Enam Petua Untuk Bermain Seperti Xavi Hernandez

Ketika masih bergelar seorang pemain Xavi Hernandez merupakan seorang pemain tengah cukup disegani dalam bola sepak dunia, lantaran susuk tubuh yang kecil, Xavi lebih menggunakan akal untuk menjadi nadi pasukan.

Bersama Barcelona, beliau telah memenangi kesemua gelaran dan pertandingan yang disertai – La Liga, Copa Del Rey, Liga Juara-juara, Piala Super Eropah dan juga Kejohanan Kelab-kelab Dunia FIFA.

Bersama Sepanyol pula Xavi telah merasai bagaimana perasaan menjulang Piala Dunia dan juga Kejohanan Eropah. Rekod hantaran Xavi di La Liga sejak musim 2005/06 sangat menakjubkan.

Jumlah Hantaran – 25,473
Peratusan Ketepatan – 92 %

Di atas padang, Xavi bertindak sebagai pencetus dan penghubung kepada gerakan-gerakan serangan yang selalunya akan menghasilkan gol.

Teknik hantaran yang tepat, jitu dan di samping gerakan tanpa bola yang sering memudahkan rakan menghantar bola menjadikan Xavi muncul sebagai antara pemain tengah terbaik pada eranya.

Kehebatannya juga telah membuka hati orang Melayu untuk memberikan nama Mohd Xavi, Xavi Iskandar atau Nik Ahmad Xavi bin Nik Jusoh kepada anak-anak mereka.

Berikut adalah enam petua berguna daripada Xavi tentang bagaimana untuk menjadi pemain hebat sepertinya.

Jangan Tunduk

Menjaga pandangan adalah satu amalan mulia, namun dalam bola sepak sekiranya pandangan sering ditundukkan maka malapetaka akan berlaku.

Bagi Xavi, perkara paling penting sebelum menerima bola ialah memerhatikan keadaan sekitar. Ini adalah untuk menentukan dua perkara;

i- melihat kedudukan pemain lawan yang terdekat dan berpotensi untuk merampas bola

ii- menentukan arah tuju bola akan dihantar atau dibawa.

Tahu Arah Tuju Berikutnya

Pemain amatur selalunya hanya akan berfikir ke mana bola harus dihantar sebaik sahaja menerima bola. Tetapi bagi Xavi, dia sudah tahu apa yang akan dilakukan sebaik sahaja menerima bola.

Ini kerana dia sudah sedia maklum sama ada dia akan mempunyai masa untuk membuat pusingan badan atau menjaga bola daripada dirampas pemain lawan.

Jika dia dalam tekanan pihak lawan, Xavi akan bermain satu atau dua sentuhan, atau mengawal bola dalam jarak beberapa meter supaya dia berada dalam situasi tidak akan kehilangan bola dan memberi peluang kepada rakan sepasukan mencari ruang untuk menerima bola.

Rancang Hantaran

Selain merancang kewangan untuk hantaran perkahwinan, Xavi juga merancang hantaran bola di atas padang. Bagi Xavi, amatlah penting untuk menghantar bola yang sampai kepada rakan sepasukan dalam keadaan rakan tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan aksi berikutnya.

Pertama sekali Xavi akan mencari rakan yang tidak dikawal kerana jika dia memberikan bola kepada rakan yang dikawal, maka kemungkinan besar bola akan dirampas pihak lawan.

Xavi Simons – The Next Xavi

Xavi juga sudah mengenal pasti sama ada rakan yang akan menerima bola tersebut berkaki dominan kanan atau kidal dan dia akan memberi bola di sisi yang mudah untuk rakannya menerima bola dan melakukan gerakan selanjutnya.

Kekuatan Hantaran Ialah Kunci Utama

Kelajuan bola adalah satu kunci utama dalam keberjayaan satu hantaran. Kalau dia set up bola kepada rakan untuk melakukan rembatan ke arah gol, maka bola dihantar perlulah lebih laju.

Barulah rakan sepasukan mampu merembat padu, walaupun ke laut.

Tetapi jika hantaran dalam jarak 5 meter, kelajuannya berbagai-bagai dan ini bergantung kepada siapa yang akan menerima bola dan gerakan apakah yang akan dilakukan selanjutnya.

Contohnya jika dia mahu bermain satu-dua dengan rakannya, maka bola dihantar perlu lebih laju, dan jika rakannya mampu mengawal bola dengan baik seperti admin The Sukan, maka hantaran tidak perlu terlalu laju.

Hantar dan Gerak

Memandangkan Xavi tidaklah segagah John Cena atau Connor McGregor, maka pemain lawan selalunya akan menyasarkan gasakan fizikal terhadap pemain kecil molek ini.

Gerak-gerak khas

Jadi, untuk mengatasi masalah ini, Xavi akan terlebih dahulu bergerak mencari ruang kosong di dalam padang supaya dia akan mempunyai masa untuk berfikir sejenak – kawal bola atau melakukan hantaran.

Ini bermaksud Xavi perlu berlari berbatu jaraknya dalam satu-satu perlawanan. Muju Xavi tak pancit.

Belajar Untuk Mencintai Watak Assist

Xavi sangat gembira jika dia berjaya membantu rakan sepasukannya menjaringkan gol. Baginya, jika dia berjaya melakukan hantaran terakhir sebelum gol dijaringkan dia akan berasa sangat fantastis, terutamanya jika hantaran dilakukan dari tengah, menembusi benteng pertahanan lawan.

Pun begitu, Xavi turut gembira jika dia menjadi pencetus kepada gerakan gol, seperti menghantar bola ke bahagian sayap sebelum hantaran lintang dihantar ke tengah dan ditanduk oleh penyerang.

Antara detik yang paling diingatinya ialah hantarannya kepada Pedro dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara 2011.

Sumber : Fourfourtwo Performance 

BACA:  Kisah Bagaimana Rooney Merayu Kepada Xavi Supaya Berhenti Buli Manchester United