FAS Tidak Mahu PKNS FC di Liga Malaysia

Krisis bola sepak Selangor memasuki episod baru apabila Persatuan Bola Sepak Selangor, FAS tidak menyokong penyertaan PKNS FC dalam Liga Malaysia musim 2017 nanti.

Mengikut peraturan pertandingan 4.1.3(I) hanya pasukan kelab yang dicalonkan dan disokong persatuan bola sepak negara dan mematuhi  peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) layak menyertai Liga M.

Difahamkan, FAS sudah memaklumkan tindakannya untuk tidak memberi sokongan kepda PKNS FC secara rasmi kepada FAM dan badan pentadbir Liga M, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengakui terkejut dengan perkara ini kerana pihak pengurusan kelab itu masih belum dimaklumkan secara rasmi.

Namun, PKNS FC sudah melakukan persiapan menghadapi musim 2017 dan jika kelab itu tidak dapat beraksi, ia akan turut memberi kesan kepada pemain dan pegawai skuad Piala Presiden dan skuad B-19 mereka.

Baca : Penggabungan Selangor FA dan PKNS FC, laba atau bala?

“Buat masa ini, kami tidak menerima apa-apa daripada FAS, jadi segala perkara mengenai isu ini masih samar.

“Pada pandangan kami, jika apa yang berlaku itu dianggap sebagai pemberitahuan kepada PKNS FC, kami sememangnya agak terkejut.

“Saya rasa FAM dan FMLLP perlu melihat perkara ini sebagai satu hikmah kerana ia melibatkan pembangunan bola sepak,” jelas Mahfizul.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, mengesahkan sudah dimaklumkan mengenai perkara ini oleh FAS, namun sebarang kata putus akan hanya ditentukan selepas mesyuarat Lembaga Pengarah FMLLP pada Isnin.

“FMLLP telah menerima notis daripada FAS dan perkara ini akan dibangkitkan nanti ketika di mesyuarat lembaga pengarah.

“Segala perkembangan mengenai perkara ini akan kami maklumkan selepas mesyuarat tersebut,” katanya.

Sumber berita : Stadium Astro

Baca Juga

Baca Juga