Enea Bastianini terpaksa berpisah dengan Ducati pada penghujung musim ini. Pelumba Itali itu mengakui masih tidak memahami keputusan Ducati untuk memilih Marc Marquez.
Ducati sudah mengumumkan Marc Marquez sebagai pelumba baharu mereka pada musim hadapan.
Pengeluar dari Itali itu telah memilih Marquez untuk bekerjasama dengan Francesco Bagnaia bermula musim depan. Tindakan itu meraih perdebatan di kalangan peminat MotoGP dan juga peminat Ducati sendiri.
Hal ini kerana prestasi Marc Marquez dalam beberapa musim selepas dia mengalami kemalangan ngeri beberapa tahun lalu, dianggap sudah tak sama seperti dulu. Tetapi prestasi Marquez musim ini jauh lebih baik daripada musim sebelum ini.
Dia dilihat berjaya mendapatkan semula rentaknya. Ada yang menganggap pemilihan Marquez lebih kepada publisiti memandangkan dia pelumba yang paling berpengaruh dan paling popular di kalangan pelumba yang aktif ketika ini.
Namun ada juga yang menyatakan bahawa kehadiran Marquez adalah untuk membantu dari sudut teknikal dan mekanikal. Kerana dia merupakan pelumba yang memiliki kemampuan analisis yang baik ke atas motosikal seperti mana yang dia lakukan bertahun tahun lamnya bersama pasukan lamanya Honda.
Sebelum ini, Ducati mempunyai pilihan lain dengan menyambung kontrak Bastianini atau merekrut Jorge Martin, yang bersinar bersama Pramac pada musim ini. Dia sedang mendahului senarai pelumba untuk kejuaraan MotoGP.
Pilihan untuk mendapatkan Marquez mempunyai kebaikan dan keburukan. Ramai yang percaya Martin lebih layak dipilih kerana konsistensinya sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan merekrut Marquez bukan sekadar prestasi di atas landasan tetapi juga aspek perniagaan.
Enea Bastianini berjaya menguasai Silverstone selepas memenangi perlumbaan pecut dan perlumbaan utama MotoGP Britain hujung minggu lalu. Kemenangan bersih Bastianini itu membuatkan ramai peminat menganggap pelumba itu telah memberikan isyarat kepada Ducati sepatutnya memilih dia bukannya Marquez.
“Eh, kita tengok nanti,” kata Bestia ketika ditanya sama ada berpisah dengan Ducati akan merugikan dirinya atau pasukan Borgo Panigale.
“Saya rasa saya masih tidak memahami pilihan Ducati untuk melepaskan saya dan Jorge pergi, tetapi ia adalah keputusan yang saya hormati. Saya rasa KTM akan menjadi tunggangan yang baik untuk saya, tetapi saya tidak boleh berkata banyak lagi sebelum mencuba motosikal itu,” kata Bastianini.
Komen itu jelas disasarkan kepada Marc Marquez menyertai kilang Ducati, Enea Bastianini akan bekerjasama dengan Maverick Vinales di Tech3 KTM dalam MotoGP 2025.
Sementara itu, Jorge Martin telah berpindah ke Aprilia, dan akan bergandingan dengan Marco Bezzecchi.