Fabinho Mahu Nabil Fekir Sertai Beliau Di Liverpool

Pemain baru Liverpool, Fabinho berharap Nabil Fekir bakal mengikut jejak langkah beliau dengan berpindah ke Anfield musim panas nanti.

Dalam perkembangan terbaru, Liverpool bertindak awal dalam pasaran perpindahan pemain dengan mendapatkan khidmat pemain tengah Monaco, Fabinho dengan yuran perpindahan sekitar €45 juta (£39juta) yang mana boleh meningkat €5 juta lagi.

Liverpool bertindak awal dengan mendapatkan Fabinho sebelum jendela perpindahan pemain dibuka

Fabinho menandatangani kontrak jangka panjang bersama Liverpool bagi memperkukuhkan lagi bahagian tengah pasukan tersebut.

Fabinho merupakan pemain antarabangsa Brazil tetapi gagal mendapat tempat dalam skuad 23 pemain yang akan bertanding di Piala Dunia tidak lama lagi.

Fabinho dijangka bakal mengisi tempat pemain antarabangsa Jerman, Emre Can dalam skuad Liverpool selepas pemain tersebut enggan melanjutkan kontraknya dan dijangka akan menyertai Juventus musim hadapan.

Liverpool dijangka kembali aktif dalam pasaran perpindahan pemain yang bakal dibuka tidak lama lagi selepas gagal meraih sebarang trofi musim ini.

Pemain antarabangsa Perancis yang bermain untuk Lyon, Nabil Fekir merupakan pemain yang hangat diperkatakan untuk mengikut jejak langkah Fabinho dengan menyertai Liverpool.

Fabinho mahu Nabil Fekir menyertai beliau di Anfield

Fabinho mempunyai pengalaman berhadapan dengan Fekir pada masa lalu dan selepas melihat kemampuan sebenar Fekir, beliau mahu Fekir menyertai beliau beraksi di Anfield musim hadapan.

“Ya, saya mahu Fekir menyertai saya di Liverpool. Beliau seorang pemain yang sangat bagus dan bertaraf antarabangsa. Beliau telah mempamerkan prestasi yang baik di Ligue selama beberapa musim, bukan musim ini sahaja.”

“Fekir telah mempamerkan kualiti yang dimiliki beliau selama beberapa tahun. Jika beliau menyertai Liverpool, ia bakal menjadi perkara yang bagus.”

Fabinho menyertai Liverpool selepas bermain untuk Monaco selama 5 musim dimana kejayaan terbesar beliau adalah ketika membantu pasukan tersebut menjuarai Ligue 1 pada musim 2016/2017.

Selepas mengetahui Fabinho menyertai Liverpool, Fekir berkata beliau akan berbincang mengenai masa depannya selepas Piala Dunia berakhir.

Beliau berkata demikian selepas menjaringkan 1 gol ketika membantu Perancis menewaskan Republik Ireland 2-0 dalam perlawanan pemanas badan Piala Dunia.

“Adakah Fabinho akan menjadi rakan sepasukan saya pada musim hadapan ? Saya akan duduk berbincang mengenai masa depan saya selepas berakhirnya Piala Dunia, bukan sebelum.”

“Adakah saya akan menandatangani kontrak dengan pasukan lain sebelum Piala Dunia ? Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu.”

Klopp gembira Fabinho mampu bermain dalam beberapa posisi

Dalam perkembangan lain pula, pengurus Liverpool Jurgen Klopp jelas gembira dengan penambahan Fabinho dalam skuadnya dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemain tersebut.

“Kami telah menandatangani pemain yang fantastik, tetapi beliau juga seorang individu yang memiliki perwatakan yang fantastik.”

“Beliau memiliki karakter yang baik dalam bilik persalinan. Beliau mempunyai abiliti dan mentaliti untuk bermain di tahap tertinggi, di samping mampu bermain di beberapa posisi. Beliau boleh bermain sebagai No.6, No.8 atau No.2.”

BACA:  Gary Neville Mahu United Rehatkan Pemain Utama Ketika Menentang Manchester City