Fabrizio Romano Dedah Mengapa Werner Sepatutnya Sertai Liverpool Bukannya Chelsea

Manusia paling jujur dalam dunia bola sepak, Fabrizio Romano mendakwa yang Timo Werner sepatutnya menyertai Liverpool berbanding ke Chelsea.

Werner melengkapkan perpindahannya menyertai Chelsea pada dua tahun lalu yang mana The Blues pada ketika itu masih lagi berada di bawah kendalian Frank Lampard.

Bintang Jerman itu pada awalnya ditandatangani dengan harapan agar beliau mampu menjadi penyerang utama skuad dan pihak kelab turut berharap beliau akan meledak banyak gol.

Walau bagaimanapun, Timo Werner hanya mampu menjaringkan enam gol sahaja dalam saingan Premier League pada ketika ini dan musim debutnya bersama The Blues tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Bimbang melihat aksi hambar bintang Jerman itu, Chelsea kemudiannya memilih untuk mengeluarkan dana yang besar untuk mendapatkan khidmat Romelu Lukaku dari Inter Milan.

Bintang Belgium itu di bawa kembali ke Stamford Bridge pada jendela perpindahan musim panas lalu dan sepertinya beliau juga turut gagal untuk menyerlah.

Walaupun pembelian Lukaku dianggap usaha yang gagal dari Chelsea, namun ia sebenarnya bukti nyata yang The Blues sebenarnya tidak mempercayai Werner dan kerana itulah mereka memilih untuk mengeluarkan dana besar bagi mendapatkan bintang Belgium itu.

Berbanding mengekalkan Werner sebagai penyerang utama, Thomas Tuchel lebih memilih untuk memainkan Kai Havertz di peranan false 9.

Dalam kolum beliau di Caught Offside, Romano menggambarkan yang pemain kebangsaan Jerman itu sebagai pemain berkelas tinggi yang perlu bermain corak permainan berbeza untuk lebih menyerlah.

“Perpindahan menyertai Liverpool sepatutnya menjadi pilihan Werner berbanding Chelsea dan ia sebenarnya akan lebih membantu dia untuk capai potensi terbaiknya.”

“Malang sekali, Chelsea lebih pantas pada ketika itu, dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sudah bercakap dengan pemain, tapi tak ada rundingan yang dilakukan antara kedua-dua The Reds dan RB Leipzig.”

Romano sepertinya bercakap atas dasar fakta yang Timo Werner sememangnya pemain yang mempunyai potensi dan bakat yang sungguh menakjubkan.

Walaupun beliau tidak selalu menjadi pemain yang klinikal, namun Werner tetap berjaya meledak 28 gol dalam saingan Bundesliga pada musim terakhirnya di Jerman.

Sistem yang diamalkan di Chelsea jelas sekali tidak sesuai dengan gaya permainan Timo Werner dan kerana itulah beliau gagal untuk mencapai potensi terbaiknya.

Seandainya Jurgen Klopp mendesak pimpinan kelab supaya mendapatkan Werner pada dua tahun lalu, tidak akan mengejutkan andai bintang Jerman itu bakal menjadi antara penjaring terbanyak kelab.

Karier hambar beliau bersama The Blues sepertinya akan berakhir tidak lama lagi dengan Juventus pada ketika ini sedang mengintai peluang untuk mendapatkan khidmatnya.

Bekas bintang RB Leipzig itu masih di usia yang sangat muda dan beliau jelas sekali masih mampu untuk memperbaiki persembahannya.

Seandainya beliau benar-benar meninggalkan Chelsea pada musim panas ini, ia sepertinya bakal membantu beliau untuk mendapatkan semula rentak persembahan terbaiknya bersama pasukan lain.

Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada beliau akan benar-benar meninggalkan kelab atau tidak, namun sepertinya Thomas Tuchel tiada masalah untuk melepaskan beliau pergi.

Selain Juventus, terdapat juga beberapa pasukan yang turut sama berminat mahu mendapatkan khidmat Timo Werner dari Chelsea, namun sehingga kini masih tiada tawaran rasmi yang dibuat oleh mana-mana kelab.

Werner sudah tentu mahu menyertai kelab yang boleh menawarkan minit permainan kepadanya, kerana beliau kini sangat terdesak mahu menyertai skuad Piala Dunia Jerman.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peluang-Peluang Dibazirkan Liverpool vs Real Madrid