Pengurus yang mendapat perhatian dunia, Erik Ten Hag, telah memberikan secebis hint bahawa dia akan berpindah ke kelab yang lebih besar, meninggalkan kelab gergasi Belanda, Ajax Amsterdam.
Hal ini telah disahkan oleh Ten Hag sendiri menerusi satu temu bual bersama portal Volkskrant, dan disiarkan pada 4 Disember 2021.
Dalam temu bual tersebut, Ten Hag telah diberikan senaskhah akhbar yang mepunyai tajuk utama – ‘Ten Hag sudah bersedia untuk langkah berikutnya’.
Sebaik melihat akhbar tersebut, Ten Hag sekadar tersenyum dan berkata;
“Aku rasa aku dah bersedia untuk ini. Aku nak sahut cabaran ni.”
Menurut khabar angin yang bertiup di seluruh benua Eropah, kelab yang dikatakan paling ingin mendapatkan Ten Hag adalah bekas juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United.
Manchester United: Ajax top man Edwin van der Sar welcomes interest in boss Erik ten Hag https://t.co/2f9qlWEdG0
— 9 Breaking News (@9_breaking_news) December 8, 2021
United telah memecat pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer beberapa minggu lalu dan kini bapa pemodenan bola sepak Jerman, Ralf Rangnick mengambil alih kerusi panas tersebut sehingga tamat musim ini.
Selain Ten Hag, United juga dikaitkan dengan pengurus Paris Saint Germain yang juga bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mouricio Pochettino.
Bekas penjaga gol United, Edwin van Der Sar, yang kini bertugas sebagai Ketua Eksekutif di Ajax, mengalu-alukan minat United terjadap ten Hag.
Van Der Sar yang bermain selama enam musim dan menjulang Liga Juara-Juara UEFA bersama United berkata, dia tidak pelik dengan minat yang ditunjukkan dan baginya, ini adalah cerminan kepada kejayaan dan kemajuan yang terhasil di Ajax.
“Ini bermaksud kita buat kerja dengan bagus la,” ujar Van Der Sar kepada RTL 7.
“Sama juga dengan pemain. Kalau kita main elok, orang yang minat tu akan datang.
“Kalau ada yang minat kepada pemain atau jurulatih, kita macam teruja pun ada. Jadi, apa nak jadi, jadi lah.
“Cuma kita kena pastikan yang pada masa tu kita dah bersedia, segala senarai kita sudah semak.”
Pada masa yang sama, Van Der Sar turut ditanya adakah dia juga akan kembali ke United untuk menabur bakti bersama kelab yang dia julang kejuaraan liga suatu ketika dahulu.
“Buat masa ni aku gembira di Ajax. Aku pun ada baki kontrak dua tahun lagi.
Aku nak terus capai apa yang mampu di sini, di kelab ini.
“Tapi aku percaya bahawa suatu hari nanti detik itu akan tiba,” ujar Van Der Sar dengan penuh optimis.
Ten Hag sebelum ini pernah menolak tawaran daripada Tottenham pada awal tahun ini dan memilih untuk menandatangani kontrak baru bersama Ajax, yang hanya akan tamat pada tahun 2023.
Pengurus Ajax yang persis watak utama dalam siri Breaking Bad ini mula memegang jawatan di Ajax pada bulan Disember 2017, menggantikan Marcel Keizer. Pada tahun 2019, dia telah membawa kelab Belanda ini mara sehingga ke perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama sejak 1997, sebelum ditewaskan oleh Tottenham Hotspur menerusi jaringan pada minit akhir perlawanan daripada Lucas Moura.
Untuk sampai ke tahap tersebut, Ajax telah menewaskan penyandang juara Real Madrid pada pusingan 16-pasukan, di mana mereka menjaringkan empat gol berbalas satu di Stadium Santiago Bernabeu.
Pada pusingan suku akhir, mereka menewaskan gergasi Itali, Juventus dengan seri di tempat sendiri dan menang 2-1 di Turin.
Ten Hag memenangi piala pertama dalam kariernya sebagai pengurus bola sepak apabila menjulang Piala KNVB, menewaskan Willem II. Sepuluh hari kemudian, dia sekali lagi berjaya menjulang trofi apabila pasukan Ajax sah muncul sebagai juara Eredivise selepas menewaskan De Graafschap empat jaringan berbalas satu di tempat lawan.
Pada musim 2020-21, Ajax sekali lagi muncul juara berganda, sekaligus membawa kepada kontrak baru kepada Ten Hag sehingga tamatnya musim 2022-23.
Pada musim ini, Ajax telah memenangi kesemua perlawanan dalam pertandingan Liga Juara-Juara, sekaligus meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan dalam undian pusingan kalah mati yang akan berlangsung pada hari Isnin depan.
Di sebalik rekod cemerlangnya bersama Ajax, ada sebilangan pihak yang agak sangsi dengan kemampuan Ten Hag sekiranya dia berpindah ke kelab yang lebih besar kerana pastinya dia akan berdepan ego pemain yang juga turut besar.
Namun dengan kemampuan yang ada, tidak mustahil Ten Hag akan terus cemerlang dalam kariernya sebagai pengurus bola sepak yang hebat dan dihormati oleh para pemain.
Berita dipetik dari : Mirror Football