Fabregas Akui Banyak Terhutang Budi Dengan Mourinho

Pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas mengakui beliau banyak terhutang budi dengan Jose Mourinho kerana memberikan peluang kedua kepada beliau untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Bekas kapten Arsenal itu meninggalkan England untuk kembali bermain bersama pasukan tempat kelahirannya, Barcelona pada tahun 2011. Walaubagaimanapun, beliau sering berada di bangku simpanan dan mengambil keputusan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris pada tahun 2014 bersama Chelsea di bawah Jose Mourinho.

Selain Arsene Wenger, Mourinho turut melayan Fabregas seperti seorang anak

Fabregas dan Mourinho bakal bertemu sekali lagi di Stadium Wembley pada perlawanan akhir Piala FA hujung minggu ini yang bakal menemukan Manchester United dan Chelsea.

Tanpa mengira sama ada Chelsea menang atau kalah, Fabregas menunjukkan penghargaan kepada individu yang bertanggungjawab menandatangani beliau untuk bermain bersama Chelsea pada tahun 2014, dan membawa beliau kembali ke Liga Perdana Inggeris buat kali kedua.

Fabregas Berjaya membuktikan tindakan Mourinho menandatanganinya pada tahun tersebut sebagai satu tindakan yang berbaloi apabila muncul pemain terbanyak melakukan bantuan gol dengan 18 assists disamping membantu Chelsea menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim 2014/2015.

Menjelang pertembungan final tidak lama lagi, Fabregas berkata beliau akan sentiasa mengingati jasa Mourinho terhadap kariernya.

Musim yang tidak menentu bagi Fabregas dan Chelsea, tetapi mereka berpeluang mengakhiri musim dengan satu trofi

“Saya sentiasa berkata yang saya sayangkan beliau [Jose Mourinho]. Saya banyak terhutang budi dengan beliau kerana beliau membawa masuk saya ke Chelsea. Saya akan sentiasan ingat perkara tersebut.”

“Tahun pertama saya di England, bekas pengurus Arsenal Arsene Wenger melayan saya seperti seorang anak, Individu yang paling hampir melayan saya seperti tersebut adalah Jose Mourinho.”

“Mourinho melayan saya dengan baik dan menjadikan saya sebagai salah seorang pemimpin dalam pasukan sejak hari pertama saya menyertai Chelsea. Ia merupakan pengalaman yang fantastik dan ia akan kekal dalam memori saya walaupun 4 tahun sudah berlalu sejak saya menyertai Chelsea.”

Walaupun pernah bermain di bawah Mourinho, Fabregas sebenarnya menghabiskan kebanyakan kariernya bermain menentang pasukan kendalian Mourinho. Tahun-tahun awal kariernya bersama Arsenal bersama dengan ketibaan Mourinho di Chelsea. Ketika Fabregas baru menyertai Barcelona, Mourinho telah pun bergelar pengurus Real Madrid dan kedua-duanya bersaing sengit merebut takhta pasukan terkuat di Sepanyol.

Antara kenangan ‘terindah’ El-Clasico melibatkan Mourinho dan Fabregas

“Saya dan Mourinho memiliki sejarah yang panjang. Saya bermain untuk Arsenal dan beliau menguruskan Chelsea ketika itu. Apabila saya berada di Barcelona, beliau pula menguruskan Real Madrid.”

“Kami sering berkonfrantasi ketika itu, tetapi kami berbaik selepas itu dan mula membina hubungan persahabatan. Ia merupakan pengalaman yang indah tetapi saya berharap Sabtu ini bukan hari beliau dan Chelsea akan memenangi perlawanan tersebut.”

“Segalanya boleh berlaku. Musim lepas semua berkata Chelsea akan memenangi Piala FA, tetapi kami mempamerkan aksi yang buruk dalam perlawanan akhir dan tewas di tangan Arsenal.”

“Mourinho mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi perlawanan akhir dengan baik tetapi saya yakin Antonio Conte akan melakukan perkara yang sama.”

Fabregas Masih Pasang Impian Untuk Mewakili Sepanyol Di Piala Dunia 2018

Pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas berkata beliau masih lagi memasang niat untuk mewakili negaranya beraksi di Piala Dunia musim panas nanti, walaupun sedar peluangnya untuk dipilih agak tipis.

Bekas pemain Barcelona dan Arsenal ini berjaya membantu Sepanyol memenangi 2 Kejuaraan Eropah dan 1 trofi Piala Dunia tetapi belum lagi dipanggil untuk menyarung jersi La Roja sejak Euro 2016.

Fabregas pada usia 18 tahun sudah mewakili Sepanyol

Selepas tempat Vicente Del Bosque selaku pengurus pasukan kebangsaan digantikan Julen Lopetegui, Fabregas belum lagi berpeluang bermain di bawah jurulatih baru tersebut.

Walaupun sedar dirinya bukan lagi menjadi pilihan untuk mengemudi jentera tengah Sepanyol, Fabregas enggan berputus asa untuk menjadi sebahagian dari skuad Sepanyol yang akan terbang ke Russia musim panas nanti.

Fabregas kini telah menginjak usia 30 tahun dan merupakan pemain ke-8 paling banyak melakukan penampilan untuk Sepanyol. Beliau dipilih untuk menganggotai skuad kebangsaan di Piala Dunia 2006 seawal usia 18 tahun dimana aksinya bersama Arsenal ketika itu berjaya menambat hati Luis Aragones [jurulatih Sepanyol.

Sejak dari itu, Fabregas tidak menoleh ke belakang lagi dan menjadi pemain tetap setiap kali senarai pemain Sepanyol diumumkan untuk tugasan antarabangsa. Beliau memainkan peranan penting dalam membantu Sepanyol menjuarai Kejohanan Eropah pada tahun 2008 iaitu trofi pertama mereka sejak tahun 1964.

Assist beliau kepada Iniesta akan menjadi bualan rakyat Sepanyol untuk jangka masa yang lama

Fabregas tidak berhenti disitu sahaja. Dua tahun selepas itu, namanya terukir dalam sejarah bolasepak Sepanyol untuk selama-lamanya apabila beliau membantu Andres Iniesta menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010.

Ia merupakan kali pertama Sepanyol berjaya menjulang trofi Piala Dunia. Dua tahun selepas itu pada Euro 2012, Sepanyol berjaya mempertahankan gelaran juara Eropah apabila membelasah Itali dalam perlawanan akhir dan Fabregas merupakan sebahagian dari skuad Sepanyol ketika itu.

Walaupun hampir dua tahun tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan, Fabregas percaya pengalaman beliau penting dalam membantu skuad Lopetegui merampas takhta juara dunia dari Jerman.

“Saya bukan pemain yang mudah mengangkat bendera putih. Saya masih lagi menyimpan harapan bermain di Piala Dunia Russia walaupun tahu ianya sukar. Saya tidak pernah menerima panggilan telefon atau disenaraikan dalam pasukan kebangsaan untuk sekian lama.” Fabregas dipetik berkata ketika ditemuramah Goal.

“Walaubagaimanapun, saya tidak terlalu memikirkannya kerana fokus saya adalah untuk bermain baik dengan Chelsea. Tidak pelik untuk mereka memanggil seorang pemain yang telah bermain dengan Sepanyol 15 tahun yang lepas. Sudah tentu mereka mengetahui keupayaan saya dan apa yang saya mampu lakukan.”

Alonso tidak bernasib baik dipanggil menyertai skuad Sepanyol walaupun bermain baik bersama Chelsea

Chelsea mempunyai ramai pemain berasal dari Sepanyol dalam skuad mereka. Walaubagaimanapun, selain Alvaro Morata, pemain seperti Pedro, Marcos Alonso, Cesar Azpilicueta berdepan kesukaran untuk dipanggi secara konsisten dan tempat mereka ke Rusia masih belum terjamin sepenuhnya. Alonso pula belum pernah dipanggil Lopetegui walaupun menunjukkan prestasi cemerlang bersama The Blues.

“Sudah  hampr setahun setengah saya tidak dipanggil dan saya sendiri tidak tahu bagaimana Sepanyol akan bermain di Piala Dunia nanti. Tetapi Pedro dan Azpilicueta kerap dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Jika segalanya berjalan lancar, Morata akan berada dalam kesebelasan utama bersama Diego Costa kerana saya rasa mereka adalah penyerang terbaik yang dimiliki Sepanyol ketika ini.”

“Alonso, sama seperti saya, tidak bernasib baik untuk dipanggil menganggotai skuad kebangsaan. Tetapi jika kami berjaya memenangi Piala FA dan memanjat lebih tinggi kedudukan liga, siapa tahu apa yang akan berlaku.”

BACA:  [VIDEO] Mohamed Salah Digelar 'Pengebom' Oleh Sekumpulan Penyokong Chelsea