Ethan Nwaneri: Bintang Muda Arsenal yang Semakin Bersinar

Jaringan tandukan Mikel Merino pada minit ke-81 ketika Arsenal menewaskan Leicester City 2-0 mungkin bukan sesuatu yang dijangka ramai.

Namun, cara gol itu terhasil bukan lah satu kejutan besar untuk Mikel Arteta, staf kejurulatihan atau mereka yang memerhatikan sesi pemanas badan sebelum perlawanan.

Sejak Bukayo Saka mengalami kecederaan hamstring pada Disember lalu, Ethan Nwaneri beberapa kali telah menggantikan peranannya di sayap kanan. Sepanjang tempoh itu, dia dan Merino telah berlatih kombinasi serangan mereka secara berulang kali.

Umpanan melambung Nwaneri ke far post adalah sesuatu yang dilatih hampir setiap hari. Selepas kemenangan ke atas Girona pada bulan lalu, Merino sendiri mengakui bahawa hantaran seperti itu adalah rutin untuk Nwaneri. Bukti usaha itu sudah kelihatan sejak pemanas badan sebelum penampilan sulungnya dalam kesebelasan utama Liga Perdana menentang Brentford pada hari Tahun Baru.

Walaupun Nwaneri telah menjaringkan beberapa gol musim ini, hantaran kepada Merino itu merupakan bantuan gol pertamanya sebagai pemain senior Arsenal.

“Saya mahu menambah lebih banyak bantuan gol dalam permainan saya,” kata Nwaneri kepada Premier League awal bulan ini. Walaupun cara dia membantu Merino menjaringkan gol berbeza daripada kebiasaannya, Arteta sudah menjangka dia akan terlibat jika Arsenal berjaya mendahului.

“Pada separuh masa pertama, dia antara pemain yang mencipta sesuatu setiap kali mendapat bola,” kata Arteta dalam sidang media selepas perlawanan. “Dia memberi ancaman lebih besar berbanding pemain lain dan meneruskannya pada separuh masa kedua dengan dua aksi berkualiti. Selepas itu, dia memberikan hantaran sempurna untuk Merino menanduk masuk.”

Kualiti Nwaneri jelas kelihatan sejak awal perlawanan. Dengan kawalan bola yang baik, dia berjaya menarik Victor Kristiansen sebelum menewaskan pemain itu. Kali pertama, dia menghantar bola kepada Declan Rice, manakala kali kedua, dia berjaya meninggalkan Jordan Ayew dan Kristiansen sebelum menemui Martin Odegaard. Dalam tempoh itu juga, dia sempat melakukan hantaran silang serupa dengan bantuan golnya tetapi tandukan Rice tersasar.

Bukan sekadar menyerang, Nwaneri turut mendapat pujian Arteta kerana berjaya memaksa Leicester kehilangan penguasaan bola di kawasan mereka sendiri.

Ketika rehat separuh masa, dia mencatatkan kadar kejayaan 100% dalam aksi individu—5 daripada 5 percubaan melepasi pemain lawan, 2 daripada 2 percubaan merebut bola berhasil, dan 8 daripada 8 duel dimenanginya. Apabila wisel penamat dibunyikan, dia telah mencipta bantuan gol kemenangan, menyempurnakan 6 daripada 7 percubaan melepasi pemain lawan dan memenangi 12 daripada 15 duel—rekod tertinggi dalam perlawanan itu.

Jika tandukan Merino tidak menjadi gol sekali pun, Nwaneri tetap menunjukkan aksi luar biasa yang jarang dipamerkan oleh pemain berusia 17 tahun.

Dia turut hampir menjaringkan gol apabila percubaannya terkena palang dan tiang. Percubaan yang mengenai palang dilakukan dari luar kotak penalti—kawasan yang semakin sinonim dengannya. Namun, percubaan yang terkena tiang menunjukkan kepelbagaian dalam permainannya. Dalam situasi serangan balas, dia memilih untuk menggunakan kaki kanan, melakukan gerakan mengelirukan untuk membuka ruang dan melepaskan rembatan padu seperti yang biasa dilakukannya dengan kaki kiri. Ia adalah contoh sebenar keberanian dan keyakinan seorang pemain muda.

Kemampuan ini mungkin mendorong Arteta untuk mempertimbangkan Nwaneri sebagai center forward. Namun, dalam sidang media sebelum perlawanan, pengurus Arsenal itu berkata,

“Persoalannya ialah ‘bila?’. Dia telah bermain sebagai pemain center forward dan right wing, dan saya rasa dia sangat bagus di posisi itu. Jadi, buat masa ini, itu sudah memadai.”

Bantuan gol kepada Merino juga tidak akan berlaku jika dia tidak berada di posisi sayap kanan, ruang yang boleh dia huni sebagai pemain sayap atau pemain tengah menyerang.

Dalam barisan serangan Arsenal yang dihimpit kecederaan, Nwaneri adalah satu-satunya pemain yang kelihatan sudah menempah tempat tetap dalam tiga posisi serangan. Ketika menentang Leicester, dia bermula di sayap kanan, Leandro Trossard di tengah dan Raheem Sterling di kiri—pilihan penyerang semula jadi yang ada buat Arteta. Namun, kemasukan Merino menggantikan Sterling pada separuh masa kedua memberi penyelesaian lebih baik. Selain memiliki ciri permainan yang lebih menyerupai Kai Havertz, kehadiran Merino juga membolehkan Trossard lebih berkesan di sayap.

Seperti 4 sumbangan gol Trossard sejak ketiadaan Saka, bantuan golnya kepada Merino juga menggunakan kaki kiri. Kebolehannya menggunakan kedua-dua belah kaki memberi kelancaran kepada serangan Arsenal—sesuatu yang tidak kelihatan ketika Sterling berada di atas padang. Sepanjang 69 minit permainannya, Sterling gagal memberi impak malah beberapa kali kehilangan bola dengan mudah.

Keadaan ini mungkin memberi petunjuk kepada Arteta mengenai barisan serangan yang lebih berkesan. Namun buat masa ini, dia masih enggan menetapkan satu formula tetap.

“Kami perlu berkongsi peranan itu, dan kami sudah bersedia untuk pelbagai senario,” katanya. “Kadang-kadang pemain perlu digantikan kerana tidak berfungsi, kerana taktikal lawan, atau kerana kad kuning dan keletihan.

“Tapi kami telah bersedia. Apa yang penting ialah setiap pelan itu berjaya—seperti yang dilakukan Merino hari ini.”

Arteta juga menjelaskan bahawa kemasukan Merino menjadi lebih efektif kerana Leicester mula bertahan lebih dalam. Namun, dia kini perlu lebih berhati-hati dalam mengurus minit permainan Nwaneri. Pemain muda ini telah membuktikan kebolehannya di Liga Perdana, tetapi dia masih berusia 17 tahun dan baru pulih daripada kecederaan otot pada Januari lalu.

Pada usia 17 tahun 331 hari, Ethan Nwaneri menjadi pemain termuda yang mencipta bantuan gol untuk Arsenal dalam Liga Perdana sejak… Aaron Ramsey vs Blackburn Rovers pada September 2008 (17 tahun 262 hari).

Perlawanan seterusnya menentang West Ham United Sabtu nanti mungkin bukan masalah besar buatnya, tetapi bagaimana tubuhnya bertindak balas apabila jadual perlawanan semakin padat akan menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Buat masa ini, Arteta menikmati hasil keberanian memberi peluang kepada pemain muda ini.

“Usianya selalu menimbulkan persoalan tentang bagaimana kita perlu menguruskannya,” kata Arteta. “Tetapi setiap isyarat yang dia berikan adalah ‘Biarkan saya bermain. Saya mahu bermain. Saya mahu bermain’.

“Apabila pemain menunjukkan keyakinan sebegitu, anda tidak boleh menghalangnya. Dia bermain dengan kebebasan, kreativiti dan keyakinan serta mendapat kepercayaan daripada rakan sepasukan. Jadi, biarkan dia terus bermain kerana dia ancaman besar, berbakat luar biasa, dan layak berada di sini.”

BACA:  Arsene Wenger Tidak Akan Letak Jawatan, Yakin Mampu Ubah Keadaan