FA Dedahkan Apa Yang Slot Cakap Kat Pengadil Ketika Dia Mengamuk Lawan Everton

Arne Slot Digantung Selepas Bertindak Kasar Terhadap Pengadil

Pengurus Liverpool, Arne Slot dikenakan tindakan selepas bertindak agresif terhadap pegawai perlawanan dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 menentang Everton bulan lalu.

Slot didakwa mengugut pengadil dengan berkata, “Jika kami tidak menang liga, saya akan salahkan kamu” selepas Everton menjaringkan gol penyamaan pada saat akhir dalam perlawanan Derbi Merseyside terakhir di Goodison Park.

Laporan suruhanjaya bebas menyatakan bahawa Slot bersikap konfrontasi dan agresif terhadap pegawai perlawanan. Ketika berjabat tangan dengan pengadil Michael Oliver selepas perlawanan, Slot dikatakan berkata bahawa Oliver “memberikan segalanya kepada Everton” dan bertanya sama ada pengadil “bangga dengan prestasi itu”.

Beberapa saat kemudian, Slot kembali menghampiri Oliver dan sekali lagi mengeluarkan kata-kata yang menuduh pengadil berat sebelah, sebelum menjerit kepada pembantu pengadil bahawa keputusan itu adalah “memalukan”.

Slot mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa ayat sebenar yang diucapkannya ialah “Jika kami tidak menang liga, saya akan berterima kasih kepada kamu” tetapi dia tetap menerima hukuman. Akibatnya, dia dikenakan larangan berada di tepi padang selama 2 perlawanan dan didenda £70,000.


Ketegangan Memuncak Selepas Wisel Penamat

Perlawanan itu berlangsung dalam suasana tegang. Liverpool merasakan keputusan pengadil banyak merugikan mereka. Salah satu insiden yang dipertikaikan ialah terjahan terhadap Ibrahima Konaté, yang dikatakan menjadi punca kepada gol penyamaan Everton.

Ketegangan semakin meningkat apabila masa tambahan dilanjutkan lebih lama daripada jangkaan menyebabkan Slot dan pembantunya, Sipke Hulshoff hilang kawalan selepas wisel penamat dibunyikan.

Hulshoff turut dibuang padang kerana bertindak “cukup agresif” terhadap Oliver. Laporan menyatakan bahawa dia menjerit kepada pengadil dengan kata-kata kesat dan menuduhnya “teruk” serta “berat sebelah”.

Akibatnya, Hulshoff dikenakan larangan 2 perlawanan dan didenda £7,000. Dia kemudiannya meminta maaf tetapi menegaskan bahawa dia tidak berniat menghina Oliver secara peribadi sebaliknya kecewa dengan keputusan yang lemah sepanjang perlawanan itu.


Slot Mohon Maaf, Hukuman Dikurangkan

Dalam sidang media keesokan harinya, Slot mengakui bahawa dia sepatutnya mengawal emosinya dengan lebih baik. Dia juga telah membuat permohonan maaf secara peribadi kepada Oliver.

Pada mulanya, dia berdepan penggantungan 3 perlawanan yang bermakna dia akan terlepas perlawanan akhir Piala Carabao. Namun, kerana kesungguhannya dalam meminta maaf, panel FA memutuskan untuk mengurangkan hukumannya.


Kekecohan Melibatkan Pemain di Penghujung Perlawanan

Selain insiden membabitkan Slot dan pegawai pasukannya, perlawanan ini juga menyaksikan kad merah kepada 2 pemain selepas berlaku ketegangan di penghujung perlawanan.

Pemain Everton, Abdoulaye Doucouré berlari sejauh 20 ela untuk meraikan gol di hadapan penyokong Liverpool. Ia mencetuskan reaksi marah daripada Curtis Jones. Kedua-dua pemain kemudian berkonfrontasi secara agresif dan menerima kad merah.

Pengurus Everton, David Moyes menyatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Doucouré dan laporan menyebut bahawa kelab akan mengenakan tindakan disiplin terhadap pemain itu.

BACA:  Premier League 2020/21: Liverpool 4-3 Leeds United