Enrique: Ramos ‘Insan Yang Terpilih’ Untuk Memimpin Sepanyol

Ketua Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique melabel Sergio Ramos sebagai ‘Insan Terpilih’ yang telah melepasi segala jangkaan yang diletakkan terhadapnya.

Enrique bertemu Ramos buat kali pertama minggu ini sebagai jurulatih Sepanyol dan beliau terkejut dengan kualiti yang dimiliki Ramos untuk bergelar seorang kapten pasukan kebangsaan.

Enrique memuji ketokohan yang dimiliki Ramos untuk menjadi kapten Sepanyol

Menurut Enrique lagi, beliau menggambarkan pasukan Sepanyol sebagai pasukan yang ‘menakjubkan’ tetapi pemain yang paling mencuri tumpuan beliau adalah kapten pasukan iaitu Sergio Ramos.

Sepanyol akan memulakan era di bawah Luis Enrique dengan pertemuan sukar menentang England di Stadium Wembley hujung minggu ini. Sepanyol dilatih buat sementara oleh Fernando Hierro bagi kempen Piala Dunia 2018 berikutan pemecatan Julen Lopetegui beberapa hari sebelum berlangsungnya perlawanan pertama mereka di Russia menentang Portugal.

Seperti diduga, Sepanyol mengharungi kempen Piala Dunia yang mengecewakan dimana mereka sekadar mara sehingga peringkat 16 pasukan terakhir sahaja. Sepanyol tumpas di tangan tuan rumah, Russia menerusi sepakan penalti walaupun banyak pihak meletakkan mereka sebagai calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia.

Selepas berakhirnya Piala Dunia, beberapa pemain senior Sepanyol seperti Andres Iniesta dan Gerard Pique pula mengumumkan pengunduran dari arena antarabangsa. Iniesta misalnya merupakan nadi utama Sepanyol sejak sekian lama dan kehilangan beliau merupakan satu tamparan hebat buat Enrique yang baru sahaja bergelar ketua jurulatih Sepanyol.

Walau bagaimanapun, Enrique berkata beliau bernasib baik Ramos masih lagi berada dalam skuad kebangsaan untuk membimbing generasi baru Sepanyol.

Hubungan Ramos dan Enrique sebelum ini bukanlah pada tahap yang terbaik memandangkan latar belakang kelab masing-masing. Namun ia langsung tidak menjejaskan pendapat Enrique mengenai kualiti yang dimiliki Ramos sebagai seorang pemain.

“Untuk menjadi seorang kapten pasukan kebangsaan, anda perlulah mempunyai perwatakan yang paling berwibawa dalam kalangan semua pemain yang ada.”

“Apabila saya melihat bagaimana Sergio Ramos bersaing di padang latihan, beliau tahu dirinya adalah insan terpilih. Ramos merupakan pemimpin yang hebat dalam apa jua situasi.”

“Saya sangat gembira dengan Ramos. Saya meletakkan jangkaan yang tinggi terhadapnya, tetapi beliau dengan mudah melepasi semua jangkaan yang diletakkan terhadapnya.”

Enrique sudah tidak sabar melihat pemainnya beraksi. Mungkin England akan diratah malam ni

Skill kepimpinan Ramos bukan satu-satunya perkara yang menarik perhatian Enrique kerana beliau juga terkejut dengan sikap yang dipamerkan seluruh pemain dalam skuad Sepanyol.

“Ini merupakan minggu yang hebat. Saya sudah tidak sabar untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Saya sudah mempunyai kesebelasan utama untuk perlawanan menentang England tetapi saya masih lagi terkejut dengan apa yang saya lihat dari pemain-pemain saya.”

“Mereka menunjukkan sikap yang amat bagus ketika sesi latihan. Saya gembira dengan reaksi mereka apabila saya memberi arahan dalam sesi latihan. Saya sangat optimistik dengan pasukan ini dan sudah tidak sabar untuk melihat mereka beraksi.”

BACA:  Kerana Mahu Menonton Tennis Bersama Shakira, Pique Minta FA Tunda Perlawanan Sepanyol