Fabregas Sedih Melihat Reputasi Arsene Wenger Tercemar

Pemain tengah Monaco, Cesc Fabregas meluahkan perasaan sedihnya melihat reputasi yang dibina Arsene Wenger sejak sekian lama tercemar berikutan kegagalan Arsenal untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah untuk dua musim berturut-turut.

Selepas berdepan tekanan dari segenap ceruk, Wenger akhirnya mengumumkan perletakan jawatannya dari menguruskan Arsenal pada penghujung musim lalu. Melihat pada situasi tersebut, Fabregas tidak dapat lari dari perasaan sedih kerana mengenangkan jasa pengurus itu terhadap kariernya.

Arsene Wenger dilaporkan ‘dipaksa’ meninggalkan Arsenal lebih awal dari sepatutnya kerana keputusan yang tidak memberangsangkan.

Fabregas yang pernah bermain untuk Arsenal selama 8 tahun, percaya Wenger akan sentiasa diingati sebagai ikon Arsenal walaupun beliau sebenarnya berharap Wenger dapat meninggalkan Arsenal selepas memenangi trofi.

Wenger memeranjatkan banyak pihak apabila mengumumkan beliau akan meninggalkan Arsenal pada penghujung musim lepas walaupun kontraknya masih berbaki 1 tahun. Beliau meninggalkan legasi yang dibina selama 22 tahun bersama Arsenal demi kebaikan kelab.

Antara kejayaan Wenger yang akan sentiasa terpahat dalam memori peminat Arsenal adalah kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris sebanyak 3 kali, disamping muncul pasukan pertama mengharungi seluruh musim Liga Perdana Inggeris tanpa kekalahan sehingga skuad Arsenal pada ketika itu diberi jolokan ‘Invincibles’.

Fabregas berharap peminat akan mengingati Wenger sebagai pengurus yang berjaya dalam sejarah kelab Arsenal walaupun tahun-tahun terakhir beliau di Emirates tidak mendatangkan banyak kejayaan.

Fabregas menganggap Wenger seperti bapanya

“Kadang kala saya berasa sedih. Arsene Wenger tidak berhak  menerima layanan seperti itu atas apa yang beliau lakukan selama ini.”

“Dalam bola sepak, segalanya berdasarkan hari ini. Apa yang anda lakukan kelmarin, malangnya tidak akan dikira.”

“Apabila anda bersara selepas berkhidmat selama 20, 30 tahun, orang akan bercakap mengenainya dan mengingati pencapaian tersebut dengan penuh kekaguman.”

Sejak meninggalkan Arsenal, Wenger masih lagi berteka-teki mengenai masa depannya dan masih belum menyertai mana-mana kelab atas apa jua kapasiti.

Mengikut jejak langkah Wenger, Fabregas turut meninggalkan bola sepak Inggeris apabila meninggalkan Chelsea untuk menyertai Monaco yang pada ketika itu diuruskan oleh rakan lamanya, Thierry Henry.

Fabregas mungkin telah melepasi zaman kegemilangannya sebagai pemain tetapi sama seperti Wenger, beliau berharap dapat mengekalkan standard yang tinggi supaya namanya akan sentiasa diingati walaupun selepas beliau bersara dari bola sepak.

Fabregas kini berkelana di Perancis demi sesuap nasi

“Buat masa sekarang, anda perlu sentiasa bermain dengan baik setiap hari. Ini adalah dunia yang kita sedang lalui hari ini.”

“Memang betul bagus kerana anda tidak boleh berharap pada perkara yang anda lakukan pada masa lepas. Saya mungkin boleh bersandar pada kenangan ketika saya mencecah usia 38 tahun nanti atau pon selepas bersara.”

“Ia akan menjadi sempurna kerana saya boleh melihat video saya menjaringkan gol setiap hari.”

BACA:  Keown: Mesut Ozil Tidak Layak Memakai Jersi Arsenal