Everton Sedang Intai Peluang Untuk Tandatangani Bekas Bintang Liverpool

Everton merupakan antara salah satu dari empat pasukan yang sedang memantau situasi terkini bekas bintang Liverpool, Georginio Wijnaldum.

Menurut sumber laporan dari 90min, Everton berminat untuk mendapatkan bintang Belanda itu dari Paris Saint Germain pada jendela perpindahan musim panas ini.

Sejak meninggalkan Anfield untuk menyertai Paris Saint Germain pada musim panas lalu, Wijnaldum jelas sekali gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya bersama gergasi Ligue 1 itu.

Oleh yang demikian, beliau pada ketika ini hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan Parc des Princes dan sedang menunggu tawaran dari kelab lain.

Beberapa kelab gergasi Eropah dari Itali, Jerman dan Sepanyol tampil menyatakan minat mereka mahu mendapatkan bintang Belanda itu.

Dalam saingan Premier League sahaja, terdapat empat pasukan yang telah mendedahkan bahawa mereka sangat berminat mahu mendapatkan khidmat Wijnaldum.

Seteru utama Liverpool, Everton dilaporkan merupakan antara pasukan yang berminat mahu mendapatkan khidmat Wijnaldum dan sedang dalam usaha mereka mahu menandatangani bekas bintang The Reds itu.

Pemain midfield itu mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Paris Saint Germain, dan sepertinya Everton mungkin akan berusaha mendapatkan khidmatnya menerusi perjanjian pinjaman.

Pemain berusia 31 tahun itu memainkan peranan penting ketika kariernya bersama Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Sepanjang kariernya bersama Liverpool, Wijnaldum berjaya menjaringkan 22 gol dari 237 penampilan dan beliau turut dianggap wira ketika kejayaan Liverpool menjuarai saingan Champions League.

Dua gol jaringan beliau berjaya membantu Liverpool melakukan comeback menewaskan Barcelona 4-0 ketika aksi peringkat separuh akhir kedua di Anfield.

Selepas mengharungi lima tahun karier yang gemilang bersama Liverpool, pada tahun lalu Wijnaldum memutuskan untuk meninggalkan kelab atas beberapa sebab.

Segelintir peminat percaya bekas bintang Newcastle United itu mahu meninggalkan kelab kerana beliau mahu mencari kelab yang boleh menaikkan gajinya.

Ada juga peminat yang percaya beliau memilih untuk meninggalkan kelab kerana mahu mencari pengalaman baru beraksi di luar Anfield.

Bukan hanya melalui musim yang mengecewakan, pemain kebangsaan Belanda itu turut dianggap sebagai pembelian paling gagal dalam saingan Ligue 1 musim lalu.

Pengurus Paris Saint Germain, Mauricio Pochettino telah mengetepikan beliau ketika aksi peringkat kalah mati dalam saingan Champions League musim lalu.

Gini Wijnaldum hanya mampu menjaringkan tiga gol dan mencatatkan tiga assists dari 38 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang musim lalu.

Selain Everton, Leicester, West Ham dan Wolves juga turut berminat mahu mendapatkan pemain midfield itu pada musim panas ini.

Memandangkan Jurgen Klopp sendiri turut sedang mencari pemain midfield untuk menambah baik skuad beliau pada ketika ini, ramai yang mengaitkan Wijnaldum bakal kembali ke Anfield.

Walau bagaimanapun, Liverpool sendiri sepertinya tidak mungkin akan membawa Wijnaldum kembali ke Anfield, atas faktor usianya.

Liverpool pada ketika ini sedang memantau peluang untuk mendapatkan Gavi dan Nicolo Barella untuk memperkuat skuad sedia ada mereka.

Liverpool turut mendedahkan hasrat mereka mahu mendapatkan khidmat Jude Bellingham dari Borussia Dortmund pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Jurgen Klopp sepertinya sangat berminat dengan pemain kebangsaan England itu dan beliau mahu pastikan Bellingham pada musim hadapan akan menyertai skuadnya.

Musim panas ini, Liverpool sudah berjaya melengkapkan penandatanganan Darwin Nunez, Fabio Carvalho dan Calvin Ramsay.

Memandangkan pemain-pemain yang beliau tandatangani masih muda, maka keputusan Klopp untuk mendapatkan Jude Bellingham merupakan keputusan yang tepat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2019/20: Liverpool 1-1 Burnley