EPL 20-21 : 5 Perpindahan Terbaik Musim Ini

Liga Perdana Inggeris pada tahun ini bakal melabuhkan tirai dalam beberapa minggu sahaja lagi dan Manchester City sudahpun ditabalkan sebagai juara, gelaran ketiga mereka dalam tempoh empat tahun.

Mujur musim lalu Liverpool berjaya merangkul kejuaraan, kalau tidak pasukan The Citizens tu mesti dah menang liga empat kali berturut-turut. Jadi, marilah kita termenung sejenak dan berterima kasih kepada Liverpool.

Itu cerita golongan kayangan. Dari segi golongan marhaen pula, Sheffield United dan West Brom serta Fulham sudah pun mengesahkan bahawa mereka bakal tampil beraksi di divisyen Kejuaraan, dan bakal diganti Norwich City dan Watford.

Brentford, Barnsley, Swansea dan Bournemouth pula akan berentap untuk merebut satu lagi slot yang bakal menawarkan sekurang-kurangnya GBP100juta semusim.

Khalas.

Jadi dalam banyak-banyak pemain, pemain mana yang berpindah ke pasukan EPL pada musim ini dan memberi kesan yang cukup mendalam dan positif kepada pasukan?

Nah kami bagi 5 perpindahan terbaik pada musim ini.

Emiliano Martinez (Arsenal ke Aston Villa – GBP20 juta)

Penjaga gol Argentina ini berjaya menembusi kesebelasan utama Arsenal selepas Bernd Leno mengalami kecederaan menuju ke penghujung musim lalu, dan membantu the Gunners memenangi Piala FA juga.

Prestasi cemerlangnya membuka mata dan hati pihak pengurusan Aston Villa, lantas membawa pemain ini ke Villa Park. Hasilnya?

15 kali tidak bolos dalam 35 perlawanan liga, dan pada awal musim ini Aston Villa dilihat bagaikan bakal muncul sebagai juara.

Nasib baik tak juara. Kalau tidak, boleh gila penyokong Arsenal yang gila talak dengan pemain ini.

Edinson Cavani (PSG ke Manchester United – percuma)

Penyerang veteran Uruguay Edinson Cavani telah meninggalkan gergasi Perancis, Paris Sint-Germain selepas berjaya muncul juara setiap musim lantas menyertai pasukan lemah di England demi cabaran baru di akhir karier.

Sejak tiba ke Manchester, Cavani telah meledak 15 gol dalam kesemua pertandingan – pemain berjersi nombor 7 pertama United yang berjaya menjaringkan lebih 10 gol semusim sejak peninggalan Cristiano Ronaldo.

Aksi cemerlangnya ditambah lagi dengan rambut yang cantik bak ikal mayang menjadikannya sebagai kesayangan penyokong dan Ole, lantas diberikan kontrak baru selama setahun pada musim depan.

Mungkin gajinya tidak sebesar wokderkid selamanya United, Marcus Rashford, tetapi impak yang diberikannya sangatlah mengkagumkan. Tak padan dengan tua.

Ruben Dias (Benfica ke Manchester City – GBP61 juta)

Pep Guardiola kalau ikutkan dah berbelanja berbilion Ringgit di bahagian pertahanan tapi Ruben Dias ni boleh dikatakan pembelian mahal terbaik Pep.

Sejak menyertai City, pasukan the Citizens ini berubah daripada pasukan belasahan kepada pasukan juara. Bayangkan mereka telah menang sebanyak 23 perlawanan berturut-turut dan semua ini hanya berlaku selepas kedatangan Dias.

Mantap tak Pak Abu?

Berusia 23 tahun, Dias muncul sebagai pemain yang paling banyak minit permainan buat City musim ini dan ketika perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang PSG, Dias telah muncul sebagai pemain terbaik perlawanan.

Seronok kan jadi Pep? Yang dia minta semua dia dapat.

Callum Wilson (Bournemouth ke Newcastle United – entah berapa yuran dia. Deme tak kabo)

Pada musim lalu, Wilson mengharung musim yang mengecewakan bersama Bournemouth selepas pasukan tersebut jatuh ke liga Kejuaraan. Namun dengan aksi yang cemerlang, Wilson menjadi buruan beberapa pasukan sebelum memilih Newcastle dan bermain di bawah Steve Bruce.

Impaknya?

Wilson telah menjaringkan 7 gol dalam 9 perlawanan pertamanya bersama Magpies, akan tetapi prestasi cemerlang ini tidak dapat diteruskan kerana seringkali berdepan dengan kecederaan hamstring yang berulang.

Paling teruk, dia tidak dapat diturunkan langsung sepanjang Mac, tetapi secara keseluruhan Wilson masih mampu menjaringkan 12 gol.

Jesse Lingard (Manchester United ke West Ham – pinjaman)

Lagenda Manchester United ini tiba di London Timur pada bulan Januari dengan membawa rekod jaringan 9 gol sepanjang dua musim lepas.

Pada mulanya pemergian Lingard ke London diiringi dengan sindiran dan celaan penyokong Manchester United, namun selepas beberapa perlawanan, mereka ternganga terkejut terpana terkesima.

Bermain di bawah David Moyes, Lingard telah berjaya menjaringkan 9 gol dalam hanya 10 perlawanan dan kerap muncul sebagai pemain terbaik perlawanan sekaligus membolehkannya mendapat panggilan semula daripada pengurus England, Gareth Southgate.

Aksi cemerlang Lingard ini juga membuatkan penyokong United mula menyalahkan Ole dan menuduh pengurus berbangsa Norway itu tidak pandai mencungkil bakat Lingard. Entah apa-apa kan?

Sumber : Shoot

Baca Juga

Baca Juga