Fabrizio Romano: Mino Raiola Berada Di Barcelona Bincang Masa Depan Haaland

Prospek perpindahan paling panas dalam dunia bola sepak terkini yang menjadi mesin gol berprestasi tinggi, Erling Braut Haaland terus terpalit dengan perpindahan mega ke kelab gergasi Eropah.

Dari Sepanyol hingga ke England, bermula dengan Real Madrid, Manhcester United, Manchester City dan dalam diam Bayern Munich mengintai juga kerana pemain Borussia Dortmund merupakan stok pemain masa depan mereka.

Terkini adalah Barcelona dan kali tampak serius apabila super ejen yang menguruskan karier Erling Haaland yang dibenci Setan Merah, Mino Raiola dilihat berada di Barcelona.

Berita ini pula datang dari peniup wisel khabar angin yang paling boleh dipercayai dalam dunia bola sepak, Fabrizio Romano.

Menurut Fabrizio Romano keberadaan Mino Raiola adalah 100 peratus benar selepas mengadakan perjumpaan dengan Borussia Dortmund untuk membincangkan masa depan Erling Haaland.

“Mino Raiola berada di Barcelona sekarang, benar dan 100 peratus pasti seperti mana dilaporkan Sport. Raiola mendarat hari ini selepas perjumpaan dengan BVB (Borussia Dortmund) di Dortmund untuk membincangkan masa depan Erling Haaland.”

“Perlumbaan masih terbuka dengan banyak kelab terlibat temasuklah Barca. Kerja dalam proses.”

Selain itu, bapa Erling Haaland, Haaland Sr. juga dirakam tiba di Barcelona menurut satu balasan kepada ciapan Fabrizio Romano.

Mino Raiola, Haaland Sr. dilaporkan telah mengadakan pertemuan selama dua jam bersama Presiden Barcelona Joan Laporta dan juga pengarah bola sepak Barcelona, Mateu Alemany.

” Laporta-Mateu Alemany-Mino Raiola-Haaland Sr. telah mengadakan pertemuan selama 2 jam. Mereka mendarat jam 9.30 pagi selepas meninggalkan Nice.”

“Mereka tidak menunggu paparazzi yang mengejutkan mereka di lapangan terbang. Kelab percaya perkara ini bukan perkara mustahil.”

Satu perkembangan yang sangat menarik mengenai masa depan karier Erling Haaland dan Barcelona kini menjadi pasukan paling serius untuk mendapatkan pemain kebangsaan Norway itu.

Gandingan Erling Haaland dan Lionel Messi sudah pasti menjadi satu gandingan yang menakutkan diadun pula dengan kehadiran wonderkis ranking teratas dunia, Ansu Fati.

Ketika ditanya mengenai masa depan beliau, Erling Haaland tenang sahaja tidak memberi sebarang petunjuka melainkan menzahirkan taat setia dengan Borussia Dortmund.

“Aku masih mempunyai kontrak tiga tahun dengan Dortmund.” Jelas Haaaland.

“Aku tak bimbang dengan perkara ini. Media merupakan entiti yang bertanggungjawab menulis tentang ini. Aku tak ambil peduli perkara ini.

Haaland menganggap semua ini permainan media dan beliau hanya mahu fokus meningkat prestasi setiap hari.

“Aku mahu terus meningkat setiap hari. Ronaldo dan Messi.. aku tak perlu berbicara tentang mereka. Mereka terbaik sepanjang zaman. Aku masih jauh untuk ke situ.”

Penyerang Borussia Dortmund yang kini berusia 20 tahun itu telah berjaya menjaringkan 39 gol dari 36 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Dalam pada itu Real Madrid telah memberitahu dunia bahawa Haaland mahu bermain bersama mereka.

Real Madrid dalam laporan tersebut mendedahkan bahawa beliau sangat gembira dan berbangga menjadi pemain buruan Los Blancos pada jendela perpindahan akan datang ini.

Satu lagi kelab lain yang dilaporkan berminat untuk menandatangani bintang kebangsaan Norwey itu adalah pendahulu saingan premier league ketika ini, Manchester City.

Erling Haaland dilaporkan mahu menjadi pemain yang menerima gaji termahal dalam sejarah premier league dengan meminta bayaran bernilai £600,000 seminggu.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu harus menandatangani setidak-tidaknya seorang pemain penyerang pada jendela perpindahan musim panas nanti selepas mereka kehilangan Sergio Aguero.

The Citizens telah mengumumkan bahawa Aguero akan meninggalkan kelab pada penghujung musim 2020/21 ini selepas kontraknya selama 10 tahun bersama kelab tamat.

City juga dilaporkan perlu menyediakan tawaran gaji bernilai £600,000 seminggu untuk menandatangani Haaland pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Laporan tersebut turut mendakwa bahawa nilai keseluruhannya untuk mendapatkan Haaland adalah sekitar £300 juta untuk kontrak selama lima tahun.

Ia kerana, £150 juta merupakan kemungkinan yuran perpindahan untuk pemain paling diimpikan oleh kebanyakkan kelab itu dan £150 juta lagi merupakan nilai bayaran gajinya selama tempoh tersebut.

Jumlah £300 juta untuk seorang pemain untuk tempoh 5 tahun merupakan sesuatu yang tidak berbaloi bagi mana-mana kelab dan dengan kemampuan Pep Guardiola beliau mampu menukar mana-mana pemain menjadi mesin gol.

BACA:  Barcelona Yakin Mampu Manipulasi Klausa Kontrak Erling Haaland Di Man City