FA Cup: Gol Backheel Jahat Firmino Bantu Liverpool Benam Shrewsbury 4-1

Liverpool menurunkan lima pemain muda ketika aksi perlawanan bertemu Shrewsbury Town dalam saingan FA Cup malam semalam.

Caoimhin Kelleher diturunkan sebagai penjaga gol utama dengan Liverpool membariskan Andy Robertson, Virgil Van Dijk, Ibrahima Konate dan pemain muda Conor Bradley di posisi pertahanan.

Trent Alexander-Arnold tidak boleh diturunkan dalam perlawanan ini kerana beliau masih lagi menjalani sesi kuarantin wajib selepas disahkan positif C0V-19 selepas aksi bertemu Chelsea minggu lalu.

Di bahagian midfield, Fabinho turun dalam kesebelasan utama dan digandingkan dengan dua pemain muda Tyler Morton dan Elijah Dixon-Bonner.

Di posisi penyerang pula, The Reds memberi sepenuh kepercayaan kepada barisan pemain muda mereka dengan menurunkan Curtis Jones, Max Woltman dan Kaide Gordon.

Bertemu pasukan bukan pilihan dari saingan League One, sepertinya tiada masalah untuk Liverpool mencatat kemenangan walau mereka menurunkan barisan pemain muda.

Walau bagaimanapun juga, pasukan Shrewsbury terlebih dahulu membuka tirai jaringan dalam perlawanan ini, hasil jaringan dari Daniel Udoh.

Beberapa minit sahaja selepas Shrewsbury menjaringkan gol pendahuluan, skuad The Reds dengan segera memadam gol tersebut untuk mengikat kedudukan 1-1.

Conor Bradley menghantar bola cantik menemui Kaide Gordon yang berada di dalam kotak penalti, sebelum bintang muda Liverpool itu melepaskan rembatan padu untuk Liverpool mengubah kedudukan menjadi 1-1.

Ryan Bowmen hampir sahaja membantu Shrewsbury untuk sekali lagi mendahului perlawanan ini namun sayangnya gol jaringan beliau dibatalkan kerana offside.

Pada minit ke-44, Liverpool telah dihadiahkan sepakan penalti dengan Fabinho cemerlang menyempurnakan sepakan penalti itu untuk bantu The Reds mendahului perlawanan 2-1.

Pada minit ke-78, Liverpool berjaya memperoleh gol ketiga mereka dalam perlawanan ini dengan Roberto Firmino cemerlang menjaringkan gol menggunakan skill back-heel yang sungguh menakjubkan.

Conor Bradley cemerlang menyelamatkan bola hantaran Fabinho yang hampir keluar dengan melakukan slide dan melorongkan bola masuk ke dalam kotak penalti.

Bola tiba tepat di kaki Ibrahima Konate yang kemudiannya melepaskan percubaan lemah ke arah gawang gol, dengan bola tersebut tepat ke kaki Firmino.

Bintang Brazil itu kemudiannya menahan bola lalu melakukan backheel untuk menewaskan penjaga gol Shrewsbury.

Ia merupakan gol yang sungguh cantik dari Roberto Firmino dengan beliau berjaya membuktikan yang dirinya masih lagi pemain penyerang yang perlu diberi perhatian.

Ketika perlawanan masuk ke masa kecederaan, giliran Fabinho untuk menjaringkan gol kedua peribadinya, seterusnya gol keempat untuk Liverpool dalam perlawanan ini.

Beliau berjaya menjaringkan gol yang cukup cantik dari sudut tepi padang dengan bola rembatan padu beliau jelas gagal diselamatkan oleh Marko Marosi.

Pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat, seterusnya mengesahkan kemenangan selesa 4-1 Liverpool menewaskan Shrewsbury Town.

Rata-rata pemain Liverpool telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan ini, dengan Conor Bradley merupakan antara yang paling menyerlah.

Di pusingan keempat nanti, Liverpool dijadualkan bakal turun beraksi bertemu Cardiff City dengan pertembungan antara mereka akan dilangsungkan pada 5 Februari nanti.

Tidak dinafikan yang barisan muda Liverpool telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh memberangsangkan dan tidak mustahil mereka bakal membantu kelab untuk menjulang Piala FA pada tahun ini.

Kematangan yang ditunjukkan oleh barisan pemain muda ini sudah tentu akan memberi kelegaan kepada Jurgen Klopp dengan beliau sudah tentu tidak akan teragak-agak untuk menggunakan khidmat pemain-pemain ini jika diperlukan di masa hadapan.

Sumber: Emirates FA Cup

BACA:Β  EPL : Diogo Jota Jaringkan Dua Gol Persis Penyerang Klasik Tewaskan Leicester City