Faiz Subri Akan Berbaju Melayu Ketika Berjumpa Idolanya Cristiano Ronaldo

Faiz Subri penjaring gol ajaib yang tular seantero dunia sebelum ini mengimpikan untuk memakai pakaian tradisional iaitu Baju Melayu untuk ke anugerah yang dianjurkan FIFA setelah tercalon sebagai 3 terbaik bagi Anugerah Puskas.

Impian beliau untuk memakai pakaian tradisional itu telah menjadi kenyataan apabila FIFA memberi kebenaran untuk memakainya. Penjaring gol sensasi itu juga menyatakan rasa tidak sabar beliau untuk berjumpa idola beliau, Cristiano Ronaldo.

“Apa pun, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada yang mengundi. Yang buat saya makin teruja apabila saya berpeluang untuk jumpa Ronaldo, pemain yang saya kagumi,” katanya.

Setiausaha Agung Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata FAM telah menghantar permohonan kepada FIFA dan telah mendapat kelulusan untuk membolehkan Faiz berbaju Melayu ke Majlis tersebut.

“Kami sudah menghantar permohonan itu sejak awal Disember lalu dan akhirnya baru sahaja mendapat kelulusan daripada pihak ibu pejabat FIFA. Saya sudah memaklumkan kepada Mohd. Faiz mengenai berita baik ini.

“Terpulang kepada Mohd. Faiz sama ada dia mahu memakai baju Melayu atau mengenakan sut seperti yang diminta oleh pihak penganjur berhubung kod pemakaian rasmi,” kata Hamidin.

Jika terpilih sebagai pemenang Faiz juga telah merancang untuk memberikan ucapan dalam Bahasa Melayu.

“Jika anugerah Puskas menjadi milik saya nanti, kalau boleh saya mahu memberi ucapan dalam bahasa Melayu.

“Saya lebih bangga untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan. Tiada istilah malu untuk bertutur bahasa ibunda kerana saya rakyat Malaysia.

Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma) Hadiahkan Sepersalinan Baju Melayu

Institut Seni Malaysia Melaka(Ismma) sebelum ini telah menghadiahkan sepersalinan baju Melayu lengkap dengan tanjak serta songket buatan istimewa dari Melaka kepada Faiz Subri sebagai suntikan semangat kepada Faiz.

Baju Melayu lengkap yang disumbangkan Ismma itu bernilai kira-kira RM3000 dan sumbangan ini menurut pengerusinya Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar juga bertujuan memperkenalkan tradisi masyarakat Melayu di negara ini kepada masyarakat dunia.

FAM Taja Faiz Subri Ke Zurich

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui laman sesawangnya juga telah mengumumkan akan menaja tiga tiket penerbangan kelas perniagaan (business class) kepada isterinya, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan sebagai menghargai kejayaan Mohd Faiz

Selain isteri dan dua anaknya, Mohd Faiz akan turut ditemani wakil daripada Persatuan iaitu Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Haji Afandi Hamzah untuk bersama-sama ke majlis anugerah di Zurich itu.

Sehubungan itu, Mohd Faiz bersama-sama isteri, dua anaknya serta Dato’ Sri Haji Afandi dijadual akan berlepas dari Kuala Lumpur pada Ahad, 8 Januari 2017, jam 10.15 pagi dan dijangka tiba semula di tanah air pada Rabu, 11 Januari 2017, jam 3.15 petang.

Baca Juga

Baca Juga