Fabrizio Romano Dedah MU Dan Inter Capai Persetujuan Lisan €55 Juta Untuk Onana

Manchester United dilaporkan telah mencapai persetujuan secara lisan dengan Inter Milan untuk nilai perpindahan Andre Onana.

Kelab dengan jolokan Setan Merah itu menjadikan Onana sebagai sasaran utama di jendela perpindahan musim panas ini untuk menggantikan David de Gea di Old Trafford.

Laporan Di Marzio mendedahkan Onana akan diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu United dalam masa terdekat

Di Marzio mendedahkan Inter mahukan €55 juta untuk melepaskan Onana. United pula menawarkan €50 juta.

Inter yang terdesak untuk mendapatkan dana bagi menjana pendapatan untuk mendapatkan Romelu Lukaku akhirnya bersetuju dengan tawaran United apabila kelab Manchester itu memberikan tambahan €5 juta di dalam bentuk bayaran bonus.

Menurut perkongsian wartawan bola sepak Itali Fabrizio Romano, kedua-dua kelab kini sedang berbincang mengenai struktur dan syarat bonus tersebut sebelum perjanjian tersebut dimuktamadkan sepenuhnya.

Walaupun yakin persetujuan akan dicapai, Fabrizio Romano menjangkakan Onana akan diumumkan sebagai rekrut terbaru United pada minggu hadapan – sebelum pasukan itu terbang ke Amerika Syarikat untuk pra musim.

Pada masa ini secara teknikal Onana masih lagi pemain Inter Milan. United dijangka akan melakukan bidaan secara rasmi dengan nilai dan syarat dipersetujui pada awal minggu hadapan sebelum boleh mengesahkan Onana milik mereka.

Segala terma peribadi untuk Onana juga sudah diselesaikan pada Isnin lalu selepas ejen penjaga gol itu menemui wakil daripada United.

Onana bukanlah penjaga gol asing untuk Erik ten Hag. Penjaga gol antarabangsa Cameroon itu sebelum ini pernah bekerjasama dengan Ten Hag ketika kedua-duanya masih bersama Ajax, dan melakukan 145 penampilan di bawah kendalian pengendali dari Belanda itu.

BACA:  Mourinho Bagaikan Terkena 'Jampi' St James Park, Dedah Punca Sebenar Pogba Dikeluarkan