FAM Hantar Jaringan Ajaib Sean Selvaraj Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS

Persatuan bola sepak Malaysia (FAM) secara rasminya telah menghantar gol ajaib jaringan pemain Negeri Sembilan, Sean Selvaraj kepada FIFA untuk dicalonkan ke anugerah PUSKAS FIFA 2022.

Keputusan ini telah dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 pada Khamis, 11 Ogos 2022.

Anugerah PUSKAS merupakan satu anugerah yang mengiktiraf jaringan cantik, padu, menarik dan genting dan perkara ini telah diumumkan secara rasmi oleh FAM melalui laman sesawang rasmi.

“Jawatankuasa mengesahkan untuk gol yang dihasilkan pemain Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor FC pada 31 Julai 2022 dihantar secara rasmi cadangan pencalonannya ke FIFA untuk Anugerah Puskas FIFA 2022.”

Fédération internationale de Football Association (FIFA) sebelum ini melalui laman Twitter rasminya telah mengangkat gol pemain Negeri Sembilan, Sean Selvaraj sebagai tiga gol terbaik dunia minggu ini.

FIFA juga telah bertanya kepada para pengikutnya adakah salah satu daripada tiga jaringan ini boleh menjadi calon untuk anugerah Puskas?

Gol Sean Selvaraj ini adalah gol kemenangan dalam aksi kebangkitan luar biasa Negeri Sembilan ke atas skuad Gergasi Merah selepas ketinggalan dua gol.

“Kami memulakan minggu kami, dengan beberapa Monday Magic. Bolehkah mana-mana gol ini menjadi calon #Puskas?”

“Satu serangan ajaib. Letakkan gol ini di Louvre.”

Pada minit ke-88, Sean menerima hantaran pendek daripada Izzuddin di sebelah kiri padang. Tanpa dicabar oleh mana-mana pemain Selangor, walaupun Brendan Gan kelihatan berlari ke arahnya.

Sean mendapat ruang dan waktu yang cukup untuk mencari langkah yang sesuai lalu melepaskan satu rembatan melengkung ala-ala gelembung buaya tetapi melencong cantik tepat ke penjuru kiri gol Selangor.

Dalam bahasa mudah, Sean telah menjaringkan gol bertaraf Anugerah Puskas! Gol Sean ini turut mendapat perhatian daripada akaun Twitter bola sepak luar negara yang menciap video ini.

Dua gol lagi pilihan FIFA minggu ini bersama gol Sean Selvaraj adalah jaringan daripada pemain Club Atletico Central Córdoba, Francisco González Metilli dan pemain Kidderminster Harriers, Nathan Lowe.

Francisco González Metilli menjaringkan satu voli terbang diudara selepas mendapat umpanan cantik dari rakan sepasukannya. Padu.

Nathan Lowe juga tidak kurang padu dengan satu rembatan deras dari jauh yang terus merobek jaring lawan.

Anugerah Puskas merupakan anugerah tahunan diperkenalkan untuk pemain bola sepak lelaki atau wanita yang menjaringkan gol terbaik atau “fantastik” dengan kriteria tertentu yang memenuhi syarat sah Puskas untuk dicalonkan.

FIFA Puskas Award telah diperkenalkan pada tahun 2009 dan telah pun mempunyai 13 orang pemenang dan Cristiano Ronaldo merupakan pemenangan yang pertama.

Jika gol Sean Selvaraj ini tidak tercalon untuk senarai akhir sekalipun namun gol ini telah menjadi bualan dunia bola sepak.

Dan keputusan FAM untuk menghantar gol Sean Selavaraj ini pula tidak salah kerana menepati kriteria yang telah ditetapkan.

Nama Puskas itu diambil bersempena nama pemain legenda Real Madrid, Ferenc Puskas.

Anugerah ini diperkenalkan untuk pemain bola sepak lelaki atau wanita yang menjaringkan gol terbaik atau “fantastik” secara tahunan.

Syarat Sah Pencalonan Anugerah Puskas

Menurut jumhur umara’ dari FIFA, mereka telah bersepakat bahawa terdapat empat rukun yang perlu dipenuhi untuk memenuhi syarat sah pencalonan.

1- Gol dijaringkan mestilah cantik.

Cantik itu subjektif. Antara gol yang boleh dikira sebagai cantik seperti gol jarak jauh, gol berpasukan, gol sepakan gunting, gol individu yang menggelecek 11 orang pemain lawan, gol guna hidung atau apa sahaja yang dikira sebagai cantik.

Nak tahu cantik tu macam mana, tepuk dada, tanya iman.

2- Gol mestilah dikira tanpa mengira kejohanan, jantina penjaring atau kewarganegaraan.

Gol yang dijaringkan perlu dimainkan di kejuaraan yang dianjurkan oleh FIFA atau badan bersekutunya. Jadi, kalau kau main liga Setia Alam atau liga Alumni kau jaringkan gol cantik macam mana sekalipun, kau tetap tak akan dicalonkan ke anugerah Puskas.

Jadi berhentilah mencuba.

Dalam kes Herold Goulon, golnya yang cantik layak untuk dipersembahkan oleh FAM kepada FIFA untuk pencalonan anugerah Puskas, walaupun dia bukan warganegara Malaysia.

Andai Alan Shearer kembali dari persaraan bermain untuk Melaka United dan jaringkan gol cantik, gol tersebut tetap layak untuk dicalonkan.

3- Gol mestilah bukan bernasib baik, hasil kesilapan, bola tertampan atau pemain yang berada dalam keadaan ofsaid.

Dengan kata lain, gol mestilah hasil kerja yang dirancang. Kalau pemain yang menjaringkan gol tersebut berada dalam keadaan ofsaid, meskipun gol tersebut dikira dalam perlawanan, ia tetap tidak sah untuk dibawa ke anugerah Puskas.

4- Gol mestilah mengikut lunas-lunas fair play.

Maksudnya di sini pemain yang menjaringkan gol atau terlibat dalam jaringan mestilah berperangai elok. Contohnya kau jaringkan gol dalam Liga Super di stadium Darul Makmur.

Selepas jaringan cantik sepakan gunting dari tengah padang, kau celebrate sambil berbogel, maka gol ini tidak akan dibawa ke tengah. Kalau kau balut dulu sebelum bermain dan disahkan positif, maka gol tersebut juga tidak akan dipandang mulia.

Baca Juga

Baca Juga