Fabrizio Romano Dedah Situasi Berkait Cristiano Ronaldo Mahu Tinggalkan Old Trafford

Masa depan Cristiano Ronaldo pada ketika ini sedang diragukan dengan beliau kini dilaporkan sudah mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab.

Beliau meminta pihak kelab supaya melepaskannya andai ada kelab yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Ronaldo kembali menyertai Manchester United dari Juventus pada musim panas lalu, namun selepas baru satu musim berada di Old Trafford, beliau telah meminta kelab untuk melepaskannya.

Berita tersebut sebenarnya telah didedahkan oleh The Times, dan ia sedikit sebanyak telah merencatkan persiapan skuad United di bawah kendalian Erik Ten Hag.

Manusia paling jujur dalam dunia bola sepak, Fabrizio Romano kini tampil mengesahkan yang Ronaldo memang benar-benar mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Fabrizio Romano turut menjelaskan tentang situasi terkini Ronaldo menerusi sebuah video yang berdurasi tujuh minit di saluran Youtube miliknya.

Romano mendakwa yang beliau telah mendapat pengesahan tentang berita mengejutkan itu dari sumber-sumber terdekat dengan Cristiano Ronaldo, sumber terdekat ejennya, Jorge Mendes dan sumber terdekat dari keluarga Ronaldo.

“Realitinya Cristiano Ronaldo memang mahu meninggalkan Manchester United.”

Jelas Fabrizio Romano.

“Jorge Mendes telah menjelaskan segalanya, mereka mahu mencuba dan mencari jalan penyelesaian pada musim panas ini.”

United pada ketika ini masih belum membuat pembelian mega dengan Fabrizio Romano mendedahkan bahawa hal itu telah menyebabkan Ronaldo berasa sedikit kecewa dan menganggap kelab tidak mempunyai cita-cita yang besar.

“Dia benar-benar kecewa melihat situasi Manchester United secara umumnya pada ketika ini, terutama dalam pasaran pemain.”

Jelas Fabrizio Romano.

“Saya diberitahu yang Cristiano menghargai Erik ten Hag, dia yakin yang Ten Hag seorang pengurus yang hebat, individu yang tepat untuk memulakan semula projek.”

“Tapi ia tak boleh bergantung kepada pengurus sahaja, ia perlu datang dari kelab sendiri, pimpinan dan pemilik. Perlu lebih aktif dalam pasaran pemain. Mereka perlu membeli pemain.”

Romano kemudiannya turut menambah lagi bahawa:

“Saya suka pengurus itu, saya suka kelab, tapi saya tak rasa mereka ada cita-cita. Itulah mesej dari Cristiano.”

Pada akhir video itu, Romano turut mendakwa yang Ronaldo merasakan skuad Man Utd sebenarnya perlu mendapatkan enam ke tujuh pembelian mega pada musim panas ini.

Romano turut menjelaskan yang ejen Ronaldo, Mendes pada ketika ini sedang berunding dengan beberapa kelab untuk menyelesaikan masalah Ronaldo pada musim panas ini.

“Dia ada berbincang dengan director of football Bayern Munich, Hasan Salihamidzic, tapi Bayern Munich secara terbuka telah mendedahkan yang mereka langsung tak berhasrat mahu mendapatkan Ronaldo.”

Romano menambah lagi yang beliau masih belum mampu untuk pastikan sama ada wujud atau tidak kelab dari Itali yang berminat mahu mendapatkan Ronaldo.

Beliau turut menolak dakwaan yang mengaitkan pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu dengan perpindahan menyertai Chelsea.

“Memang betul Mendes ada perbincangan dengan (pemilik Chelsea) Todd Boehly untuk berbincang tentang Cristiano tapi harus diingat yang Chelsea hanya akan menandatangani pemain yang dimahukan oleh Thomas Tuchel sahaja.”

“Todd Boehly akan berikan segala kuasa kepada Thomas Tuchel. Pada ketika ini Chelsea sangat sibuk dengan ramai pemain lain dan bukannya Cristiano.”

Romano kemudiannya menambah lagi yang sangat mustahil untuk melihat Ronaldo menyertai PSG untuk beraksi bersama Lionel Messi.

“Paris Saint Germain tidak akan menandatangani Cristiano. Setakat hari ini, itulah kedudukan mereka. Tapi seperti kita tahu dalam pasaran pemain segalanya boleh berlaku.”

Manchester United juga turut dilaporkan yang mereka tidak mungkin akan menjual Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas ini.

Romano menjelaskan yang ketua pasukan Portugal itu masih belum menerima apa-apa tawaran dari kelab lain dan mungkin beliau akan kekal di Old Trafford.

“Cristiano tiada perjanjian dengan mana-mana kelab setakat hari ini.”

Tambah Fabrizio Romano lagi.

“Jadi bukanlah Cristiano Ronaldo mahu melawan Manchester kerana dia ada sebab, dia mahu tunggu tawaran dan mahu pergi. Dia mahu beri pesanan kepada Man Utd supaya lebih bercita-cita dan dia memang akan pergi kalau dapat tawaran yang tepat.”

“Tapi pada ketika ini, memang dia belum ada apa-apa perjanjian dengan mana-mana kelab.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Buat Pertama Kalinya Ronaldo Tamatkan Musim Tanpa Sebarang Trofi Selepas 16 Tahun