Euro 2020 : Berapa Wang Tunai Bakal Dimenangi Itali Atau England Sekiranya Muncul Juara

Juara bagi Kejohanan Eropah atau Euro 2020 bakal ditentukan pada awal pagi Isnin nanti dengan pasukan Itali berhadapan tugas berat bertemu England di Stadium Wembley.

Menariknya, perlawanan pertama Euro pada tahun ini juga dimulakan oleh Itali dan pasti mereka ingin melabuhkan tirai kejohanan ini dengan cemerlang.

Itali juga masih memburu Euro kedua mereka selepas memenangi satu-satunya piala termasyhur di Eropah ini pada tahun 1968, menewaskan pasukan Yugoslavia. Mereka hampir melakukannya pada tahun 2000 sebelum tewas kepada Perancis, dan pada tahun 2012 mereka dikecewakan oleh Sepanyol.

Bagi England pula, kali terakhir mereka memenangi sesuatu di peringkat antarabangsa adalah pada tahun 1966, ketika mereka memenangi Piala Dunia di laman sendiri.

Akan tetapi, kedua-dua pasukan ini bukan sahaja akan berentap untuk merebut piala semata-mata di mana mereka juga bakal merebut hadiah wang tunai yang sangat lumayan.

Kalau ikutkan, tanpa mengira siapa yang juara, jumlah wang kemenangan yang bakal diperolehi adalah sama sahaja. Tetapi disebabkan penulis lahir di Essex, England, maka kiraan ini akan ditulis daripada perspektif England.

Selepas mengesahkan kelayakan ke kejohanan ini, England secara automatiknya mendapat £8 juta. Selepas mengutip tujuh mata dan layak ke peringkat kalah mati daripada kumpulan D, mereka telah menambah £3.44 juta ke dalam tin milo pasukan.

Berjaya menyingkirkan Jerman dan Ukraine dalam dua perlawanan pertama peringkat kalah mati, England diberikan lagi £5.6 juta, menjadikan pendapatan keseluruhan mereka kepada £17 juta.

Kejayaan menumpaskan Denmark di peringkat separuh akhir pula membolehkan mereka menerima tambahan £4.3 juta jika muncul naib juara, atau £6.9 juta jika berjaya menewaskan Itali nanti.

Secara keseluruhannya, England bakal menikmati wang tunai sebanyak £24 juta pemberian UEFA jika mereka berjaya menjulang piala pada tahun ini.

Kalau nak ikutkan, jumlah ini tidaklah besar mana dan jika dibandingkan dengan jumlah wang yang dimenangi Chelsea ketika berjaya mengangkat piala Liga Juara-Juara UEFA pada bulan Mei lalu, jumlah ini hanyalah satu pertiga daripada apa yang dimenangi Chelsea.

Walaubagaimanapun, jumlah yang disebutkan di atas hanyalah jumlah wang tunai yang akan diberikan oleh UEFA sahaja, dan ia tidak termasuk jumlah wang tunai yang akan diberikan oleh penaja komersial pasukan.

Kalau nak ikutkan, sepatutnya pasukan yang bertanding akan mendapat lebih banyak royalti wang tunai namun memandangkan kantung UEFA turut terjejas dek pandemik Covid-19, maka jumlah wang hadiah terpaksa dikurangkan.

Asalnya, UEFA telah memperuntukkan sebanyak £319 juta untuk kejohanan ini, tetapi pada bulan Mei lalu, kesemua pasukan bertanding telah bersetuju untuk mengurangkan perbelanjaan kepada £285 juta.

Walaupun menunjukkan penurunan sekitar £30 juta, jumlah tersebut masih lebih tinggi daripada peruntukan untuk Euro edisi 2016 di mana UEFA sekadar berbelanja sebanyak £259 juta.

Mesti korang tertanya kan berapakah wang tunai yang bakal diperoleh oleh para pemain England selepas mereka menjulang piala nanti.

Secara kasarnya, jumlah £24 juta tersebut akan dibahagi dua – 40 peratus buat pemain dan 60 peratus buat persatuan. Jadi 40 peratus atau £9.5 juta tersebut akan dibahagikan kepada kesemua 26 pemain.

Setiap pemain akan menerima sekitar £370,000 di samping medal sebagai juara Eropah.

Di samping itu, para pemain England turut dibayar sebanyak £2000 untuk setiap perlawanan mereka diturunkan akan tetapi sejak tahun 2007, para pemain telah memulakan tradisi bahawa elaun perlawanan ketika menyarung jersi England akan disumbangkan kepada badan kebajikan.

Sumber : The Athletic

BACA:  Pemain Itali Nyanyikan Lagu Kebangsaan Dengan Sepenuh Jiwa Demi Lencana Di Dada