Fabregas: ‘Passing’ Tiada Makna Punca Sepanyol Tersingkir

Pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas mendakwa ‘passing’ yang tiada makna merupakan punca utama mengapa Sepanyol tewas di tangan pasukan tuan rumah, Russia dalam pusingan 16 pasukan terakhir.

Dalam perlawanan yang berlangsung semalam, Sepanyol terpaksa pulang lebih awal apabila tewas 4-3 menerusi sepakan penalti kepada Russia. Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 120 minit perlawanan berlangsung.

Piala Dunia yang penuh dengan kejutan. Sepanyol menjadi mangsa terbaru selepas dikejutkan pasukan tuan rumah yang dianggap underdog dalam perlawanan tersebut

Fabregas merasai nikmat memenangi Piala Dunia pada tahun 2010 di Afrika Selatan dan juga sebahagian daripada skuad Sepanyol yang menggondol Euro 2008 dan Euro 2012.

Bermula dari 2008 sehingga 2012, Sepanyol menguasai kejohanan antarabangsa dengan gaya bola sepak ‘tiki-taka’ yang menjadi kegilaan ramai ketika itu. Ramai negara yang cuba menggunakan DNA bola sepak yang sama, ada yang menjadi dan ada juga kelaut seperti pasukan Malaysia suatu ketika dahulu.

Tidak lama selepas itu, gaya permainan tersebut berjaya dibaca pihak lawan dan akibatnya Sepanyol tidak lagi mampu memenangi sebarang kejohanan. Perkara sama berulang ketika Sepanyol turun menentang Russia dalam pusingan 16 pasukan terakhir dimana Sepanyol menguasai hampir keseluruhan perlawanan tetapi gagal menembusi pertahanan pasukan lawan.

Corak permainan Sepanyol yang sering bergantung kepada ‘tiki-taka’ untuk memenangi perlawanan telah mengundang kritikan daripada bekas pemain Sepanyol sendiri, Cesc Fabregas. Beliau mendakwa passing yang terlalu banyak dan tidak mempunyai makna merupakan sebab utama Sepanyol tersingkir dari Piala Dunia 2018.

Sob sob sob.. Fabregas gagal menahan kesedihan beliau melihat Sepanyol tersingkir daripada Piala Dunia. Ferdinand dan Shearer juga akan lakukan perkara sama tidak lama lagi.

Fabregas merupakan panel jemputan untuk BBC bagi mengulas perlawanan Sepanyol menentang Russia.  Selepas melihat Sepanyol menguasai pegangan bola pada separuh masa pertama tetapi kedudukan masih lagi 1-1, Fabregas mengkritik pendekatan La Roja yang dirasakannya kerap melakukan passing yang tiada makna.

“Sepanyol banyak menggunakan bola, dan saya merupakan peminat utama Tiki-Taka dan bola sepak yang cantik tetapi tiada apa yang benar-benar berlaku.”

“Kita tidak dapat lihat pasukan Sepanyol ini menghadirkan bahaya terhadap gawang Russia, selain tandukan Diego Costa dan satu sepakan luar kotak penalti daripada Isco.”

“Mereka mempunyai beberapa peluang untuk naik ke atas, Diego Costa juga melakukan beberapa larian berbahaya. Tetapi apa yang mereka lakukan adalah turun ke bawah dan ke bawah kerana mereka mahukan penguasaan bola.”

“Saya rasa ia lebih kepada penguasaan bola untuk bertahan, lebih banyak daripada menyerang. Sepatutnya menyerang harus lebih banyak daripada bertahan.”

Dalam penentuan penalti, legenda Football Manager, Igor Akinfeev menjadi hero untuk negaranya apabila menyelamatkan dua sepakan penalti daripada Iago Aspas dan Koke sekaligus menghantar skuad Sepanyol straight to airport.

Russia akan bertemu Croatia dalam perlawanan suku akhir selepas Croatia mengenepikan cabaran Denmark, juga menerusi sepakan penalti.

BACA:  Sepanyol Dituduh Sengaja Kalah Kepada Jepun Elak Bertemu Brazil dan Argentina?