Fabregas Kalah Bet Kena Hadiahkan Caballero Sebuah Range Rover

Pemain tengah pasukan AS Monaco, Cesc Fabregas telah menceritakan sebuah kisah penuh pengajaran kepada semua.

Fabregas dengan mulia hati pernah membelikan Willy Caballero sebuah Range Rover satu ketika dahulu.

Tetapi mengapa Fabregas terlalu baik sehingga membelikan penjaga gol tersebut sebuah Range Rover?

Sebenarnya Range Rover itu diberi kepada Caballero kerana beliau telah tewas dalam satu pertaruhan bersama penjaga gol itu.

Kejadian itu berlaku ketika Fabregas masih lagi bersama pasukan Chelsea. Bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu berkongsi kisah tersebut melalui laman Twitter miliknya.

Sebelum ini pernah tersiar di akhbar berkenaan Fabregas menghadiahkan Range Rover kepada Caballero.

Tetapi pemain berusia 32 tahun itu tetap mahu menjelaskan hal yang sebenarnya berlaku sebalik kejadian beliau sampai menghadiahkan Range Rover itu.

“Ramai yang bertanya kepada saya adakah benar berita yang mereka semua baca di akhbar tentang saya menghadiahkan Caballero sebuah Range Rover.”

“Mari saya cerita,kisahnya begini, selalunya selepas habis sesi latihan, saya akan kekal menunggu lebih lama di atas padang untuk berlatih mengambil sepakan penalti.”

“Kebiasaannya saya akan meletakkan taruhan kepada mana-mana penjaga gol yang membantu saya supaya cabaran yang dihadapi tampak lebih sukar.”

“Hasilnya saya tidak pernah gagal untuk menjaringkan gol ketika latihan tendangan penalti itu.”

“Pada satu hari itu, dek kerana terlalu yakin, saya membuat taruhan yang tidak masuk akal kepada penjaga gol untuk berlatih tendangan penalti bersama saya.”

“Ketika itu penjaga gol yang sudi untuk menerima cabaran saya adalah Willy Caballero, saya menawarkan kepada beliau sebuah Range Rover sekiranya beliau dapat menyelamatkan tendangan saya.”

“Tetapi hari itu bukan milik saya, beliau berjaya menyelamatkan tendangan saya dihadapan semua rakan sepasukan yang lain. Anda pasti boleh membayangkan bagaimana reaksi mereka dan apa yang saya rasa bukan?”

“Saya yang awalnya mempunyai keyakinan luar biasa terus berubah menjadi seperti orang paling bodoh di dunia.”

“Para pemain lain yang menyaksikan kejadian itu menjerit dan ketawa terbahak-bahak, saya pula perlu melunaskan hutang saya itu.”

“Saya pergi ke sebuah gudang kereta potong untuk mencari Range Rover yang murah-murah lalu saya terjumpa sebuah Range Rover yang sudah rosak dengan harga £950 dan saya segera mendapatkannya.”

“Hari berikutnya kami membawa kereta tersebut ke pusat latihan dan kejadiannya seperti dalam video ini”

“Ambil lah kisah saya untuk dijadikan pengajaran, jangan sekali-kali mendekatkan diri dengan pertaruhan.”

Fabregas turut memuat naik video yang menunjukkan dirinya menghadiahkan kereta itu kepada Caballero yang disaksikan oleh pemain lain dengan gelak ketawa yang terbahak-bahak.

Selepas dari peristiwa itu Fabregas meninggalkan Stamford Bridge pada Januari 2019 untuk menyertai AS Monaco selepas lima musim bersama The Blues.

Sepanjang tempoh bersama Chelsea, Fabregas pernah menjuarai empat trofi, termasuk dua gelaran Liga Perdana Inggeris.

BACA:  Carrick: Fabregas Punca Utama 'Perpindahan Impian' Ke Arsenal Tidak Berlaku