara.

BACA:  Robert Lewandowski Akhirnya Dinobatkan Pemain Terbaik Dunia