FAM Lancar Jersi Baharu Harimau Malaya Edisi 2020-2022

Semepena hari penuh barakah ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) telah melancarkan jersi baharu pasukan kebangsaan Malaysia yang terkenal dengan jolokan Harimau Malaysia bagi edisi 2020-2022.

Jersi pasukan kebangsaan Malaysia bagi edisi 2020-2022 ini masih lagi dikeluarkan oleh pengeluar pakaian sukan gergasi daripada Amerika Syarikat iaitu Nike.

Pelancaran kali ini sangat unik dengan situasi semasa kini apabila diadakan secara atas talian atau secara maya tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Video pengenalan jersi berkenaan yang disiarkan serentak di kesemua platform media sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu di Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube.

Seramai 10 pemain kebangsaan membuat penampilan yang terdiri daripada ketua pasukan – Aidil Zafuan Abd Radzak, Shahrul Saad, Syahmi Safari, La’Vere Corbin-Ong, Brendan Gan, Nor Azam Abdul Azih, Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri Md Fauzi dan penjaga gol, Farizal Marlias.

Sementara itu yang turut serta membuat penampilan istimewa adalah ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Simbolik kepada majlis pelancaran ini Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menjadi individu pertama yang menerima kedua-dua jersi ‘home’ dan jersi ‘away’ Malaysia 2020-2022.

Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues telah menyampaikan jersi tersebut kepada Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kelainan Jersi Harimau Malaya 2020-2022

Kelainan yang nyata untuk jersi Harimau Malaya edisi 2020-2022 ini adalah mempunyai kolar dan mungkin bola dikenakan tali leher sekali baru nampak kacak bergaya untuk anda peragakan untuk dibawa berjalan-jalan.

Sejak Nike menjadi penaja inilah pertama kali jersi ‘home’ Harimau Malaya mempunyai kolar tidak seperti edisi 2007, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018.

Home

Jersi kedua atau ‘away’ buat pertama kalinya juga tiada melibatkan warna biru, putih atau merah seperti sebelum ini dan digantikan dengan warna hitam dan kuning. Norma baharu la ni.

Menurut Datuk Haji Hamidin, jersi ‘home’ yang baharu ini biarpun ringkas, namun tampak lebih kemas dengan reka bentuk berkolar manakala pemilihan warna baharu bagi jersi ‘away’ pula akan memastikan semangat Harimau Malaya kekal membara.

“Pasukan Harimau Malaya pasti akan lebih garang selepas ini kerana bukan saja jersi ‘home’, malah jersi ‘away’ juga menampilkan warna tradisi kita iaitu hitam dan kuning. Ini bermakna, dalam kesemua aksi pasukan kebangsaan nanti, semangat dan aura Harimau Malaya akan sentiasa bersama para pemain dan penyokong.

Away

“Saya yakin apabila para pemain memakainya nanti, mereka akan mendapat semangat baharu untuk tampil dengan aksi yang lebih bertenaga di atas padang, seterusnya meraih lebih banyak kemenangan dan kejayaan buat pasukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Terima kasih juga kepada Nike yang masih terus bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 13 tahun ini (sejak 2007),” kata Datuk Haji Hamidin.

Warisan Dan Evolusi Harimau Malaya terus terpelihara

Walaupun apa pun bentuk, warna dan kemasan yang ada pada jersi baharu Harimau Malaya ini, ia masih mengekalkan warisan dan evolusi Harimau Malaya agar terus terpelihara dan menjadi lambang pasukan.

Untuk mengekalkan warisan maka warna tradisi kuning masih lagi dikekalkan dan digabungkan dengan reka bentuk moden sejajar dengan kemajuan alam dan manusia.

Logo FAM masih tersemat di bahagian sebelah kiri dada, warna kuning ikonik jersi ‘home’ ini dipadankan dengan kehadiran warna hitam pada tiga bahagian iaitu kolar, lengan dan garis corak terkini Nike di bahagian sisi bagi menampakkan lagi kekemasannya.

Menurut Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues:

Jersi ‘away’ Malaysia 2020-2022 pula tampil dengan warna hitam sebagai warna utamanya, diselangi lima jalur berwarna kuning di bahagian depan serta kolar bulat dan hujung lengannya juga berwarna kuning.

Reka bentuk berjalur pada jersi ‘away’ ini diinspirasikan daripada Jalur Gemilang (bendera Malaysia), namun kelainan yang ditampilkan ialah ia hanya menggabungkan warna hitam dan kuning, tanpa kehadiran warna biru, putih atau merah.

Jersi ‘away’ ini mencerminkan semangat muda dan budaya ekspresif pasukan kebangsaan sambil pada masa yang sama untuk memberikan penghormatan kepada Harimau Malaya yang kaya dengan tradisinya,” tambah Ernest.

Baca Juga

Baca Juga