Fabrizio Romano Dedah Rancangan City Untuk Dapatkan Kane

Menurut laporan dari Fabrizio Romano, Manchester City ketika ini sedang mempersiapkan diri mereka untuk melancarkan bidaan baru dalam usaha untuk menandatangani Harry Kane dari Tottenham Hotspur.

Ketika saingan Premier League musim 2020/21 hendak menutup tirai, Kane dengan tiba-tiba menarik perhatian media dengan menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Tottenham Hotspur.

Sejak dari pendedahannya itu, masa depan Kane terus menjadi topik perbualan hangat para peminat bola sepak di England, dan pelbagai spekulasi dicetuskan berkait hal tersebut.

Manchester City sebelum ini dilaporkan telah menghantar bidaan bernilai £100 juta pada Jun lalu, namun sayangnya ia ditolak mentah-mentah oleh Tottenham Hotspur.

Baru-baru ini, Kane dilaporkan tidak turun menjalani sesi latihan bersama skuad Tottenham Hotspur, sementara laporan terbaru dari Fabrizio Romano menyatakan yang Man City sedang mempersiapkan bidaan baru untuk mendapatkan penyerang kebangsaan England itu.

Manusia paling jujur dalam dunia bola sepak itu telah mendedahkan yang Juara premier league, Man City masih belum menyerah dalam usaha mereka untuk menandatangani Kane.

Beliau turut mendedahkan yang Manchester City sedang mempersiapkan bidaan baru yang lebih tinggi dari sebelum ini, untuk mendapatkan khidmat pemenang kasut emas itu.

Beliau mendakwa yang Manchester City sedang menyediakan dana bernilai €150 juta (£127 juta) untuk mendapatkan Harry Kane dari Tottenham Hotspur.

Walaupun terdapat banyak laporan yang menyatakan bahawa Spurs sanggup melepaskan bintang berusia 28 tahun itu seandainya ada kelab yang sanggup membayar £160 juta, namun kini semuanya sudah berubah.

Kane memenangi gelaran kasut emas musim 2020/21

The Independent dan Football.London Alasdair Gold telah melaporkan yang Spurs ketika ini sama sekali tidak mempunyai niat untuk menjual Kane pada mana-mana pasukan sekali pun.

Ia sepertinya menyulitkan lagi urusan perpindahan melibatkan Kane yang ketika ini sudah benar-benar mahu meninggalkan Spurs dan berkeinginan untuk sertai City.

Kontrak Kane bersama Spurs masih berbaki tiga tahun jadi kelab sama sekali tiada tekanan untuk terus mempertahankan pemain penyerang mereka itu.

Apa lagi selepas melihat Spurs mengakhiri saingan liga musim lalu di kedudukan ke tujuh, ia tentunya akan membimbangkan Daniel Levy tentang di mana kedudukan mereka andai kehilangan penyerang utama.

Sukar untuk melihat Spurs akan mengubah pendirian mereka pada ketika ini dan sepertinya ia tidak akan berlaku.

Kane mungkin perlu lebih mendesak pihak kelab untuk melepaskannya seandainya beliau mahu menyertai Manchester City pada musim panas ini.

Beliau sudah memilih untuk tidak turun menjalani sesi latihan dan Kane juga turut pernah mendedahkan secara terbuka tentang hasratnya untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Ketika temu bual bersama Gary Neville sebelum ini, Kane telah mendedahkan tentang hasratnya yang mahu berpindah dari Tottenham dan mahu menyertai kelab yang boleh menjanjikan Piala kejuaraan untuknya.

Mungkin langkah seterusnya, Kane perlu menolak untuk bermain dan memaksa pihak kelab untuk melepaskannya.

Namun begitu, sepertinya Kane tidak akan pergi sampai ke tahap itu, namun beliau tidak akan dimarahi jika melakukan hal tersebut kerana Tottenham Hotspur sendiri sudah mengkhianati janji mereka.

Menurut dakwaan yang dibuat oleh Harry Kane, Daniel Levy sebelum ini pernah membuat perjanjian peribadi dengannya yang mana beliau akan dibenarkan pergi meninggalkan kelab seandainya beliau mahu.

Namun begitu, Levy ketika ini U-turn dari perjanjian tersebut dan berkeras untuk tidak mahu melepaskan Kane menyertai mana-mana pasukan lain.

Penyokong Tottenham Hotspur sendiri juga faham dengan keputusan Kane dengan mereka merasakan penyerang terbaik dunia itu layak untuk menjulang Piala kejuaraan sebelum kariernya berakhir.

Bersama Spurs, harapan untuk menjulang Piala itu sepertinya agak tipis, tetapi seandainya Kane menyertai City, harapan beliau untuk memenangi Piala kejuaraan jauh lebih tinggi.

Sumber: GMS

BACA:  Tuchel Jadi Punca Bayern Munich Tarik Diri Beli Kane?