Enrique Anggap Morata Bermain Dengan Baik Walau Terlepas Dua Peluang Keemasan

Luis Enrique tampil mempertahankan pemainnya, Alvaro Morata selepas pemain penyerang Sepanyol itu dikecam teruk kerana terlepas dua peluang keemasan ketika bertemu Sweden awal pagi tadi.

Morata dikecam teruk selepas mempamerkan aksi dungu dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi perlawanan pembukaan kumpulan E saingan Euro 2020.

Pengurus Sepanyol menegaskan yang Morata telah mempamerkan aksi permainan yang menarik walau terlepas dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

Sweden turut memperoleh kesempatan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini, namun beliau juga gagal untuk menyempurnakan peluang keemasan yang dimiliki.

Sepanyol mendominasi keseluruhan permainan dengan melengkapkan 954 hantaran berbanding Sweden yang hanya mampu mencipta 174 hantaran sahaja.

Enrique tidak begitu gembira dengan taktikal bertahan yang ditunjukkan oleh Sweden dalam perlawanan ini, namun beliau tetap menegaskan yang dirinya tidak bimbang tentang peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.

Enrique ketika temu bual tersebut, beliau telah mempertahankan Alvaro Morata dengan menganggap pemainnya itu mengharungi detik yang hebat di atas padang.

“Saya rasa Alvaro bermain dengan sangat baik.”

Jelas Enrique.

“Sudah tentu kami semua mahu manfaatkan kesempatan, tapi pemain lain juga ada peluang mereka.”

“Saya rasa dia sudah biasa dengan semua kecaman ini, tapi sudah tentu kami mahu lihat dia menerima sokongan dari penyokong.”

“Itulah lumrah dalam bola sepak, ia memang satu hal yang menarik andai kita dapat dedikasikan kemenangan kepada peminat, kerana mereka selalu berikan yang terbaik kepada kami dalam setiap perlawanan.”

Beliau juga turut memberikan analisis berkait perlawanan tersebut dengan menganggap skuadnya jauh lebih bagus berbanding pasukan lawan.

“Tapi dalam situasi hari ini, ia sangat jelas, kita semua lihat apa yang berlaku petang ini, jadi tak banyak yang boleh dikatakan tentang perlawanan ini.”

“Kami merupakan pasukan yang jauh lebih baik dalam perlawanan ini.”

“Pasukan lawan cuba bermain dengan bertahan, kami jelas mendominasi perlawanan sepenuhnya dan kami juga cuba untuk mencipta sebanyak peluang yang kami mampu.”

“Kami ada peluang keemasan untuk menang perlawanan ini. Tapi di mana silapnya? Ia nyata yang kami tak manfaatkan semua peluang itu.”

“Ia sangat jelas dan kami semua nampak itu.”

Ketika ditanya tentang permainan Sweden yang terlalu bertahan, Enrique menyambung:

“Saya tak ada begitu banyak pilihan.”

“Pengurus mereka memutuskan untuk bagaimana mereka bermain, dan itu memang langsung tak salah. Ada masa kamu boleh buat keputusan seperti itu dan ada masa akan ada pasukan yang boleh tewaskan kamu.”

“Mereka bermain dengan cara bagaimana mereka selalu main bertemu kami, dengan menggunakan dua penyerang.”

“Kami hanya membenarkan mereka untuk ada satu ke dua kesempatan sahaja, sementara kami sendiri berjaya mencipta begitu banyak kesempatan untuk menang perlawanan ini.”

“Tapi saya betul-betul tak ada pandangan berkait hal itu, soalan itu sepatutnya ditujukan kepada Mr. Anderson bukan saya.”

Peminat Sepanyol jelas kecewa dengan keputusan tersebut, kerana mereka memperoleh begitu banyak kesempatan untuk memenangi perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, nasi sudah menjadi bubur, Morata dah membuktikan Werner tidak keseorangan, semoga beliau bangkit semula selepas ini.

Tunggu dan lihat saja aksinya dalam perlawanan kedua nanti, adakah beliau akan menemui sentuhan tajamnya atau akan terus pamer aksi dungu sepanjang kejohanan ini.

BACA:  5 Penyerang Paling Mahal Dalam Sejarah Premier League