Fakta Yang Membuktikan Bahawa Thomas Tuchel Antara Pengurus Terbaik Dunia

Thomas Tuchel membuktikan yang beliau sememangnya layak untuk dianggap sebagai antara pengurus terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Walau baru dilantik menjadi pengurus Chelsea pada Januari 2021, beliau berjaya membawa The Blues untuk muncul sebagai Juara saingan Champions League musim tersebut.

Beliau turut berjaya membantu The Blues untuk menjulang gelaran Super Cup dan FIFA Club World Cup.

Lebih menakjubkan lagi beliau sudah membawa Chelsea untuk beraksi dalam tujuh perlawanan di peringkat separuh akhir dengan mencatatkan enam kemenangan dan satu keputusan seri.

Dari tujuh perlawanan peringkat separuh akhir itu, anak-anak buahnya berjaya menjaringkan 10 gol, merekodkan satu bolos dan cemerlang mencatatkan enam clean sheet.

Secara tak langsung, beliau sebenarnya berjaya membawa Chelsea ke pentas perlawanan akhir setiap kali beraksi di peringkat separuh akhir.

Sepanjang kariernya pula, Thomas Tuchel sudah berjaya 11 kali layak ke peringkat separuh akhir dan menariknya lagi beliau berjaya menang semua perlawanan tersebut.

Lebih mengagumkan lagi, sepanjang tempoh tersebut, skuadnya berjaya menjaringkan 30 gol dan hanya mencatatkan empat bolos sahaja.

Kejayaan Chelsea layak ke perlawanan akhir saingan FA Cup secara tak langsung menjadikan mereka sebagai pasukan ketiga yang berjaya melakukan hal itu sejak era Premier League.

Manchester United berjaya lakukan hal sama pada tahun 1993-1996, Arsenal pula cemerlang melakukan hal sama pada tahun 2000-2003 dan kini Chelsea layak ke perlawanan akhir tiga kali berturut-turut dari tahun 2019 hingga 2022.

Bintang Chelsea, Mason Mount turut cemerlang mencipta rekod baru selepas beliau cemerlang menjaringkan gol dalam tiga perlawanan peringkat separuh akhir untuk Chelsea.

Beliau berjaya menjaringkan gol ketika aksi bertemu Manchester United (2020), Real Madrid (2021) dan Crystal Palace (2022).

Hal itu sudah cukup untuk membuktikan yang Mason Mount merupakan pemain yang sering bersinar ketika beraksi dalam perlawanan besar.

Chelsea 2-0 Crystal Palace

Skuad kendalian Thomas Tuchel turun dalam misi mahu mencatatkan kemenangan seterusnya melayakkan diri ke aksi perlawanan akhir.

Memandangkan mereka sudah tersingkir dari saingan Champions League selepas tewas di tangan Real Madrid, maka FA Cup jelas sekali bakal menjadi sasaran untuk The Blues setidak-tidaknya mengakhiri kempen musim ini dengan satu Piala.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi saling serang menyerang pada 45 minit pertama permainan, namun tak ada jaringan yang berjaya dihasilkan.

Masuk aksi babak kedua, Chelsea dilihat bermula dengan lebih garang dengan mereka berjaya melancarkan beberapa siri serangan ke kubu Palace.

Pada minit ke-65 permainan, Ruben Loftus-cheek berjaya meledak gol pembukaan untuk Chelsea mendahului Palace 1-0.

10 minit selepas itu, giliran Mason Mount pula yang menjaringkan gol yang cantik dan padu untuk memastikan Chelsea mendahului 2-0.

Sebaik menjaringkan gol, Mason Mount kemudiannya dikeluarkan oleh Thomas Tuchel dengan tempat beliau digantikan oleh Hakim Ziyech.

Chelsea kemudiannya memiliki beberapa kesempatan emas untuk memperoleh tambahan jaringan, namum malangnya mereka gagal mendapatkan gol yang dicari.

Perlawanan tamat dengan Chelsea berjaya menewaskan Crystal Palace dengan keputusan 2-0, seterusnya melayakkan mereka untuk beraksi di pentas perlawanan akhir.

The Blues akan sekali lagi turun berdepan Liverpool di pentas perlawanan akhir, selepas kedua-dua mereka sebelum ini bertemu dalam aksi perlawanan akhir Carabao Cup.

Chelsea pada ketika itu terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti dan jelas sekali mereka akan berusaha sehabis daya untuk mengelak dari berlakunya hal yang sama kali ini.

BACA:  Tuchel Kantoi Dirakam Menganjing Gaya Pep Guardiola