Fakta Tentang Jarak Perjalanan Penyokong Kelab EPL Untuk Awaydays

Sebagai penyokong bola sepak sejati, peluang untuk ber”awayday” merupakan satu perkara yang paling ditunggu-tunggu dan tidak akan mungkin dilepaskan lebih-lebih ketika bertemu pasukan musuh tradisi di tempat lawan.

Jika mempunyai masa dan sumber kewangan yang mengizinkan, setiap orang sudah pasti tidak mahu terlepas untuk menyertai setiap Awaydays. Tidak dapat dinafikan “Setiap Awaydays Ada Ceritanya” untuk sesiapa yang melaluinya. Pengalaman yang  semestinya akan dikenang sehingga ke hujung nyawa.

Jadi sempena kempen Liga Perdana Inggeris yang akan kembali bersambung pada esok hari, mari kita lihat beberapa fakta mengenai jarak perjalanan penyokong kelab-kelab EPL demi menyokong pasukan kesayangan mereka di tempat lawan untuk sepanjang musim ini.

Jarak Perjalanan Penyokong Semua Pasukan EPL Ke Tempat Lawan

Penyokong Sunderland terpaksa mengharungi jumlah jarak perjalanan yang paling banyak untuk sepanjang musim iaitu sebanyak 4235 batu atau 6816 kilometer.

Ini disebabkan lokasi Sunderland yang terletak di bahagian utara England dan kebanyakan kelab berada di bahagian yang lebih selatan. Jiran terdekat Sunderland ialah kelab Middlesbrough dengan jarak 35 batu.

Untuk jarak perjalanan paling dekat pula jatuh kepada penyokong pasukan West Brom. Mereka hanya perlu mengharungi lebih kurang separuh daripada perjalanan penyokong Sunderland iaitu sebanyak 2345 batu bersamaan 3774 kilometer.

Perjalanan Paling Jauh Penyokong EPL

Jarak perjalanan paling jauh untuk satu-satu perlawanan terpaksa dilalui oleh penyokong  Sunderland dan Bournemouth jika kedua-dua pasukan ini bertemu di Stadium Of Light atau Dean Court pada musim ini iaitu sebanyak 354 batu atau 570 kilometer.

Perlawanan ini merupakan perlawanan antara pasukan di kawasan paling utara dengan pasukan paling selatan dalam kempen Liga Perdana Inggeris.

Perjalanan Paling Dekat Penyokong EPL

Sementara itu untuk jarak perjalanan yang paling dekat pula ialah perlawanan melibatkan Liverpool dan juga Everton. Kedua-dua stadium kelab Merseyside ini iaitu Anfield dan Goodison Park hanya dipisahkan dengan jarak satu batu atau lebih kurang 1.6 kilometer sahaja.

Tidak dapat dipastikan bagaimana penyokong di sini memilih sama ada ingin menyokong Everton atau Liverpool.

Kesimpulannya, menyokong kelab kesayangan di tempat lawan merupakan salah satu daripada impian semua penyokong bola sepak di dunia. Sebagai pemain profesional pula, para pemain perlu memberi penghormatan kepada para penyokong yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyokong pasukan kesayangan mereka.

Baca Juga

Baca Juga